LGBT atau singkatan dari lesbian, gay, biseksual, dan transgender ialah sebuah istilah yang memberi makna kepada hubungan seksual yang songsang dan haram secara ijmak di dalam Islam. Lesbian ialah hubungan perempuan dengan perempuan.
Gay ialah hubungan lelaki dengan lelaki. Biseksual ialah seseorang yang boleh berhubungan dengan lawan jenis mahupun sejenis.
Transgender ialah perubahan jantina seperti lelaki yang beralat kelamin lelaki berusaha menjadi perempuan atau sebaliknya.
Perkara-perkara ini jelas ditegah dan dilarang di dalam Islam secara ijmak. Bahkan keharamannya termasuk dalam kategori ma huwa ma’lum min al-din bi al-dharurat (sesuatu yang diketahui di dalam agama secara pasti). Allah juga mencipta manusia secara fitrahnya adalah berpasangan lelaki dan perempuan ibarat Adam dan Hawa.
Allah SWT berfirman: Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. (al-Nisa’: 1)
Dalam Islam, perkahwinan yang sah adalah pernikahan antara lelaki dan perempuan, bukan pernikahan sejenis. Allah SWT berfirman lagi: maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan. (al-Nisa’: 3)
Lafaz “maka berkahwinlah” memberi faedah perintah kepada lelaki dan “perempuan-perempuan” menunjukkan pernikahan hanya berlaku di antara lelaki dan perempuan.
Hubungan homoseksual (sesama jenis) adalah merupakan hubungan yang amat keji dan disifatkan oleh Allah SWT sebagai melampaui batas: Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”. (al-A’raf: 80-81)
Allah SWT berfirman lagi: Patutkah kamu melakukan hubungan sejenis dengan lelaki dari kalangan manusia. Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas. (al-Syu’ara’: 165-166)
Larangan hubungan sejenis perempuan dengan perempuan pula jelas termaktub dalam sabda Nabi Muhammad SAW: Tidaklah wanita bersentuhan kulit dengan wanita, lalu ia menggambarkannya kepada suaminya sampai seolah-olah dia sedang melihatnya. (riwayat Bukhari)
Di dalam riwayat al-Nasa’i pula: Janganlah perempuan bersentuhan kulit dengan perempuan lain, dan janganlah lelaki bersentuhan kulit dengan lelaki lain.
Maksud bersentuhan kulit tersebut adalah berhubungan seks seperti yang dijelaskan oleh ulama. Bahkan Imam al-Baihaqi meriwayatkan hadis Nabi Muhammad SAW bersabda: Hubungan seksual lelaki dengan sesama lelaki itu zina hubungan seksual perempuan dengan sesama perempuan itu zina. Hadis ini menunjukkan larangan hubungan zina gay atau lesbian.
Selain hubungan sesama jenis, termasuk diharamkan dalam Islam adalah transgender iaitu perbuatan lelaki yang berperilaku wanita atau sebaliknya. Lebih bahaya lagi apabila ada hasrat merubah jantina seperti bedah alat kelamin.
Perbuatan ini diharamkan seperti sabda Nabi Muhammad SAW: Ibnu Abbas berkata: Nabi SAW melaknat lelaki yang berperilaku perempuan dan perempuan yang berperilaku lelaki. (riwayat al-Bukhari)
Salah seorang ilmuwan dan kerabat Diraja Jordan; Putera Ghazi Muhammad berkata, mana-mana transgander (mak nyah) yang bertekad menjalani pembedahan kelamin hakikatnya adalah berpenyakit xenomelia iaitu penyakit yang menganggap ada bahagian daripada anggota tubuhnya adalah merupakan perkara asing dan perlu diamputasi.
Penyakit ini digolongkan sebagai neuropsychiatric. Ditambah lagi, pembedahan kelamin yang hakikatnya tidak diperlukan ini berbahaya kepada nyawa.
Beliau juga menjelaskan, Islam menetapkan hukum-hakam bukan demi kesenangan nafsu semata. Walhal pemikiran LGBT ini jelas membawa falsafah utilitarianism yang memusatkan kepada kesenangan nafsu semata. Falsafah ini bukan dari Islam bahkan bukan dari ajaran agama samawi Yahudi dan Kristian.
BAHAYA BERGURAU DENGAN MURTAD
Salah satu perkara yang meresahkan umat Islam adalah mempersenda perkara-perkara yang dapat menggugurkan iman seperti mengucapkan kata-kata yang menunjukkan azam untuk murtad atau ragu-ragu dengan Islam atau menolak hukum-hukum Allah yang pasti.
Imam Ibn Hajar al-Haytami (w. 974H) berkata, salah satu penyebab jatuhnya hukum murtad adalah seseorang yang berazam untuk kufur, menggantungkan sesuatu keadaan sama ada secara ucapan atau niat untuk kufur, maka hukum murtad atau kufur mungkin jatuh seketika itu.
Seperti yang disebutkan di atas, larangan yang bersifat ‘sesuatu yang diketahui di dalam agama secara pasti’ tidak boleh dilawan atau ditentang. Ibrahim al-Laqqani (w. 1041H/1632M) menjelaskan, orang yang melawan perkara yang seperti ini boleh menyebabkan gugurnya iman.
Contohnya menghalalkan zina, menghalalkan mencuri, tidak mewajibkan solat fardu lima waktu. Maka seorang muslim yang menghalalkan LGBT ini jelas bahaya dapat menggugat imannya.
Termasuk lebih berbahaya lagi berazam untuk murtad apabila nafsu songsangnya tidak direstui. Seorang muslim sepatutnya berhati-hati dalam segala ucapan dan perbuatannya.
Kita memohon kepada Allah SWT, agar dikuatkan iman dan amal, dijauhkan perkara maksiat dan dibukakan kepada hidayah-Nya serta mendapat husnu al-khatimah. Amin!
- PENULIS ialah Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, UIAM & Felo Kehormat IKIM.










