Apa masalah Kristian guna kalimah Allah? - Utusan Malaysia

Apa masalah Kristian guna kalimah Allah?

PEGUAM mewakili seorang wanita Melanau dari Sarawak, Lim Heng Seng (dua dari kiri) dan Annou Xavier berjalan keluar selepas mahkamah memutuskan penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak boleh menggunakan kalimah 'Allah' dalam pembelajaran agama mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 10 Mac lalu. – Utusan/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Malaysia asalnya adalah Tanah Melayu yang didiami oleh orang Melayu yang bertutur menggunakan bahasa Melayu. Orang Melayu di Tanah Melayu telah sekian lama beragama Islam.

Oleh demikian orang Melayu yang beragama Islam memanggil entiti yang Maha Kuasa atau Tuhan sebagai ‘Allah’ yang merupakan sebuah nama yang khusus daripada bahasa Arab. Ia digunakan oleh al-Quran merujuk kepada Tuhan yang Maha Esa dan Tuhan Sekalian Alam.

Setelah kedatangan mubaligh Kristian ke Tanah Melayu sewaktu penjajahan Portugis, Belanda dan British atas tujuan menyebarkan agama Kristian kepada orang-orang Melayu, mereka mula menggunakan nama Allah dalam bentuk kata nama gelaran menggantikan perkataan God bagi Bible bahasa Belanda dan Inggeris.

Padahal sebelum ini, penganut Kristian di Barat sendiri tidak pernah mengenal penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam Bible mereka. Di sini perlulah kita ketahui bahawa terdapat kekeliruan dalam penggunaan perkataan untuk merujuk kepada Tuhan di dalam sejarah penterjemahan Bible.

Bible terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru. Perjanjian Lama merupakan himpunan buku-buku orang-orang Yahudi yang tertulis dalam bahasa Ibrani daripada sebelum zaman Jesus. Perjanjian Baru pula adalah buku-buku orang-orang Kristian yang tertulis dalam bahasa Greek dihimpunkan selepas zaman Jesus.

Jika dirujuk pada teks Ibrani Perjanjian Lama, nama khusus Tuhan yang Maha Esa bagi orang-orang Yahudi ada disebutkan dalam ayat seperti Deuteronomy 6:4:

“Syema Isyraelu, YaHuWaH eloheinu YaHuWaH ekhad” terjemahannya: “Wahai orang-orang Israel, YaHuWaH Tuhan kita, YaHuWaH adalah esa”.

Perjanjian Lama merekodkan bahawa nama Tuhan yang Maha Esa tertulis sebagai YaHuWaH (YHWH). Akan tetapi di dalam agama Yahudi, nama ‘YHWH’ itu dianggap terlalu suci untuk disebut dan orang Yahudi tidak akan menyebutnya.

Maka untuk mengelak daripada menyebut kalimah itu, mereka menukarkan sebutan perkataan ‘YHWH’ kepada ‘Adonai’ yang bermaksud Tuan untuk mewakili nama Tuhan.

“Syema Isyraelu, Adonai elohei-nu Adonai ekhad” terjemahnnya: “Wahai orang-orang Israel, Tuan tuhan kita, Tuan itu esa.”

Perkataan YHWH itu tetap kekal dalam kitab tetapi hanya sebutannya sahaja ditukar. Orang Yahudi sememangnya tidak menyebut langsung perkataan YaHuWaH kerana nama tersebut terlalu suci bagi mereka.

Maka di atas sebab ini, nama YHWH seterusnya telah dihilangkan terus daripada tulisan bagi teks terjemahan Perjanjian Lama dalam bahasa lain apabila sahaja sampai kepada ayat yang memiliki perkataan YHWH.

Antara terjemahan terawal Perjanjian Lama daripada orang Yahudi adalah terjemahan dalam bahasa Greek yang dikenali sebagai Septuagint.

Terjemahan ini dihasilkan antara pertengahan abad ke-3 SM hingga akhir abad ke-2 SM.

Dalam Septuagint, penterjemah menghilangkan terus nama khusus Tuhan iaitu YHWH dan menggantikannya dengan perkataan Greek Kurios iaitu terjemahan kepada sebutan Adonai yang bermaksud Tuan. Justeru, Deuteronomy 6:4 menurut Septuagint berbunyi: “Wahai Israel, TUAN Tuhan kita, TUAN itu esa.”

Justeru, secara teksnya, nama YHWH mulanya hilang dan digantikan dengan Kurios yang bermaksud Tuan. Teks ini seterusnya diteruskan pula ke dalam terjemahan Bible dalam bahasa-bahasa lain seperti bahasa Latin, Inggeris dan selainnya.

Jika dalam terjemahan bahasa Inggeris, nama YHWH telah digantikan perkataan LORD.

Hear, O Israel: The LORD our God, the LORD is one.

Begitu juga apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Albert Cornelius Ruyl pada abad ke 17 M. Teksnya tertulis: “Ding-erla Israel, Tuan Allah kita ija pun sawatu Tuan”. (Markus 12:29)

Namun malangnya, di sini telah berlaku kesilapan kerana penterjemah Bible ke dalam bahasa Melayu telah tersalah menggunakan nama Allah sebagai kedudukan kata gelaran dan bukan kata nama khas.

Kesalahan Ruyl ini diikuti sehingga ke terjemahan moden bahasa Melayu oleh Bible Society of Malaysia. Terjemahannya tertulis: “Ingatlah, hai Israel! TUHAN – dan TUHAN satu-satunya – ialah Allah kita.” (Ulangan 6:4)

Kedudukan perkataan ini adalah salah, “Tuhan, Allah kita” yang sebenarnya adalah “Allah, Tuhan kita”.

Dalam bahasa Melayu adalah seumpama kita menyebut “Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Kita” sedangkan yang betulnya adalah “Tunku Abdul Rahman Bapa Kemerdekaan kita”.

Realitinya, Perlembagaan Malaysia meraikan kebebasan orang Kristian mahu mengamalkan agama, tetapi jika benar ingin menterjemahkan perkataan God ke dalam bahasa Melayu maka silakan guna perkataan Tuhan, dan bagi perkataan LORD pula terjemahkanlah kepada TUAN kerana yang demikian itulah penterjemahan yang sebetulnya menurut peraturan tata bahasa bahasa Melayu.

Jika mereka beralasan kerana ingin kembali kepada teks terjemahan asal, maka teks asal bagi Bible adalah bahasa Ibrani dan Greek yang jelas kalimah Allah tidak wujud di dalam teks tersebut.

Yang ada hanyalah perkataan YHWH, Adonai, Kurios dan Theos.

Satu logik yang silap jika ada sebahagian mengatakan, rujuk Bible dalam bahasa Arab kerana mereka juga mengguna nama Allah. Perlu diketahui bahawa Bible bukanlah asalnya dalam bahasa Arab! Bible bahasa Arab juga merupakan Bible terjemahan.

Bagi muslim, kalimah Allah memang wujud dalam teks asal kitab suci al-Quran, Tetapi tidak ada kalimah Allah di dalam teks asal Bible.

Jika ingin menggunakan kalimah Allah bagi penganut Kristian, maka hayatilah apa firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud: Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan”. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. (al-Maaidah:73)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×