Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 kembali dilaksanakan sejak awal Januari lalu ekoran peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat.
Prihatin dengan nasib golongan kurang berkemampuan yang mungkin terkesan dengan pelaksanaan ini, Pusat Pungutan Zakat- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengambil inisiatif melancarkan Tabung Musaadah Covid-19 2.0 Khaira PPZ.
Inisiatif ini bagi membantu golongan yang terkesan dengan keadaan pandemik ketika ini dengan kerjasama syarikat korporat Etiqa Family Takaful Berhad.
Etiqa merupakan antara yang terawal tampil bekerjasama menghulurkan bantuan kepada golongan terkesan khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Sabah melalui Bakul Rezeki Khaira PPZ.
Sumbangan adalah berbentuk barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak, tepung dan sebagainya bernilai RM200,000.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, Khaira PPZ akan sentiasa aktif menyantuni mereka yang memerlukan di samping menyokong agihan zakat yang dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
“Dalam tempoh yang getir ini pastinya menjadi keutamaan kami untuk sama-sama menyalurkan bantuan kepada mereka yang terkesan. Besar harapan kami untuk melihat mereka ini bangkit semula meneruskan kehidupan.”
“Oleh itu, saya menyeru kepada semua masyarakat, syarikat korporat dan semua pihak yang layak menunaikan zakat untuk terus menunaikan zakat di PPZ-MAIWP bagi menampung perbelanjaan asnaf yang semakin meningkat kini,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Majlis pelancaran inisiatif itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Dalam masa sama, PPZ-MAIWP turut melancarkan Misi Pasca Banjir Khaira PPZ 2021 bagi meringankan beban mangsa banjir di Pahang dengan kerjasama Etiqa General Takaful Berhad, QSR Brands (M) Holdings Bhd. dan Siti Khadijah Apparel Sdn. Bhd.
Jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM70,000 itu akan memberi manfaat kepada 300 keluarga mangsa banjir.
Etiqa General Takaful Berhad menyumbang barangan keperluan seperti tilam, katil, tikar getah dan barangan perkakas rumah kepada 300 keluarga.
QSR Brands (M) Holdings menyumbang baucar KFC RM100 kepada 200 keluarga dan 200 helai telekung disumbangkan oleh Siti Khadijah Apparel Sdn. Bhd.










