Ramai yang gusar dengan persoalan-persoalan yang berkait dengan Covid-19. Masyarakat dunia telah disajikan dengan ketakutan melampau terhadap bahaya Covid-19.
Ada juga yang mendakwa bahawa vaksin yang ditemui sebenarnya berbahaya kepada kesihatan. Akhirnya ada yang sudah berputus asa.
BERGANTUNG HARAPLAH KEPADA ALLAH
Kita hendaklah bersangka baik terhadap Allah SWT dalam segala keadaan. Mereka yang bersangka baik dengan Allah lalu tiba-tiba dijangkiti Covid-19, jika dia bersabar lalu ditakdirkan meninggal dunia disebabkan wabak ini, dia sebenarnya akan mendapati bahawa Allah telah meredainya lalu dia telah berjaya.
Mereka yang bersangka baik terhadap Allah lalu dia diselamatkan oleh Allah daripada wabak ini, dia juga beruntung kerana Allah telah menyelamatkannya daripada keburukan yang berlaku. Maka sikap bersangka baik bahawa Allah akan terus memberikan kebaikan kepada kita adalah satu sikap yang sangat bermanfaat tidak kira sama ada kita selamat daripada wabak ini atau sebaliknya.
Sikap merasakan Allah SWT akan terus memberikan kebaikan kepada kita sebenarnya adalah sunnah Nabi SAW. Baginda amat optimis Allah akan mentakdirkan yang baik-baik buat Baginda.
Baginda juga tidak menyukai sikap seseorang yang menganggap bahawa perkara sekian-sekian adalah tanda mala petaka yang bakal berlaku. Baginda meminta kita semua percaya segala sesuatu tidak akan berlaku melainkan ditakdirkan oleh Allah SWT.
KETENGANGAN YANG BAKAL WUJUD
Rata-rata kita patuh kepada arahan memakai pelitup muka demi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa Covid-19. Namun adakah kita semasa memakai pelitup muka telah menghadirkan juga di dalam diri akan keyakinan yang teguh bahawa yang menjaga kita daripada segala kemudaratan sebenarnya adalah Allah?
Kita sebenarnya pada zaman wabak ini telah menghirup udara yang mengandungi virus. Virus ini telah tersebar dan telah pun memasuki semua rumah tanpa berkecuali. Maka yang menghalang kita daripada dijangkiti adalah sistem pertahanan badan yang kuat.
Apabila kita berjaya meletakkan dalam hati bahawa Allah adalah pautan dan pergantungan kita, hati akan menjadi tenang. Apabila hati sanubari sudah direzekikan dengan ketenangan, ia akan membawa kepada kesihatan tubuh badan. Lalu pemilik tubuh yang sihat tidak akan dihinggapi banyak penyakit.
Namun jika yang wujud dalam hati seseorang hanyalah ketakutan, kerisauan, putus asa, kesedihan dan prasangka buruk bahawa dia akan diserang oleh kemudaratan pada bila-bila masa, prasangka negatif ini hanya akan melemahkan antibodi dalam badan.
Akhirnya mereka yang terlalu risau dan takut yang bersangatan terhadap wabak ini akan dihinggapi oleh wabak ini. Oleh kerana bahayanya ketakutan yang bersangatan, orang Mesir telah mengungkapkan pepatah yang berbunyi: “Orang yang takut kepada jin Ifrit, jin Ifrit akan muncul di hadapannya”.
MAKHLUK TIDAK BERI KESAN
Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Saidina Abdullah bin Abbas r.a: “Ketahuilah bahawa umat (seluruhnya) sekiranya mereka berhimpun untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan dapat memberi apa-apa manfaat kepadamu melainkan sesuatu manfaat yang Allah telahpun menulis (sejak azali) bahawa manfaat itu akan menjadi milikmu. Kalaulah mereka (seluruhnya) telah berhimpun untuk memudaratkanmu dengan sesuatu (kemudaratan), mereka tidak akan dapat memudaratkanmu melainkan hanya dengan kemudaratan yang telahpun Allah menulis (sejak azali) bahawa kemudaratan itu akan menimpamu”.
KHALID AL-WALID
Rasulullah SAW telah menyatakan bahawa Saidina Khalid bin al-Walid adalah ‘Pedang Allah’. Kenyataan ini sebenarnya memberi isyarat bahawa Saidina Khalid bin al-Walid tidak akan mati di medan perang kerana beliau adalah ‘Pedang Allah’.
Makna tersirat ini diketahui oleh Khalid al-Walid dan beliau amat yakin Allah tidak akan mencabut nyawanya di medan pertempuran. Sebaliknya akan meninggal dunia di atas katil pembaringan terakhirnya.
Pada satu masa, beliau telah dihadiahkan minuman yang sebenarnya mengandungi racun. Allah telah mengilhamkan kepada beliau bahawa minuman tersebut sebenarnya adalah beracun. Lalu Khalid al-Walid atas dasar keyakinan yang tidak berbelah-bahagi yang beliau tidak akan mati di tangan musuh telah minum minuman tersebut di hadapan orang ramai.
Akhirnya yang berlaku adalah racun tersebut sama sekali tidak membunuh dan mencederakan beliau sehingga tentera musuh ketika itu menyangka Khalid al-Walid adalah daripada bangsa jin.
Kisah ini mengandungi satu pengajaran yang sangat besar iaitu keyakinan yang jitu kepada takdir Allah akan dapat memberhentikan fungsi racun yang sangat berbisa sekalipun racun itu telah masuk ke dalam tubuh seorang manusia.
SOLAT ADALAH PENYELESAIAN
Rasulullah SAW apabila diuji dengan sesuatu perkara yang berat, Baginda akan bersegera melaksanakan solat sunat. Maka ini adalah peluang keemasan buat kita semua pada zaman Covid-19 untuk memperbanyakkan solat sunat.
Ini kerana kita pada zaman wabak ini memiliki masa yang sangat lapang. Pastikan setiap solat fardu turut disertai dengan pelaksanaan solat sunat yang mengiringi solat-solat fardu yang dikenali dengan nama sunat rawatib.
SELESAIKAN HUTANG
Kematian pada masa wabak Covid-19 boleh datang bila-bila masa. Maka kita mesti bersedia menerima kematian. Kita juga hendaklah menyelesaikan segala tanggungjawab kita kepada manusia yang masih belum selesai.
Sekiranya masih ada hutang yang belum lagi dilunasi, segerakanlah pembayaran hutang tersebut supaya jika ditakdirkan meninggal dunia, kita tidak lagi menanggung bebanan hutang.
Sekiranya ada di antara kita yang pernah menzalimi ahli keluarganya atau orang lain, maka pulangkanlah hak orang yang dizalimi sebelum yang menzalimi dipanggil oleh kematian.
Sibukkanlah dirimu dengan ibadah sebagai bekalan pulang ke alam yang kekal abadi.
Kenyataan Asal: Sheikh Dr. Yusri Rushdi al-Hasaniyy, seorang pakar bedah dan juga ulama hadis terkemuka di Kaherah, Mesir.
- PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










