Hakikatnya, pandemik Covid-19 yang sedang kita lalui ini adalah ujian buat manusia dalam bentuk wabak penyakit. Situasi ini dapat diselarikan dengan apa yang disebutkan dalam firman Allah SWT berkaitan ujian terhadap manusia.
Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan suatu ketakutan, kelaparan dan kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan, dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang sabar. (al-Baqarah: 155)
Dalam ayat tersebut, Allah SWT menjelaskan tentang lima bentuk ujian yang dilalui manusia dan sabar adalah kunci utamanya dalam menghadapi ujian tersebut. Ujian-ujian tersebut merangkumi ujian mental, fizikal, material dan nyawa:
a) UJIAN KETAKUTAN
Rasa takut adalah ujian mental apabila tercetusnya perasaan yang tidak berani menghadapi sesuatu yang pada perasaannya akan membahayakan diri. Ia menimbulkan kebimbangan, kegusaran dan kegelisahan apabila ada sesuatu ancaman terhadap keselamatan diri manusia.
Ketakutan melibatkan ancaman musuh yang bersifat zahir dan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Perasaan takut adalah unsur dalaman manusia dan akibat dari rasa takut tersebut manusia mengambil tindakan-tindakan pencegahan atau penanganan secara luaran bagi mewujudkan situasi selamat dan aman.
Dalam konteks pandemik Covid-19, setiap orang takut dengan ancaman virus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Ini kerana, ia boleh berjangkit dari manusia kepada manusia dan risiko terbesarnya boleh menyebabkan kematian. Lantaran itu, pelbagai langkah diambil untuk mengekang penularan virus ini.
Umpamanya, penjarakan fizikal dan fizikal telah diamalkan, di samping amalan kebersihan kendiri seperti memakai pelitup mulut dan mencuci tangan dilakukan bagi mengurangkan risiko jangkitan virus. Selain itu, perasaan takut jika tidak dikawal dengan baik boleh memberi kesan terhadap kesihatan mental manusia.
b) UJIAN KELAPARAN
Rasa lapar merupakan ujian fizikal yang akan timbul apabila perut kosong. Ia berlaku apabila kekurangan makanan, ketiadaan dan kehabisan makanan.
Dengan kata lain, orang yang lapar biasanya terputus bekalan makanan di samping sumber makanan tidak dapat menampung keperluan manusia sama ada mereka tidak punya wang yang cukup atau bekalan tidak mencukupi atau bekalan tidak dapat disalurkan kepada pihak yang memerlukan.
Di samping itu, kesukaran mendapatkan bekalan makanan juga menyebabkan keperluan fizikal manusia tersebut tidak dapat dipenuhi.
c) UJIAN KEKURANGAN HARTA
Kekurangan harta adalah ujian material kerana ia merupakan barang-barang berharga yang dipunyai oleh seseorang, termasuklah mata benda seperti bangunan, perusahaan, rumah, barang kemas atau bukan mata benda seperti hak cipta.
Kekurangan harta terjadi apabila tidak berlaku penambahan terhadap harta sedia ada, malahan apabila ujian melanda, harta menjadi berkurangan, keuntungan menurun dan rugi. Apabila serangan setempat ini merebak ke peringkat global, setiap lapisan masyarakat terkesan dengan Covid-19.
Ia bukan hanya melibatkan ancaman terhadap aspek kesihatan manusia, malah melangkaui sektor ekonomi. Menurut laporan Perkeso, sebanyak 89,596 kes kehilangan pekerjaan setakat 22 Oktober lalu.
d) UJIAN KEHILANGAN NYAWA
Kehilangan nyawa adalah ujian fizikal. Nyawa manusia sangat bernilai. Ia merupakan roh yang ada di tubuh manusia ketika hidup dalam pelbagai peringkat usia manusia, tua atau muda.
Ujian kematian amat dirasakan kepada pihak yang ditinggalkan apabila ia melibatkan kehilangan orang yang disayangi.
Jumlah kes kumulatif Covid-19 seluruh dunia berdasarkan statistik WHO setakat 27 Disember 2020 yang disahkan adalah 79,232, 555 orang dan kematian 1,754,493 orang.
Di Malaysia sehingga semalam, jumlah positif adalah 113,010 orang dengan 471 jumlah kematian. Malah negara kita kini telah mengatasi jumlah pesakit Covid-19 di China.
e) UJIAN KEKURANGAN BUAH-BUAHAN
Kekurangan buah-buahan adalah ujian material yang melibatkan penghasilan keluaran ladang atau tanaman. Dalam tafsiran yang lebih luas, ia dapat dikaitkan dengan produktiviti manusia.
Ujian ini melibatkan dugaan terhadap sumber rezeki iaitu buah-buahan, tanaman, hasil ternakan atau pertanian. Dalam konteks hari ini, ia turut merangkumi pengeluaran perkilangan dan perindustrian.
Akibatnya, hasil pengeluaran buah-buahan, sayuran, tanaman dan punca rezeki berkurang. Realitinya, pelbagai kisah suka dan duka dalam masyarakat akibat Covid-19.
Situasi ini jika tidak ditangani dengan baik akan mendorong kepada rasa putus asa dalam hidup. Sifat putus asa dilarang dalam Islam. (rujuk ayat 87 surah Yusuf).
Kita mesti punya rasa optimis, bangkit meneruskan kehidupan dan beradaptasi dengan pembudayaan normal baharu di samping mengamalkan cara hidup baharu yang positif
Jangan menyerah dengan situasi Covid-19. Kehadiran tahun baharu 2021 akan membawa sinar kehidupan kepada semua pihak, insya-Allah.
- Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli, Pensyarah, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di [email protected]










