Kematian bukan satu perniagaan - Utusan Malaysia

Kematian bukan satu perniagaan

Nor Shahfuan Izwan Nor Zaizuan (kiri), Ameyliana Ab. Rahman dan Mahani Hussain adalah antara sukarelawan yang mencurahkan masa dan tenaga untuk mengerakkan Pertubuhan Pengurusan Jenazah Al-Ikhlas Pulau Pinang. – UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. (ali-Imran: 185).

Demikian janji Allah mengenai kematian, di mana setiap insan yang benyawa pasti akan diuji dengan kematian.

Kematian sepatutnya menghidupkan jiwa dengan mendekatkan manusia ke arah jalan Allah. Namun entah mengapa dalam masyarakat Islam negara ini, ada yang menjadikan kematian satu bentuk perniagaan.

Caj yang dikenakan untuk pengurusan jenazah malah ada yang mencecah ribuan ringgit. Sehinggakan ada dalam kalangan waris si mati yang kurang berkemampuan gusar memikirkan di mana mereka mahu mencari wang untuk urusan pengebumian.

Kisah-kisah kesukaran yang dialami orang ramai yang menghadapi kesulitan ekoran kekangan kewangan menjadi pendorong kepada sekumpulan anak muda untuk menubuhkan Pertubuhan Pengurusan Jenazah Al-Ikhlas Pulau Pinang.

Sejumlah 30 sukarelawan pertubuhan ini terdiri daripada pelbagai latar belakang, ada yang masih bergelar pelajar, suri rumah dan peniaga, namun matlamat mereka hanya satu, iaitu untuk memudahkan perjalanan akhir seorang Muslim.

Setiausaha Pertubuhan Pengurusan Jenazah Al-Ikhlas, Nor Shahfuan Izwan Nor Zaizuan, 24, berkata, pertubuhan berkenaan ditubuhkan oleh para seniornya di Kolej Islam Teknologi Pulau Pinang (KITAB), Air Itam, Georgetown, Pulau Pinang selepas mereka mengikuti pengajian berkaitan dengan urusan jenazah di dalam Islam yang merupakan fardu kifayah untuk setiap Muslim.

“Pertubuhan ini bergerak 100 peratus dengan menggunakan sumbangan orang ramai sejak 2014. Tiada caj kepada waris si mati jika mereka mendapatkan perkhidmatan kami.

“Buat masa ini kebanyakan sukarelawan kami menyumbang tenaga dan masa secara percuma kepada masyarakat agar urusan perjalanan akhir saudara Muslim dipermudahkan ,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

 

Semua pengurusan jenazah bermula proses memandikan, mengkafan dan mengebumikan dilakukan percuma oleh sukarelawan.

 

Nor Shahfuan yang merupakan penuntut Diploma Syariah Undang-Undang KITAB mendedahkan tugas murni sukarelawan ini juga tidak lekang dengan ujian dan cabaran.

Katanya, kehadiran sukarelawan pertubuhan berkenaan tidak disukai segelintir pihak yang menganggap mereka mengganggu rezeki orang lain.

“Kami berpendirian bahawa kematian bukanlah satu perniagaan, dan urusan akhir seorang Muslim juga perlu dipermudahkan serta tidak membebankan waris yang tinggal.

“Ada dalam kalangan kami pernah diugut, disindir dan sebagainya namun ia tidak mematahkan semangat sukarelawan untuk membantu masyarakat,’’ katanya.

Tambahnya, selain menguruskan jenazah secara percuma, pertubuhan berkenaan juga mempunyai matlamat untuk mendidik masyarakat mengenai ilmu pengurusan jenazah yang benar-benar mengikut sunnah Rasulullah SAW.

Katanya, ini bagi memastikan tiada sebarang unsur amalan khurafat yang berpandukan ikutan daripada amalan nenek moyang menjadi panduan masyarakat dalam menguruskan jenazah.

“Kami pernah sampai ke sebuah kampung di mana, masyarakat di sana mengamalkan adat nenek moyang upacara seperti air sembilan, air tujuh serta mereka mengambil air wuduk menggunakan air zam zam.

“Sukarelawan kami mengajak mereka kembali kepada sunnah di mana pengurusan jenazah amat mudah dan ringkas serta tidak membebankan sesiapa,” katanya.

Menurut Nor Shahfuan, sebelum pandemik Covid-19, sukarelawan pertubuhan berkenaan aktif menjalankan kursus-kursus pengurusan jenazah membabitkan pelbagai peringkat umur.

“Ada kursus yang dijalankan kepada muslimat, pelajar sekolah rendah dan menengah, penjawat awam dan sebagainya.

“Sambutan yang diterima daripada masyarakat juga amat menggalakkan cuma ketika Covid-19 pergerakan kami untuk menganjurkan kursus terbatas,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pandemik Covid-19 juga tidak membataskan sukarelawan pertubuhan berkenaan untuk membantu menguruskan jenazah secara percuma.

“Dalam tempoh pandemik ini, kami membantu menguruskan jenazah yang tidak berisiko sekiranya khidmat kami diperlukan oleh masyarakat.

“Kami hanya perlu dihubungi di talian hotline dan sukarelawan kami akan sampai membantu untuk mereka yang tinggal di kawasan Pulau Pinang,” katanya.

Tambahnya, pada masa ini mereka mempunyai dua van jenazah yang disumbangkan hasil dana orang ramai.

“Antara kelebihan melakukan kerja-kerja amal ini ialah, orang ramai yang sentiasa menghulurkan sumbangan.

“Dua van kami ini adalah sumbangan mereka, ada individu yang kami dapati setiap hari secara istiqamah menyumbang ke dalam akaun pertubuhan, walaupun RM1 individu berkenaan akan sumbang setiap hari.

“Mereka inilah yang membuatkan sukarelawan kami terus bersemangat untuk berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Mereka yang inginkan perkhidmatan pengurusan jenazah percuma di sekitar Pulau Pinang, boleh hubungi talian hotline Pertubuhan Pengurusan Jenazah Al-Ikhlas Pulau Pinang (011-39916690).
Sebarang sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB Islamic Pertubuhan Pengurusan Jenazah Al Ikhlas Pulau Pinang (86-0232403-7)

Kursus pengurusan jenazah yang diadakan oleh sukarelawan Pertubuhan Pengurusan Jenazah Al-Ikhlas Pulau Pinang turut disertai oleh muslimat di sekitar Pulau Pinang.

PENGALAMAN URUS JENAZAH MENGINSAFKAN

TUGAS memandi dan menguruskan jenazah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang ternyata merupakan pengalaman menarik bagi dua sahabat, Mahani Hussain, 28, dan Ameyliana Ab Rahman, 36.

Kedua-duanya yang merupakan suri rumah memutuskan untuk berbakti kepada masyarakat dengan menguruskan jenazah secara percuma menerusi Pertubuhan Pengurusan Jenazah Al-Ikhlas.

Bagi Mahani, dia yang terlibat sejak lima tahun lalu dalam pertubuhan berkenaan, pengalamannya menguruskan jenazah seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang hilang sejak lima bulan lalu adalah pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

Katanya, jenazah berkenaan telah mereput dan hanya tinggal rangka membuatkan dirinya lebih insaf tentang kebesaran Allah.

“Pada mulanya saya agak takut untuk menguruskan jenazah berkenaan namun dengan niat membantu perjalanan akhir jenazah saya uruskan juga sehingga akhir.

“Alhamdullilah, tugas saya dipermudahkan dengan dibantu rakan-rakan perjalanan akhir jenazah dapat diselesaikan selepas lebih lima bulan dia hilang,” katanya.

Dalam pada itu, bagi Ameyliana, dia berharap lebih ramai golongan wanita tampil untuk memudahkan perjalanan akhir seorang Muslim dengan memberi khidmat serta tenaga dengan percuma.

“Di dalam pertubuhan ini kami ada kira-kira lima orang wanita, kami akan bergilir-gilir menjalankan tugas.

“Kami berharap lebih ramai wanita akan menyertai kami, selain menambah ilmu kita juga dapat memberikan khidmat kepada masyarakat.

“Sudah pasti ganjaran pahala yang kita peroleh bukan hanya di dunia tetapi juga di akhirat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×