Kehebatan kaedah tafsir al-Madasidiy Ibn Asyur - Utusan Malaysia

Kehebatan kaedah tafsir al-Madasidiy Ibn Asyur

IBN Asyur adalah pengarang kitab tafsir tersohor, 'al-Tahrir wa al-Tanwir' yang mengambil masa 39 tahun untuk disiapkan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ilmu tafsir ialah ilmu yang membicarakan kefahaman makna al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan keterangan makna, mengeluarkan hukum-hakam yang terkandung dalam al-Quran.

Al-Zarqani pula memberi takrifan, ilmu tafsir ialah perbahasan mengenai al-Quran dari sudut pendalilannya mengikut kehendak Allah melalui kadar kemampuan manusia.

Imam Tahir Ibn Asyur pula memberi takrifan ilmu tafsir sebagai ilmu mencari keterangan makna lafaz al-Quran, pengajaran daripadanya sama ada dengan ringkas atau huraian yang lebih panjang.

Takrif yang dikemukakan oleh Ibn Asyur ini adalah lebih dekat dengan aliran tafsir al-Quran mengikut maqasid.

IBN ASYUR

Nama beliau ialah Muhammad Ibn al-Tahir Ibn Asyur. Dilahirkan pada 1879 Masihi bersamaan 1296 Hijrah di Tunisia. Nasab keturunannya adalah dari Andalus. Menghafaz al-Quran seawal usia 6 tahun dan menghafaz mutun ilmu.

Pada tahun 1893 Ibn Asyur menyambung pengajian di Universiti Zaitunah iaitu antara universiti tertua di dunia. Beliau amat tekun menuntut ilmu hingga berjaya mencapai sijil terbaik pada 1899.

Sebahagian penulis membuat kesimpulan tentang ketekunan dalam pengajiannya: “Begitulah Syeikh Ibn Asyur memperoleh ilmu yang luas meliputi ilmu tafsir, hadis, qiraat, mustala al-hadis, bayan, lughah, tarikh, mantiq dan ilmu arudh.

“Namun beliau masih tidak berpuas hati dan cuba meluaskan lagi ilmunya dengan membuat banyak kajian. Beliau diibaratkan sebagai buah yang ranum hasil didikan para ulama di zamannya yang mempunyai kelebihan ilmu pengetahuan seperti ensiklopedia dalam seluruh ilmu agama, bahasa arab, ilmu bayan dan badi’.

“Di samping itu beliau mempunyai kemampuan yang tinggi dalam kaedah pengajaran dan penyampaian, menguasai ilmu tarbiah dan sebagainya.”

Dalam kerjaya, Ibn Asyur pernah dilantik ke jawatan penting antaranya kadi, mufti dan juga Sheikh Islam bagi mazhab Maliki. Pada tahun 1923 beliau diberi jawatan mufti dan ketua ahli syura iaitu jawatan tertinggi sebelum wujudnya jawatan Sheikh Islam. Pada 1932 beliau adalah orang pertama yang memegang jawatan Sheikh Islam dalam mazhab Hanafi di Tunisia.

Dalam pembangunan modal insan yang berkualiti, Ibn Asyur memperkenalkan peraturan mewajibkan pendidikan di Tunisia. Beliau menggerakkan satu program untuk membasmi masalah buta huruf dalam kalangan rakyat Tunisia.

Beliau dianggap sebagai pahlawan dalam membuka minda rakyat dan pemikiran. Usahanya membuahkan hasil dengan lahirnya sekumpulan penggerak pembaharuan yang menyinari bumi Tunisia.

Sehingga kini sebahagian karya Ibn Asyur masih dicetak dan jadi rujukan di pusat pengajian tinggi. Antara kitabnya ialah Maqasid Syariah, Usul al-Nizam Ijtima’ei Fi Islam, Usul Insya’ wa al-Khitabah, al-Waqf wa Atharuhu Fi al-Islam dan lain-lain.

Kitab Ibn Asyur yang tersohor ialah al-Tahrir wa al-Tanwir. Beliau mengambil masa 39 tahun untuk mengarang dan menerbitkannya. Kitab tafsir ini mendapat pujian ramai ulama. Mereka menyatakan kaedah dalam tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir adalah berasas kepada maqasid syariah.

Dalam mukadimah kitab tafsirnya, beliau menyatakan kaedah terbaik menafsir al-Quran iaitu dengan menggabungkan kaedah ma’thur, pandangan akal, maqasid al-Quran dan ‘ijaz.

Katanya, menjadi keperluan kepada ilmu tafsir untuk menerangkan juga usul perundangan dan cabang-cabangnya. Di samping itu amat perlu juga mengenali maqasid percakapan Arab dan adab mereka. Kemudian diterangkan athar, asbab nuzul, qiraat dan kepentingannya dalam tafsir.

Ibn Asyur berpendapat, menjadi kewajipan pentafsir menerangkan maqasid utama datangnya al-Quran. Maqasid al-Quran ialah memperbaiki iktikad, memperbaiki akhlak, perundangan sama ada hukum umum atau khas.

Politik ummah merupakan bab yang utama dalam al-Quran dengan tujuan memperbaiki keadaan umat, kisah umat dahulu untuk menjadi pengajaran mengikut kesesuaian zaman, amaran, khabar gembira dan juga ‘ijaz al-Quran yang menjadi bukti kebenaran rasul.

Dalam mengulas kitab tafsir yang banyak diterbitkan sezaman dengan beliau atau sebelumnya, Ibn Asyur menyatakan, kebanyakannya mengambil dan menghimpun pendapat ulama terdahulu sama ada petikan secara ringkas atau huraian panjang.

Perkara menarik dalam tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir ialah kaedah pembaharuan dalam tafsir. Beliau menyatakan: “Allah SWT mengurniakan dan membuka kepada-ku kefahaman tentang makna al-Quran dan mendatangkan kepada-ku permasalahan ilmu yang tidak dinyatakan oleh ulama tafsir sebelum ku”.

Dengan merendah diri beliau berkata, perkara tersebut bukanlah dilakukan olehnya sahaja. Bahkan banyak pendapat telah dinyatakan oleh ulama terdahulu dan berapa banyak kefahaman yang kamu berjaya zahirkan tetapi sesungguhnya ulama terdahulu telah memahaminya.

ILMU MAQASID

Dari sudut bahasa ia bermaksud matlamat, tujuan, hikmah dan rahsia. Imam ‘Iz Abdul Salam berkata, kebanyakan maqasid al-Quran ialah arahan untuk mengambil kemaslahatan dan puncanya serta menolak kerosakan dan puncanya.

Jika diteliti maqasid dalam al-Quran dan sunnah, maka kita akan tahu sesungguhnya Allah SWT menyuruh semua kebaikan dengan cara yang halus dan mulia. Menegah semua kemungkaran sama ada kecil atau besar.

Kebaikan diterjemahkan dengan melakukan kemaslahatan dan menolak semua kerosakan. Kejahatan pula adalah melakukan kerosakan dan menolak kemaslahatan. Perkara yang sama dinyatakan oleh Ibn Asyur di beberapa tempat dalam al-Tahrir wa al-Tanwir.

Sebagai contoh, dalam menafsirkan surah al-Fatihah, Ibn Asyur menyatakan bahawa ia mengandungi tiga maqasid al-Quran iaitu: pujian kepada Allah yang menghimpunkan sifatnya dengan semua pujian juga mensucikan Allah dari segala kekurangan, memperakui keesaan Allah dengan ketuhanan dan memperakui adanya hari kebangkitan dan pembalasan.

Maqasid al-Quran ialah matlamat dan objektif penurunan al-Quran oleh Allah SWT bagi mencapai kemaslahatan untuk hamba-Nya. Dengan huraian di atas maka fahamlah bahawa maqasid dalam al-Quran ialah rahsia, hikmah dan tujuan al-Quran diturunkan adalah untuk mencapai kemaslahatan dan menolak kerosakan.

Hal ini amat jelas dalam ayat di seluruh al-Quran. Setelah membuat banyak pembaharuan dalam sistem pendidikan di Tunisia dan menghasilkan banyak buku yang menjadi rujukan, Sheikh Ibn Asyur meninggal dunia pada 1973 ketika berusia 94 tahun.

  • Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad, Pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, USIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN