HARI ini kita sudah lima hari berada dalam tahun 2021. Selalunya orang akan berkempen mengajak masyarakat agar memiliki azam yang baik untuk memasuki tahun baharu.
Ada yang berazam untuk berjaya dalam pendidikan, ekonomi, sosial, status pernikahan, bahkan ada yang berazam untuk istirahat daripada alam pekerjaan dan menikmati wang pencen sambil mengharungi masa tua.
Walau bagaimanapun, ruang yang kecil ini berasakan seharusnya umat Islam bermuhasabah dahulu sebelum memilih azam untuk tahun baharu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Muhasabahlah diri kalian sebelum kalian diperhitungkan (amalan kalian di bumi). (Riwayat Ahmad)
Dalam tahun 2020, apabila kita melihat pelbagai krisis yang melanda umat Islam di Malaysia apakah sebenarnya punca utama kepada krisis ini? Bagi menjawab persoalan ini, penulis berasa salah satu faktor utama kepada krisis ini adalah kerana defisit (kekurangan) sifat integriti yang berlaku kepada beberapa kelompok.
Misalnya, isu kartel daging yang hangat dibicarakan ini adalah diakibatkan beberapa pegawai kerajaan yang diduga tidak berintegriti dan mengambil rasuah untuk menutup penyeludupan daging yang tidak halal.
Pergolakan politik tanah air juga diduga oleh sebab beberapa ahli politik kepartian yang bersikap tidak berintegriti. Banyak lagi krisis hari ini adalah disebabkan oleh khianat, lawan sifat amanah.
Integriti di dalam bahasa Arab ialah ‘amanah’ yang memiliki beberapa erti seperti benar, jujur, ikhlas dan yang terutama ialah wafa’ iaitu menunaikan apa yang dijanjikan termasuk menunaikan sumpah tugas dan sumpah sebagai hamba Allah.
Oleh sebab itulah menurut ulama ahli kalam (ulama akidah) seperti Imam Muhammad bin Yusuf al-Sanusi (w. 895H) yang dimaksudkan dengan amanah sebagai salah satu sifat wajib para nabi dan rasul adalah mereka terjaga daripada melakukan apa-apa perkara yang dilarang sama ada ia bersifat haram, makruh mahupun khilaf awla (lawan dari perkara yang utama).
Kata ‘amanah’ juga memiliki makna segala perkara yang diwajibkan ke atas hamba-Nya seperti di dalam ayat al-Quran yang bermaksud: Sesungguhnya telah kami kemukakan segala amanah kepada langit dan bumi. (al-Ahzab: 72)
Imam al-Tabari (w. 310H) mentafsir ‘amanah’ sebagai ketaatan dan kewajipan. Amanah bagi seorang muslim tidak pula difahami hanya sekadar tidak mencuri duit rakyat atau tidak mengambil rasuah. Sebaliknya amanah adalah mematuhi segala perintah Allah dan menjauhi larangannya. Orang yang amanah bersifat warak dan takut kemurkaan Allah SWT.
AMANAH
Daripada pelbagai definisi ini, kita dapat sepakat bahawa amanah adalah sifat terpuji yang dimiliki oleh hamba-hamba-Nya yang mulia. Lawan sifat amanah pula adalah khianat iaitu sifat keji yang dibenci oleh Allah SWT bahkan dibenci oleh mana-mana bangsa manusia mahupun agama.
Contoh sifat khianat adalah memberi atau menerima rasuah, pecah amanah, persaksian palsu, menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal, terjerumus di dalam aliran yang menyeleweng seperti pluralisma agama, lari daripada hutang dan lain-lain.

Seseorang yang mengambil rasuah dan membenarkan perjalanan masuk daging-daging yang dilarang oleh kerajaan (illegal) yang haram di sisi agama adalah jelas perbuatan khianat kepada agama dan negara.
Setiap daging haram yang masuk ke dalam perut rakyat negara ini akan dihitung di akhirat kelak. Setiap duit rasuah yang ia terima akan dihisab oleh Allah SWT di akhirat.
Dalam bidang ilmu pula, integriti dalam ilmu adalah penting bagi setiap ilmuwan agar tidak memanipulasi fakta untuk membuat sentimen negatif masyarakat terhadap sesuatu.
Misalnya sengaja membesarkan maklumat tanpa telus menerangkan sisi lain perkara tersebut hingga orang awam yang tidak mengetahui ilmu itu memandang serong sesuatu amalan atau tokoh.
Contoh lebih tepat adalah membuat naratif negatif terhadap beberapa amalan ulama seperti zikir dengan nama Allah, Allah, Allah yang dituduh bidaah kerana kononnya tidak ada dalil dalam agama.
Walhal zikir ini sudah lama diamalkan oleh ulama-ulama besar dalam Islam dan diakui keharusannya oleh mufti-mufti besar Universiti al-Azhar.
Kalau ilmuwan tersebut berintegriti, seharusnya ia jujur dan sampaikan kepada masyarakat bahawa amalan ini diharuskan oleh banyak ulama agar tidak dipandang serong oleh masyarakat awam.
Maka sudah sepatutnya rakyat bangsa yang mulia ini meletakkan azam tahun 2021 menjadi bangsa yang berintegriti atau beramanah, telus dan bertakwa. Kerajaan tidak mahu ada rakyat yang sengaja lari daripada membayar cukai atau hutang.
Rakyat juga tidak mahu ada pemimpin yang korup dan mencuri duit rakyat. Umat tidak mahu ada ilmuwan atau ulama yang tidak amanah dengan ilmu.
Para guru pula sentiasa berharap mendapat murid yang jujur dan telus dengan penulisan mereka, beramanah dalam menukilkan pendapat.
Inilah harapan bangsa ini, bangsa Malaysia. Bangsa yang berharap menjadi negara yang aman damai. Negara yang makmur serta umat yang bertakwa.
Menjadi umat yang berilmu dan telus dalam semua aspek kehidupan duniawi dan ukhrawi. Sifat amanah benar-benar ditanamkan dalam jiwa seluruh bangsa, bukan hanya retorik tetapi diamalkan.
- Dr. Ayman al-Akiti, Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) & Felow Kehormat IKIM.










