TOKOH ulama yang menggerakkan kebangkitan Islam di Turki ialah Badiuzaman Said al-Nursi. Beliau berbangsa Kurdistan. Dilahirkan pada 1876 semasa pemerintahan Khilafah Uthamaniyah. Ibu bapanya adalah orang soleh, bertakwa dan taraf hidup mereka adalah sederhana.
Sejarah membuktikan, Badiuzaman Said Nursi meletakkan seluruh hidupnya berkhidmat kepada al-Quran.
Beliau menafsir ayat al-Quran dan memahami objektif penurunan al-Quran bagi membumikanya dalam menghadapi situasi dan keadaan yang amat mencabar pada zamannya.
Pendidikan rendahnya bermula di madrasah di sekitar daerahnya Nursi. Beliau menunjukkan kesungguhan dalam menekuni ilmu. Berpindah dari satu madrasah ke satu madrasah menuntut ilmu dan menuntut ilmu daripada ramai ulama sehingga beliau menghafal hampir 90 kitab utama dalam setiap ilmu.
Satu kelaziman beliau adalah menyukai majlis perbincangan ilmu dan forum ilmu bersama ulama.
Sejarah menunjukkan beliau mengadakan banyak muzakarah dan perdebatan dengan ulama. Seterusnya pada tahun 1897 beliau bermusafir ke daerah Wan dan menetap di sana untuk mendalami ilmu berkaitan matematik, kimia, fizik, geologi, falsafah dan tarikh sehingga betul-betul menguasainya ke peringkat mampu menghasilkan karya dalam bidang tersebut.
Sebab itulah beliau dianugerahkan dengan pangkat Badiuzzaman, satu pengiktirafan oleh para ulama kerana ketokohannya dalam menguasai ilmu yang luas.
Semasa seorang Menteri British berucap dalam satu majlis dan disiarkan ucapan tersebut dalam akhbar di Turki bahawa: “Selama mana al-Quran berada di tangan orang Islam maka kami tidak mampu menguasai mereka. Kerana itu tidak ada acara lain kecuali dengan menghilangkan al-Quran atau putuskan hubungan umat Islam dengan al-Quran”.
Berita yang mengegarkan umat Islam ini dijawab oleh Badiuzaman Said Nursi dengan laungan suaranya yang berkata: “Sesungguhnya aku akan menunjukkan kepada dunia bahawa al-Quran seumpama matahari yang terpancar sinarnya dan tidak mungkin cahayanya dipadamkan”.
Kesinambungan daripada itu beliau ke Istanbul pada 1907 dan mengemukakan cadangan kepada Sultan Abdul Hamid al-Thani untuk menubuhkan universiti Islam di timur Anadhul. Ia diberi nama Madrasah al-Zahra. Madrasah itu diharap berkembang seperti Universiti al-Azhar yang menjadi nadi dalam menyebar kebenaran Islam. Keunikan madrasah ini ialah integrasi antara pengajian agama dengan ilmu moden.
Ucapan Badiuzaman yang masyhur berkaitan penubuhan madrasah itu adalah: “Punca cahaya hati adalah ilmu agama dan punca cahaya akal ialah ilmu moden. Dengan integrasi dua disiplin itu maka bangkitlah satu semangat tinggi pelajar dan berkarisma dengan dua disiplin ilmu. Namun jika keduanya dipisahkan maka benih taksub berlaku pada hati dan kekeliruan berlaku pada pemikiran”.
RASAIL NUR
Kitab Rasail Nur adalah himpunan penulisan Badiuzaman Nursi dalam tempoh lebih 20 tahun. Beliau tekun menulisnya sama ada ketika dalam tahanan di penjara atau berada dalam buangan.
Mereka yang melihat dan merujuk penulisan Badiuzaman akan kagum dengan hasil karyanya. Seorang yang mempunyai ilmu yang luas dan pandangan yang tuntas dalam ilmu berkaitan al-Quran.
Rasail Nur yang berjumlah sembilan jilid dibahagikan kepada empat bahagian utama iaitu: al-kalimat, al-maktubat, al-lam’at dan al-Syi’a’at. Kesemuanya mengandungi 130 tajuk. Pendekatan yang digunakan bukan sekadar perbahasan ilmu bahkan banyak dibahaskan berkaitan iman, hati, rohani dan mengenali ketuhanan.

Keunikannya juga ialah ciri perbahasan akidah sebagai contoh bukan sebagaimana perbahasan yang ada dalam kitab ilmu kalam dan akidah pada zamannya tetapi beliau membawa pembaca satu jalan yang mana mengambil roh akidah daripada al-Quran. Ia digabungkan dengan peristiwa yang berlaku di dunia ini bagi membuktikan keimanan. Sehingga setiap kali melihat kepada perkara yang ada di dunia maka akan nampak tanda-tanda kebesaran Allah di mana jua dia menghadap.
Beliau tidak suka menjadikan rukun iman dan permasalahanya sebagai sekadar teori atau perkara yang didebatkan tetapi hendaklah dikemukakan betapa manusia perlu kepada fitrah dan roh kehidupan sehingga terpancar dalam fikiran setiap manusia siapakah aku? Dari manakah aku datang? Dan kemanakah aku akan pergi? Dan apakah tugasan ku dalam hidup ini?
Ketika itu maka terpancarlah dalam lubuk hatinya cahaya wahyu menghancurkan kegelapan dan kerunsingan, terbinalah hujah dan dalil daripada akalnya, terubatlah keyakinan dalam hatinya yang kering, pengajaran yang baik dan benar akan mengatasi kesakitan roh dan memerdekakanya daripada tawanan kebendaan.
Pembaca Rasail Nur akan bangkit keimanannya sedikit demi sedikit daripada iman ikut-ikutan yang diucapkan oleh lidah kepada iman yang hakiki dan memberi denyutan baharu dalam kehidupan.
Badiuzaman mengungkap bahawa tafsiran dalam Rasail Nur adalah satu kebenaran bukan gambaran semata-mata. Nilai tambah dalam kitab ini ialah keterangan ilmu moden.
Beliau melihat ilmu moden boleh meneguhkan iman dan amat bermanfaat kepada manusia. Ilmu moden bernilai dan telah diperakui kebenarannya. Sepatutnya pembaca mengambil manfaat ilmu walaupun tinggi kedudukan mereka.
Pada permulaan Rasail Nur di bawah tajuk kalimah pertama dihuraikan makna bismillah. Beliau membawa contoh bagaimana memahami bismillah dengan cerita seorang Badwi di padang pasir yang penuh dengan halangan, rintangan dan musuh. Namun begitu berlindung di sebalik nama ketua kabilah mereka yang akan memberi keselamatan dari semua halangan musuh.
Begitulah juga dengan dua lelaki di mana yang pertamanya mengikut arahan ketua dan yang kedua angkuh tidak patuh kepada ketua. Yang patuh kepada ketua dan menyebut nama ketuanya ketika bersama masyarakat akan diberi penghormatan dan sambutan dengan meriah. Bagi yang angkuh tidak mahu patuh kepada ketua akan berhadapan banyak halangan dan masalah.
Sesungguhnya kalimah bismillah adalah ibarat harta karun yang tidak akan habis. Dengan bismillah akan mengikat kefakiran kamu dengan rahmat-Nya yang amat luas. Dengan bismilah menggantung kelemahan kamu dengan kudrat-Nya yang agung. Sehingga setiap orang yang membuat kamu lemah dan memandang kamu seorang fakir, mereka juga bergantung harap kepada Allah Yang Maha Berkuasa, Pemurah dan Maha Mulia.
Selepas jatuhnya khilafah Islamiah pada 1924, Badiuzaman tidak reda bangsanya dihalang mengamalkan syiar Islam. Al-Quran diletak bukan di tempatnya yang mulia dan banyak pintu kekeliruan dibuka untuk merosakkan iman.
Lantaran itu Badiuzaman berpandangan tidak ada yang boleh menyelamatkan keadaan tersebut kecuali kembali kepada al-Quran.
Beliau berkata: “Sesungguhnya kebenaran dan keistimewaan yang ada dalam al-Kalimat (tafsiran al-Quran yang ditulisnya) bukanlah dari benih fikiranku tetapi ia adalah untuk al-Quran dan ia terbit dari lindungan al-Quran”. Rasail Nur adalah tafsir maknawi al-Quran al-Karim.
Pada tahun 1960 ketika berusia 84 tahun, Badiuzaman Said Nursi meninggal dunia.
- PM Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia.










