Sheikh al-Maraghi: Tokoh tafsir al-Quran, reformis - Utusan Malaysia

Sheikh al-Maraghi: Tokoh tafsir al-Quran, reformis

SHEIKH al-Maraghi adalah pengarang kitab 'Tafsir al-Maraghi' yang terkenal dan mudah difahami.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penulis Tafsir al-Maraghi iaitu Muhammad Mustafa al-Maraghi pernah memegang jawatan Sheikh al-Azhar sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1928 hingga tahun 1930 dan dilantik kali kedua pada tahun 1935.

Beliau memegang jawatan itu hingga akhir hayat iaitu pada 14 Ramadan 1364 hijrah bersamaan 22 Ogos 1945 Masihi.

Syeikh Mustafa al-Maraghi dilahirkan pada 9 Mac 1881 di daerah Suhaj, pedalaman Mesir. Jalur keturunan nasab beliau berakhir di al-Husin Ibn Ali r.a dan Fatimah al-Zahra binti al-Nabi SAW.

Sheikh al-Maraghi dikurniakan kepintaran dalam pengajian dan ayahnya menghantarnya menyambung pengajian ke Universiti al-Azhar.

Di sana beliau menerima ilmu dan talaqi dengan sekumpulan ulama. Antara mereka yang terkesan dalam jiwa Sheikh al-Maraghi ialah Sheikh Ali al-Salihi seorang pensyarah yang menggerak gelombang pembaharuan.

Sheikh al-Maraghi juga mengambil manfaat ilmu daripada tokoh ilmuwan ketika itu iaitu Sheikh Muhammad Abduh.

Pengajian tafsir Sheikh Muhammad Abduh ketika itu amat popular dan mendapat sambutan ramai. Kaedah pengajaran Sheikh Muhammad Abduh amat menarik. Beliau akan memberi jawapan yang tuntas dan memilih jawapan yang terbaik jika banyak pendapat ulama dalam sesuatu isu.

Kaedah ini terkesan dalam pemikiran Sheikh al-Maraghi. Begitu juga dengan pengajian ilmu Balaghah dan Bahasa Arab. Akhirnya, Sheikh al-Maraghi menjadi seorang ulama terkenal di Mesir dan dunia Islam.

Semasa menuntut di al-Azhar, beliau terkenal dalam kalangan sahabatnya dengan akhlak yang terpuji dan sentiasa membuat kajian ilmu.

Beliau mempunyai sekumpulan sahabat yang sentiasa mengkaji kitab sukatan pengajian sebelum pensyarah datang mengajar.
Bahkan beliau tidak memadai dengan hanya kitab sukatan pengajian tetapi merujuk dan mengkaji juga sumber rujukan pelbagai ilmu yang lain.

Pada 12 Rabiulawal 1322 hijrah bersamaan 26 Mei 1904 peperiksaan akhir diadakan untuk ribuan pelajar Universiti al-Azhar.

Keputusannya ialah Sheikh al-Maraghi mendapat tempat kedua kerana kesihatan beliau ketika itu kurang baik. Perkara ini diketahui oleh pemeriksanya iaitu Sheikh Muhammad Abduh.

Selepas keputusan diumumkan Syeikh Muhammad Abduh memujinya dengan berkata: “Aku memerhatikan kamu mengalami kemurungan semasa peperiksaan namun keputusan kamu berjaya peroleh ijazah”.

Peperiksaan ketika itu amat susah. Sheikh Muhammad Abduh telah memuliakan Sheikh al-Maraghi dengan menjemputnya ke rumah beliau. Satu penghormatan yang besar daripada seorang tokoh ulama.

Dalam pengajaran ilmu, Sheikh al-Maraghi mula mengajar di Universiti al-Azhar beberapa bulan sahaja kerana mendapat tawaran sebagai kadi di Sudan.

Walaupun mengajar di al-Azhar hanya singkat, tetapi beliau berjaya membina satu pengaruh dalam kalangan pelajar kerana kaedah pengajaran yang disampaikan penuh dengan ilmu.

BERKHIDMAT DI SUDAN

Kerajaan Sudan berhubung dengan Sheikh Muhammad Abduh di Mesir dan memintanya memilih beberapa orang untuk jawatan kadi.

Orang pertama menjadi pilihan Sheikh Muhammad Abduh ialah Sheikh al-Maraghi. Semasa bertugas sebagai kadi di Sudan hubungan dengan Sheikh Abduh amat rapat melalui surat menyurat untuk membincang urusan hal ehwal agama dan kenegaraan. Begitulah hubungan kedua-dua tokoh ini sehingga gurunya, Sheikh Muhamad Abduh meninggal dunia.

Jawatan terakhir Sheikh al-Maraghi di Sudan ialah Ketua Kadi. Pada tahun 1919, Sheikh al-Maraghi kembali ke Mesir dan diberi jawatan penting seperti Ketua Mahkamah Mesir, anggota Mahkamah Tinggi Syariah dan Ketua Mahkamah Tinggi Syariah.

Semua jawatan tersebut disandang dari 1919 hingga 1928.

Dalam tempoh tersebut banyak pembaharuan penting yang beliau lakukan. Antaranya, membentuk satu lajnah untuk penambahbaikan urusan dengan beliau sendiri menjadi pengerusinya.

Beliau juga memutuskan segala keputusan tidak terikat dengan mazhab Abu Hanifah sahaja sekiranya ada pendapat lain yang sesuai dengan maslahat umum.

Sebelum itu semua keputusan di Mahkamah Syariah Mesir mestilah berdasarkan pendapat mazhab Abu Hanifah sahaja.

Keputusan ini sebenarnya membuka ruang mencari dan mengambil pendapat mazhab lain daripada para imam mujtahid yang sesuai dengan masa dan tempat.

Secara langsung dapat membuat perubahan dalam institusi kekeluargaan islam. Justeru pada tahun 1920 dikanunkan undang-undang kekeluargaan.

UJIAN CABARAN

Banyak cabaran dan ujian yang beliau hadapi. Antara yang paling kuat ialah dalam kes raja Mesir iaitu Raja Faruk yang menceraikan isterinya, permaisuri Faridah. Baginda mahu satu fatwa mengharamkan jandanya Faridah berkahwin lain.

Baginda menghantar utusan kepada Sheikh al-Maraghi bagi menyokong kehendaknya namun Syeikh al-Maraghi menolak dengan tegas. Banyak kali utusan dihantar dan semuanya ditolak sedangkan ketika itu Sheikh al-Maraghi sedang sakit dan dirawat di hospital.

Akhirnya Raja Faruk mencemar duli berangkat ke hospital berjumpa Sheikh al-Maraghi dan kata-kata Sheikh al-Maraghi yang masyhur kepada Raja Faruk ialah: “Ada pun talak aku tidak reda sama sekali dan membuat pengharaman sesuatu perkara bukan di bawah kuasaku”.

Berlaku perdebatan yang panjang antara kedua-duanya. Akhirnya Sheikh al-Maraghi mengangkat suaranya dan berkata: “Sesungguhnya al-Maraghi tidak mampu mengharamkan perkara yang Allah telah halalkan”.

Kesan daripada peristiwa tersebut keadaan kesihatan beliau makin buruk dan akhirnya meninggal dunia pada 1945.

TAFSIR AL-MARAGHI

Permulaan Tafsir al-Maraghi ada menerangkan sebab kenapa ia ditulis. Sebabnya ialah banyak persoalan ditanya kepada beliau iaitu apakah kitab tafsir paling senang difahami dan paling bermanfaat untuk pembaca dalam tempoh yang singkat.

Beliau menyatakan: “Aku berfikir panjang dan tidak dapat jawapan untuk soalan tersebut sedangkan aku tahu bahawa keseluruhan kitab tafsir mempunyai banyak faedah, rahsia dalam agama yang bermanfaat.

“Keterangan objektif kitab yang mulia ini, penuh dengan disiplin ilmu sama ada balaghah, nahu, saraf, fiqh, usul, tauhid dan lain-lain di mana penulisnya menjalankan amanah untuk pembacanya.

“Begitu juga dengan tafsiran berkaitan isu global. Ringkasnya, para penulis telah membuat tafsiran amat sesuai dengan zaman mereka”.

Banyak lagi hujah yang dikemukakan dan akhirnya beliau mengambil pendirian amat sesuai untuknya menulis satu kitab tafsir dengan kaedah yang mudah difahami, bersandar kepada bukti yang jelas, tidak mengambil riwayat hadis yang panjang.

Segala permasalahan ada jawapan tuntas supaya tidak membazir waktu untuk memahaminya. Semoga manfaat ilmu dalam kitab Tafsir al-Maraghi ini menjadi sebahagian panduan kita.

  • PM Dr Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×