MASJID Bandar Putra IOI Segamat mengambil inisiatif menjalankan aktiviti kitar semula bagi menggalakkan penduduk sekitar Segamat menjaga kebersihan rumah serta bandar ini.
Pengerusi Masjid Bandar Putra IOI, Malek Ramli berkata, pihaknya menyediakan kawasan khas pengumpulan barangan tersebut wuntuk mengalu-alukan orang ramai termasuk kariah menghantar barangan kitar semula.
“Orang ramai boleh menghantar barangan tidak digunakan lagi di rumah mereka seperti botol plastik, kertas, kotak, tin aluminium dan pelbagai barangan yang boleh dikitar semula kecuali kaca dan sisa makanan.
“Oleh itu, kita menyediakan satu sangkar khas bagi tempat penyimpanan dan pengumpulan barangan kitar semula ini di sudut tepi masjid ini,” katanya ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Malek, hasil jualan barangan kitar semula itu akan disalurkan terus sebagai dana bagi tabung Masjid Bandar Putra IOI.
Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Biro Rakan Muda Masjid Bandar Putra IOI, Muhamad Mufarizam Yahir berkata, dia yang mencetuskan idea kitar semula sambil menderma kira-kira dua bulan lalu.
“Pada mulanya saya hanyalah jemaah masjid yang sering datang untuk menunaikan solat kerana rumah saya tidak jauh dari masjid ini.
“Saya lihat kawasan masjid yang luas dan kapasiti penduduk yang ramai di Bandar Putra IOI ini sesuai untuk dijadikan pusat pengumpulan barangan kitar semula.
“Kadangkala kita ada banyak barangan terbuang tersimpan di rumah. Daripada mereka buang barangan itu begitu sahaja, lebih baik mereka bawa barangan tersebut ke Masjid Bandar Putra IOI ini.
“Jadi kita boleh jual bagi pihak mereka dan hasil jualan itu kita akan salurkan terus kepada tabung masjid. Rumah bersih, pahala pun dapat,” ujarnya.

Muhamad Mufarizam, pembinaan sangkar kitar semula yang bersaiz 3×9 kaki ini mempunyai tiga pembahagian ruang bagi barangan kertas dan kotak, plastik dan lain-lain.
Dia menambah, aktiviti itu pada mulanya diuar-uarkan di laman media sosial kariah-kariah Masjid Bandar Putra IOI, kempen rumah ke rumah dan perkongsian aktiviti kitar semula ini telah dibuat sebelum khutbah Jumaat.
Mufarizam yang bertugas sebagai Penguat Kuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCORP) Segamat berkata, pihak masjid turut mendapat sokongan dan bantuan pihak SWCORP dalam menjalankan aktiviti kitar semula ini.
“Pihak SWCORP akan menghantar lori penimbang sebanyak dua kali sebulan ke masjid untuk menimbang hasil dan membawa barangan ini ke pusat pelupusan kitar semula.
“Bagi bulan November ini, kita berjaya mendapat hasil jualan sebanyak RM183.11 dengan mengumpul barangan kitar semula seberat 455 kilogram (kg).
“Saya akan menghantar resit jualan di dalam group whatsapp kariah masjid sebagai bukti bertulis jualan itu,” kongsinya.
Mufarizam yang pernah tular di media sosial sebagai ‘Hero Sampah’ apabila dia yang gemar berbasikal terlihat banyak sampah yang dibuang ke bahu jalan oleh pengguna jalanr aya.
Masjid Bandar Putra IOI pernah dinobatkan sebagai Masjid Terbaik di Dalam Daerah Segamat pada tahun 2018.
Banyak aktiviti masjid telah dijalankan oleh masjid yang berusia lapan tahun ini seperti kuliah agama sebanyak 22 kali sebulan, Majlis Helwa bagi jemaah wanita sebanyak enam kali sebulan dan lain-lain aktiviti majlis ilmu.
Walaupun pandemik Covid-19 masih lagi berlaku, Masjid Bandar Putra IOI tetap aktif menjalankan majlis ilmu namun dalam norma baru seperti disarankan oleh Kementerian Kesihatan.










