Setiap muslimin dituntut untuk menuntut ilmu. Rasulullah SAW bersabda: Menuntut ilmu adalah fardu atas sekelian muslimin. (Riwayat al-Baihaqi, dll). Dalam hal ini, ilmu adalah sebuah perkara yang dianggap mulia dan memiliki darjat yang tinggi di dalam Islam.
Buktinya, Rasulullah SAW ketika menerima wahyu, maka Iqra’ (bacalah) yang pertama diturunkan ke kepada Baginda Rasulullah SAW menurut satu riwayat.
Atas sebab itulah institusi agama Islam yang dibanggakan di Malaysia; Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjadikan iqra’ sebagai motto utama universiti yang mulia ini.
Imam agung kita, Imam al-Syafi’i (w. 204H/820M) pula mengibaratkan ilmu itu seperti cahaya. Maka cahaya mestilah bersama dengan orang yang bersih dan terang, dan tidak bersama dengan orang yang melakukan maksiat kerana diibaratkan sebagai kegelapan.
Oleh sebab itulah Imam al-Ghazali (w. 505H/1111M) berkata di dalam Ihya’ Ulum al-Din bahawa ilmu adalah cahaya seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud r.a.
Maka, Islam sejak awal kelahirannya mengutamakan ilmu. Para sahabat r.a beramai-ramai melazimi Baginda SAW untuk mendengarkan wahyu-wahyu yang diturunkan kepadanya.
Mereka menghafal dan mencatat segala wahyu tersebut. Ini menunjukkan ilmu hanya boleh didapatkan melalui sistem berguru iaitu menuntut ilmu atau dikenal dalam Bahasa Arab dengan ta’allum.
Menuntut ilmu dengan hanya membaca sendiri tanpa guru dianggap bahaya kerana dibimbangi membawa kepada kesalahfahaman yang membawa kepada kesesatan.
Ibarat dalam perubatan, seorang cerdik pandai yang menghafal segala buku berkaitan perubatan tidak mungkin boleh mengaku dirinya sebagai seorang doktor perubatan melainkan ia masuk di dalam fakulti perubatan dan lulus serta mengangkat sumpah sebagai doktor perubatan yang diakui oleh kerajaan. Kalau tidak maka amalinya akan dianggap sebagai malpractice.
Kalau pesakit jasad zahir sahaja perlu doktor untuk merawatnya, maka pesakit hati batinnya lebih memerlukan doktor untuk mengubati jiwa yang patah lagi merana. Proses diagnosis dan rawatan ini disebut sebagai suhbah di dalam ilmu tasauf iaitu ilmu merawat jiwa.
Oleh sebab itu, Hujjah al-Islam al-Ghazali r.h berkata di dalam wasiatnya terhadap muridnya dengan judul Ayyuha al-Walad: “Wajib bagi seorang salik (murid tasauf) untuk berguru dengan seorang Sheikh yang mentarbiahnya, yang menunjukkan kepada jalan menuju Allah SWT, kerana sesungguhnya Allah SWT telah mengutus kepada hambanya Rasul untuk irsyad kepada jalan-Nya. Ketika mana Baginda SAW wafat, maka tugas itu diberikan kepada khalifah sehingga mereka mengirsyadkan para manusia menuju Allah SWT”.
PESANAN
Di dalam kitab Ihya’nya pula, Imam al-Ghazali berkata: “Seorang murid memerlukan guru atau ustaz untuk ia ikuti lebih-lebih lagi agar dapat menunjukkan kepadanya kepada jalan yang lurus, kerana jalan agama adalah sangat dalam (ghamid), sedangkan jalan syaitan banyak yang zahir. Maka barang siapa yang tiada baginya guru, maka syaitan akan menuntunnya kepada jalannya (yang sesat)”.
Pesan Imam al-Ghazali ini sangat berharga kepada masyarakat hari ini, yang mana jumlah krisis akhlak dan iman semakin meningkat. Ada dalam kalangan masyarakat yang apabila ditimpa musibah seperti kewangan dan perasaan tidak lagi mencari orang yang pakar dan ahli seperti guru mursyid untuk mendapatkan nasihat, tetapi malu bertanya. Akhirnya berakhir dengan bunuh diri na’uzu billahi min dhalik!
Sumber utama pentingnya berguru dalam penyucian jiwa adalah berasal dari firman Allah SWT: Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kami berada bersama-sama orang yang benar (Sadiqin). (al-Taubat: 119).
Menurut Sheikh ‘Abd. al-Qadir ‘Isa al-Shadhili dari Damsyik (w. 1991M) yang dimaksudkan dengan Sadiqin adalah orang yang terpilih dalam kalangan orang mukmin yang mana Allah telah maksudkan di dalam firmannya: Di antara orang yang beriman itu ada orang-orang yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah. (al-Ahzab: 23)
Sumber daripada hadis Rasulullah SAW adalah yang diriwayatkan dari Ibn Abbas r.a bahawa dikatakan kepada Baginda SAW: Ya Rasulullah! Mana satukah teman kita yang terbaik? Maka Baginda SAW menjawab: “Orang yang mengingatkan kamu pada Allah ketika kamu melihatnya, ucapannya membuatkan bertambah ilmumu dan amalnya membuatkan kamu teringat pada hari akhirat. (Riwayat Abu Ya’la dengan perawi yang sahih seperti dalam Majma’ al-Zawa’id X/226). Hadis ini menunjukkan pentingnya bersuhbah atau hidup berguru untuk menuntun jalan murid kepada penyucian jiwa.
Ketika seorang guru telah mengajarkan ilmu serta mentarbiah muridnya, maka bermulalah perjalanan murid tadi sebagai seorang salik dengan bimbingan ilmu zahir serta pendidikan akhlak dan rohani. Maka sudah tentu murid tadi dituntut untuk beradab dan menghormati gurunya sebagai pendidik dan seniornya. Jasa guru senantiasa dikenang.
Maka benarlah keputusan pimpinan UIAM yang berusaha menjadikan para pensyarahnya bukan hanya sebagai pensyarah tetapi menjadi seperti mursyid yang membimbing mahasiswa-mahasiswanya bukan hanya ilmu tapi juga akhlak dan budi yang mulia.
Inilah yang terkandung dalam salah satu motto UIAM lagi iaitu Khalifah. Maka pensyarah bukan hanya mengajar tetapi juga membimbing dan membina umat. Dalam kesempatan ini penulis ingin mengajak para pembaca menghadiahkan al-Fatihah kepada guru umat Islam berbangsa Melayu yang baru sahaja meninggalkan kita, Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid dan Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah, al-Fatihah!
- Penulis ialah Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama UIAM & Felow Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










