Maksimumkan rebat cukai pendapatan dengan zakat - Utusan Malaysia

Maksimumkan rebat cukai pendapatan dengan zakat

UMAT Islam di negara ini layak mendapat rebat cukai pendapatan melalui bayaran zakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selalunya apabila bulan Disember seperti sekarang, majoriti mereka yang makan gaji dan dikenakan cukai pendapatan mula memikirkan bab rebat ke atas cukai pendapatan mereka. Sebabnya, makin besar pendapatan, makin besarlah cukai pendapatan yang wajib dibayar.

Antara soalan yang sering ditanya ialah bolehkah seseorang itu mendapatkan 100 peratus rebat atas cukai pendapatannya? Jika boleh, bilakah seseorang itu boleh mendapat penolakan 100 peratus itu?

Adakah penolakan itu dikira setahun daripada tempoh pengiraan cukai wajib bayar? Juga soalan lebih panas, bolehkah jika seseorang itu hanya bayar zakat sahaja dan tidak mahu membayar cukai pendapatan?

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, rebat bermaksud potongan daripada sejumlah bayaran yang kena dibayar atau pemulangan sebahagian daripada amaun yang telah dibuat sebagai bayaran, (rujuk https://prpm.dbp.gov.my/). Ertinya, dalam konteks zakat dan cukai pendapatan, ada dua situasi:

a) Mereka yang membuat pelarasan antara Potongan Cukai Berjadual (PCB) dengan potongan zakat bulanan akan terus mendapat rebat dalam bentuk potongan bayaran bulanan.

b) Mereka yang membuat bayaran zakat lebih besar berbanding cukai pendapatan, kelak semasa taksiran cukai pendapatan (melalui Borang BE) boleh mendapatkan pemulangan sebahagian amaun cukai pendapatan yang sudah terlebih bayar itu.

Di Malaysia, umat Islam beruntung kerana Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967), Perkara 6A (3) menyatakan dengan jelas kedudukan rebat ini, iaitu: “Rebat hendaklah diberikan pada tahun-tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarannya wajib dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis.”

Jika diteliti, di dalam petikan di atas, dinyatakan dengan jelas bahawa:

a) Rebat hendaklah diberi kepada umat Islam yang membayar zakat atau disebut ‘sebarang pembayaran wajib di sisi agama Islam.’

b) Zakat dibayar dalam tahun taksiran semasa sahaja diambil kira untuk rebat cukai.

c) Pembayaran zakat mesti mempunyai bukti pembayaran (resit) yang sah.

d) Zakat mesti dibayar kepada pihak yang berautoriti iaitu Majlis Agama Islam Negeri (yang kemudiannya diturunkan kepada institusi zakat negeri-negeri).

Sementara itu, untuk mendapatkan rebat 100 peratus ke atas cukai pendapatan, kita perlu pastikan jumlah zakat yang dibayar pada tahun semasa itu melebihi atau menyamai jumlah cukai pendapatan yang dikenakan.

Walau bagaimanapun, hal ini pastilah sulit dilakukan. Ini kerana, kadar cukai pendapatan adalah berbeza dengan kadar zakat. Umumnya kadar cukai pendapatan adalah 1% hingga 30% mengikut jumlah pendapatan kita (rujuk http://www.hasil.gov.my/).

Umumnya kadar zakat harta pula adalah 2.5% sahaja dan ia adalah kadar tetap. Hanya ada beberapa jenis harta zakat sahaja kadarnya berbeza, iaitu zakat pertanian (5% atau 10%) dan zakat galian harta karun (20%).

Maka, selalunya orang akan membayar zakat dengan maksimum untuk mendapatkan rebat yang maksimum juga. Apa yang dimaksudkan dengan maksimum itu adalah selaras dengan apa yang dinyatakan di dalam ACP 1967 6A (3) di atas, iaitu semua jenis pembayaran zakat yang wajib di sisi Islam termasuklah zakat fitrah, semuanya berhak mendapat rebat atas cukai pendapatan pada tahun taksiran semasa, dengan syarat dibayar pada tahun semasa itu juga.

Ertinya, jika kita membayar apa sahaja zakat pada tahun 2020, tidak terbatas hanya zakat pendapatan.

Jadi adalah salah tanggapan sesetengah pihak bahawa hanya zakat pendapatan yang layak mendapat rebat cukai pendapatan pada tahun semasa. Padahal ia terbuka bagi semua jenis zakat.

Namun begitu, sering terjadi walaupun sudah memaksimumkan bayaran zakat, cukai pendapatan masih lagi tinggi dan kita kena juga membayar cukai pendapatan. Ini sebenarnya berbalik kepada perkara asas, iaitu kadar cukai pendapatan yang sememangnya jauh lebih tinggi berbanding kadar zakat harta. Atas dasar itu, kita tetap wajib membayar cukai pendapatan.

Maka, selaku warganegara yang terikat dengan undang-undang, kita raikanlah kedua-duanya, iaitu zakat dan cukai pendapatan. Tunaikan zakat dengan maksimum dan kemudiannya dapatkan rebat yang diberikan oleh pihak kerajaan. Itu lebih selamat bagi kita.

LHDN memang berhak membuat semakan dengan meminta kita mengemukakan bukti-bukti pembayaran zakat apabila perlu. Maka, elakkan tindakan undang-undang dengan membuat tuntutan rebat di luar kewajaran atau lebih parah, bersifat pemalsuan fakta dengan mengisytiharkan bayaran zakat yang tidak dilakukan.

Ambil peluang dengan memaksimumkan bayaran zakat, khususnya dengan menghitung kembali segala harta yang dimiliki, terutamanya harta pendapatan yang sering bertambah dari semasa ke semasa.

Selepas itu, segera bayar zakat dalam tempoh sebelum 31 Disember.  Dengan itu, kita layak mendapat rebat yang disediakan. Wallahua’lam.

  • Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Ketua Jabatan Sekretariat Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan boleh dihubungi di [email protected].
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN