Faraid beri keadilan elak perbalahan - Utusan Malaysia

Faraid beri keadilan elak perbalahan

HARTA peninggalan si mati perlu diurus mengikut hukum faraid untuk memastikan keadilan kepada para warisnya – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kemelut pengurusan harta keluarga yang melibatkan harta pusaka semakin merumitkan saban hari sehingga memberi kesan kepada konflik antara waris. Kemelut ini dapat dilihat melalui peningkatan statistik harta pusaka yang tidak dituntut setiap tahun menyebabkan harta tersebut masih kekal atas nama si mati.

Selain harta itu tidak dapat dibangunkan kerana sukar untuk dicairkan, ia juga mendorong kepada pihak waris tidak dapat memanfaatkan harta yang sepatutnya mereka perolehi. Kesannya, kebajikan waris turut terabai kerana berkemungkinan mereka sangat memerlukan demi kelangsungan hidup seharian.

Dari sudut yang lain, perbalahan antara waris yang masing-masing menuntut hak ke atas harta pusaka membawa kepada kemelut berpanjangan. Akhirnya keharmonian antara keluarga dan silaturahim turut terabai.

Desakan hidup masa kini tidak seperti dahulu. Sebabnya hampir semua urusan kehidupan memerlukan perbelanjaan. Setiap harta yang dikumpulkan berkemungkinan hanya dapat memenuhi tuntutan keperluan asas kehidupan seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Ironinya, setiap individu Muslim perlu peka tentang pengurusan harta keluarga masing-masing dalam menghadapi kehidupan yang semakin kompleks.

Pengurusan harta keluarga adalah luas mencakupi perbelanjaan wajib dan sukarela, urusan hutang, tabungan bantuan kecemasan sehinggalah kepada urusan kewangan selepas kematian iaitu harta pusaka.

Dalam Islam, pensyariatan hukum faraid yang meletakkan matlamat akhir iaitu memberi hak berkaitan harta pusaka kepada yang berhak seharusnya dilihat secara menyeluruh dalam menyelesaikan kemelut pengurusan harta keluarga.

Faraid adalah sinonim dengan satu disiplin ilmu tentang asas-asas yang merangkumi fiqh dan pengiraan untuk mengetahui hak yang berkaitan harta peninggalan si mati.

Harta itu perlu diuruskan mengikut peraturan syarak. Peraturan hukum faraid yang ditetapkan adalah penting kerana melibatkan pengurusan sebelum dan selepas kematian.

Kepentingan ilmu ini diingatkan oleh Rasulullah SAW melalui sabda baginda yang bermaksud: Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkanlah kepada manusia. Sesungguhnya ia merupakan sebahagian ilmu dan ia akan dilupakan serta ilmu yang pertama yang akan diangkat daripada umatku. (Ibn Mājah. Al-Sunan. Kitab al-Faraid (23). Bab: al-hath ala ta’līm al-faraid. No: 2719)

Sistem pindah milik harta pusaka melalui hukum faraid bertujuan memelihara harta yang diusahakan dan menguruskan penggantiannya kepada seseorang yang berhak dan layak untuk memilikinya. Penggantian ini disifatkan sebagai satu ketentuan yang tetap dan bukannya pilihan supaya tidak berlaku penyelewengan terhadap harta yang ditinggalkan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah SWT tidak mewajibkan zakat melainkan untuk menyucikan harta yang kamu miliki, dan mewajibkan pewarisan sebagai satu hak kepada ahli waris selepas (kematian) kamu. (Abu Dawud. Al-Sunan. Kitab al-Zakat (9). Bab: fi huquq al-mal (32) no. 1664)

PERINGATAN KEMATIAN

Kematian adalah suatu yang pasti dan sebahagian ketentuan ilahi dalam penghujung kehidupan. Namun, setiap kita tidak tahu dan tidak pasti persoalan berkaitan kematian termasuklah bila, di mana dan bagaimana ia berlaku.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. (al-Nisa’: 78)

Ilmu faraid adalah sebahagian perancangan dalam mengurus kematian. Ajaran Islam menganjurkan kita sentiasa mengingati kematian dan membuat persediaan menghadapinya. Matlamat mengingati mati bukan untuk mematikan semangat, sebaliknya membakar semangat untuk menghasilkan yang terbaik dalam kehidupan dunia sebagai bekalan akhirat.

Setiap individu mendepani konflik yang berbeza dalam kehidupan. Begitu juga halnya dalam mengetahui ilmu faraid. Hanya indivdu itu sahaja yang mengetahui perancangan yang terbaik dalam keluarga mahupun harta mereka sendiri.

Contohnya, apabila seseorang tidak ada zuriat dan hanya mengambil anak angkat, maka pemindahan harta yang terbaik ialah melalui hukum wasiat atau hibah. Wasiat lebih sesuai kerana termanya merujuk kepada sumbangan sebanyak satu pertiga kepada selain waris.

Anak angkat dalam keluarga individu tersebut bukan waris yang layak menerima harta pusaka melalui hukum faraid. Hibah juga lebih signifikan kerana pemberian harta berlaku semasa pemberi masih hidup lagi.

PENGUKUHAN KEIMANAN

Pensyariatan hukum faraid bukanlah rekaan manusia tetapi salah satu perintah dan wahyu Allah SWT. Sebagai umat Islam seharusnya bersifat akur dan taat apabila perintah tersebut mempunyai nilai agamanya. Tiga ayat al-Quran surah al-Nisa’ iaitu ayat 11. 12 dan 176 disifatkan oleh ilmuwan Islam sebagai ayat-ayat pusaka menjadi sebahagian perintah untuk ditaati.

Allah SWT mengingatkan manusia untuk lebih berwaspada apabila melibatkan harta pusaka. Firman Allah SWT selepas menerangkan ayat 12 dalam surah al-Nisa’ yang bermaksud: Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, dan melampaui batas-batas syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina. (al-Nisa’:13-14)

Hubung kait antara faraid dan keimanan tidak boleh dipisahkan. Ini kerana faraid itu sendiri adalah sebahagian hukum Islam atau fiqh yang menjadi sebahagian elemen Islam.

Sebagai waris kepada si mati seharusnya yakin habuan yang diperolehi melalui harta pusaka adalah sebahagian keistimewaan atas kapasiti sebagai waris yang masih hidup. Berkemungkinan harta yang diperolehi adalah sedikit atau banyak dan kadangkala tidak diperolehi langsung atas faktor tiada lebihan atau tidak layak daripada senarai waris yang wujud.

Ini seiring dengan keimanan dengan ketentuan ilahi melalui beriman dengan qada dan qadar, di samping harta pusaka itu sendiri yang diperolehi secara percuma. Tidak perlu bertelagah dan bermati-matian menuntut harta pusaka, sedangkan waris boleh bertolak ansur demi menjaga kebajikan waris yang ada.

Sebagai contoh, adik beradik si mati yang ada pendapatan sendiri digalakkan berlaku ihsan terhadap zuriat adik beradik yang meninggal dunia. Berkemungkinan zuriat tadi sangat memerlukan sokongan kewangan yang lebih berbanding sokongan kasih sayang semata-mata.

 

Barang kemas termasuk antara harta yang perlu difaraid mengikut syarak.

IKATAN KELUARGA

Pewarisan adalah satu sistem semula jadi manusia dalam kehidupan bermasyarakat. Secara fitrahnya, manusia akan berusaha mencari harta dan mengagihkan harta tersebut kepada individu-individu yang dicintainya.

Oleh itu, tidak hairanlah Islam memperakui faraid adalah salah satu bentuk sumber pemilikan harta melalui satu sistem agihan yang tersusun dan sistematik. Ilmu faraid menghuraikan golongan yang layak menerimanya secara tersusun berdasarkan susunan kekeluargaan dan tanggungjawab.

Selain itu, ia mengawal agihan supaya tidak diserahkan kepada mereka yang tidak sepatutnya. Salah satu bentuk keadilan dalam sistem pusaka Islam ialah mengambil kira kedudukan kekeluargaan.

Sistem ini meraikan susunan keluarga yang bersifat keibubapaan dengan ikatan yang sah. Mereka yang paling hampir dengan si mati adalah lebih layak disenaraikan penerima utama pusaka. Ia menunjukkan satu bentuk jaminan kepada setiap waris terdekat yang merupakan golongan yang paling rapat dalam sesebuah keluarga.

Pengetahuan tentang ilmu faraid dapat menghapuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penerima terhadap bahagian yang diperolehinya yang mungkin membawa kepada pergaduhan antara satu sama lain.

Apabila seseorang meninggal dunia dan meninggalkan harta tanpa diurus dengan peraturan yang baik, nescaya akan membawa kepada pengabaiannya atau dieksploitasi oleh golongan tertentu. Realiti persengketaan yang mungkin berlaku dalam masyarakat ini boleh dikurangkan atau dihapuskan dengan satu sistem yang baik.

Selain itu, ilmu faraid juga mengambil berat faktor keseimbangan antara hak dengan tanggungjawab. Sebagai contoh, anak-anak atau zuriat si mati dilihat lebih utama daripada bapa si mati kerana mereka belum berupaya menghadapi cabaran hidup.

Oleh itu, bahagian yang diperoleh anak-anak si mati lebih banyak berbanding bapa. Di samping itu, golongan lelaki akan mendapat bahagian yang lebih berbanding wanita. Ini kerana pada amalannya, lelaki mempunyai tanggungan yang lebih dan memikul beban hidup untuk diri dan keluarganya.

Mereka ditugaskan sebagai pemberi nafkah kepada isteri, ibu bapa dan anak perempuan atau saudara perempuan yang belum berkahwin. Mereka juga bertanggungjawab sebagai penjamin tindakan jenayah yang dilakukan oleh ahli keluarga lain yang disebut dengan sistem al-aqilah (pembayar pampasan diyyah).

Keadilan faraid juga dapat dilihat apabila menetapkan hak wanita sama seperti kedudukan lelaki dalam senarai penerima pusaka. Ini kerana, mereka juga adalah makhluk Allah SWT yang mempunyai hak dan tanggungjawab yang hampir serupa terutama yang berbentuk tuntutan kejadian sebagai makhluk dan hamba kepada Allah SWT.

ETIKA YANG BAIK

Harta adalah amanah Allah SWT yang wajib ke atas setiap orang untuk memeliharanya. Ia merupakan satu jalan untuk mencapai kebahagiaan dalam kehidupan di dunia dan bukanlah dianggap sebagai matlamat utama.

Dalam hal ini, Islam tidak melarang umatnya daripada berusaha mengumpul dan menyimpan harta tetapi perlu diurus secara berkualiti dan berakhlak. Ini menunjukkan tidak ada tegahan bagi seseorang memiliki harta yang bersifat individu.

Walau bagaimanapun, pemilikan tersebut perlu diambil kira dengan mengikut landasan syarak sama ada dari sudut sumbernya atau beberapa etika yang perlu diikuti seperti tidak melakukan kezaliman, penipuan dan mudarat kepada masyarakat.

Ini kerana penguasaan ke atas harta adalah bersifat sementara dan pemilikan mutlak adalah hak Allah SWT.  Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian daripada harta benda (pemberian Allah) yang dijadikan kamu menguasainya sebagai wakil. (al-Hadīd: 7)

Satu etika yang perlu dijaga melibatkan agihan faraid ialah pendekatan berkomunikasi yang baik antara keluarga. Tidak seharusnya kecaman, celaan mahupun kata nista mendominasi ahli keluarga demi mendapat hak ke atas harta yang ditinggalkan.

Dalam hal ini Al-Quran menggariskan beberapa bentuk komunikasi yang boleh diimplementasi dalam urusan pengurusan harta keluarga. Dua frasa yang digunakan ialah qawlan ma’rufa dan qawlan sadida digunakan sebelum menceritakan tentang agihan faraid dalam surah al-Nisa’.

Ia dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, maka berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya, dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik. Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh) orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran). (al-Nisa’: 8-9)

Qawlan ma’rufa dalam ayat ke-8 digunakan untuk menunjukkan berkomunikasi dengan baik terutama apabila sasaran pendengar terdiri daripada pelbagai kumpulan sasar.

Dalam agihan harta mungkin terdapat anak yatim, balu, ibu tunggal dan orang miskin yang dapat habuan yang sedikit atau tidak dapat langsung peruntukan dalam faraid.

Adapun qaulan sadida digunakan dalam ayat ke-9 bagi menunjukkan pendekatan komunikasi dengan menggunakan perkataan yang tegas, tepat, terang dan benar. Bukannya komunikasi yang menggunakan ayat yang berjela-jela dan berfalsafah.

Kedua-dua cara berkomunikasi yang dianjurkan ini seharusnya diperhatikan oleh setiap waris agar tiada pihak yang terguris dalam agihan harta pusaka si mati.

 

Jangan sampai berbalah berebut harta sehingga menjejaskan silaturahim keluarga.

 

PENEGASAN

Pensyariatan hukum faraid bertujuan merealisasikan kemaslahatan manusia sama ada melibatkan individu, keluarga atau masyarakat. Hakikatnya, kelebihan yang sebenar hanya diketahui oleh Allah SWT yang telah menentukan dan menetapkan hukum tersebut.

Kedangkala manusia mungkin tidak mengetahui secara mendalam perkara di sebalik pensyariatan faraid mahupun perinciannya telah ditetapkan oleh wahyu ilahi.

Waris mungkin jahil atau mempersoalkan tentang peruntukan bahagian pusaka mereka, namun jarang mereka mempersoalkan tanggungjawab yang ditunaikan sebagai ahli keluarga.
Jangan sampai berbalah menuntut harta sehingga menjejaskan silaturahim keluarga.

Apa yang pasti Allah SWT mengingatkan selepas memperinci bahagian pusaka si mati tentang hukum faraid adalah suatu perintah melalui firman-Nya yang bermaksud: Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu tidak mengetahui sesiapa antara mereka yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan daripada Allah. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Amat Bijaksana. (al-Nisa’: 11)

  • Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN