Apa kesudahan Arab Spring selepas 10 tahun? - Utusan Malaysia

Apa kesudahan Arab Spring selepas 10 tahun?

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) merekodkan seorang kanak-kanak di Syria mati setiap 10 jam akibat perang. – UTUSAN/RAZALI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Segalanya bermula dengan rasa tidak puas hati dengan pelbagai isu yang berakar umbi dari generasi ke generasi. Tuntutan kebebasan hak asasi, pentadbiran kuku besi, masalah korupsi, jurang ekonomi, kemiskinan dan banyak lagi menjadi isu utama negara Arab sama ada di Asia Barat atau Afrika Utara.

Tarikh 17 Disember 2010 membuka lembaran baharu yang menjadi titik tolak kejatuhan satu persatu rejim di kelompok negara berkenaan.

Segalanya bermula selepas Mohamed Bouazizi, seorang penjaja buah di tepi jalan di Sidi Bouzid, Tunisia, yang marah dengan tindakan pihak berkuasa tempatan merampas mata pencariannya.

Didorong rasa tidak puas hati yang sekian lama berakar umbi, lelaki berusia 26 tahun itu membakar diri, satu tindakan yang kemudian mencetuskan ‘revolusi’ di negara berkenaan.

Apa yang dicetuskan oleh Mohamed, tidak mengambil masa lama untuk menumbangkan Presiden Zine-el-Abidine Ben Ali. Dalam tempoh empat minggu, presiden yang memegang tampuk kuasa dari 1987 berjaya digulingkan dan terpaksa mencari perlindungan ke Arab Saudi.

Dari situ, gelombang kebangkitan kuasa rakyat merebak ke negara yang sekian lama berada di bawah pentadbiran diktator.

Berbeza dengan zaman pasca Perang Dunia Kedua pada penghujung 50-an dan 60-an di mana kebanyakan negara Arab yang dijajah mencetuskan revolusi menuntut kemerdekaan serta menggulingkan raja yang menjadi boneka. Kali ini, kebanyakan yang tampil menunjuk perasaan adalah generasi muda yang melihat ‘demokrasi’ adalah idea yang paling ideal untuk mereka.

Melalui slogan Ash sha`b yurid isqat an nizam (rakyat ingin menumbangkan kerajaan) bergema di mana-mana tanpa ada lagi sempadan negara kerana ia telah dipacu oleh pelbagai platform media sosial.

Facebook, Twitter, YouTube dan Skype pada ketika itu menjadi penyebar maklumat paling pantas dan berkesan untuk membangkitkan sentimen anti pemerintah.

 

Penulis (kanan) bersama rakan media di hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah selepas dibebaskan pihak berkuasa Mesir ketika membuat liputan tunjuk perasaan anti Mubarak pada Januari 2011.

Selepas Zine-el-Abidine di Tunisia tumbang, ia membangkit semangat rakyat Mesir untuk menyingkirkan pentadbiran kuku besi Presiden Hosni Mubarak yang terkenal dengan dasar kerasnya terhadap golongan pro Islamis khususnya Ikhwanul Muslimin.

Sama seperti rakan sejawatannya, Presiden Mesir itu terpaksa akur dengan tuntutan penunjuk perasaan. Hosni Mubarak terpaksa menyerahkan kuasa kepada Majlis Tertinggi Angkatan Tentera pada 11 Februari 2011, sebelum kuasa dikembalikan kepada rakyat melalui pilihan raya umum.

Pada tahun yang sama, Presiden Muammar Gaddafi yang berkuasa lebih 42 tahun ditumbangkan dan menjadi ketua negara Arab pertama yang mati dibunuh rakyat sendiri pada 20 Oktober 2011.

Berbeza dengan tiga pemimpin di atas, Presiden Syria, Bashar al Assad masih kekal berkuasa ke saat ini meskipun gelombang yang sama telah menggerakkan kebangkitan rakyat bermula 11 Mac 2011.

Seperti bapanya, Hafiz al Assad yang pernah membunuh 60,000 penduduk Hama pada Februari 1982, dia mengambil langkah serupa untuk menghapuskan sebarang bentuk ancaman.

Dibantu rangkaian polis rahsia yang dikenali dengan kezaliman dan tindakan keras, beliau menggunakan segala cara untuk mengekalkan kuasa yang kemudiannya menjadi perang saudara tanpa kesudahan.

Berbeza dengan Tunisia dan Mesir, keupayaan Bashar untuk terus bertahan kerana dibantu Rusia.

Faktor kemunculan Negara Islam (IS) atau Daesh yang membabitkan Syria dan sebahagian Iraq pada 2014 turut memberi kelebihan kepada rejim.

Menggunakan alasan ancaman berkenaan, Bashar melancarkan serangan secara pukul rata.

Sejak 11 Mac 2011, lebih 600,000 nyawa rakyat Syria terkorban dan lebih 13 juta yang lain menjadi pelarian.

Kisah Arab Spring di empat negara berkenaan membawa pengakhiran berbeza kepada pemimpin yang dijatuhkan. Hanya Gaddafi yang mati di tangan rakyat di tanah air sendiri.

Zine-el-Abidin, meskipun dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana pelbagai kezaliman yang dilakukan sepanjang berkuasa, tidak dipenjarakan kerana perbicaraan dilakukan tanpa kehadirannya.

Beliau meninggal dunia dalam buangan di Jeddah, Arab Saudi pada 19 September 2019.

Hosni Mubarak pula terus berada di Mesir dan keluar masuk mahkamah atas pelbagai tuduhan jenayah, salah guna kuasa dan rasuah.

Pada 2 Jun 2012, beliau didapati bersalah dan dipenjara seumur hidup kerana terbabit dalam pembunuhan penunjuk perasaan semasa kebangkitan rakyat pada awal 2011.

Namun ekoran tahap kesihatannya yang merosot, bekas komander tentera udara Mesir itu dikenakan tahanan dalam rumah sehingga meninggal dunia dalam usia 91 tahun pada 25 Februari 2020.

Bermula dengan kebangkitan rakyat di Sidi Bouzid 10 tahun lalu, sejauh mana inspirasi cetusan Mohamed Bouazizi berjaya mengubah nasib rakyat?

MASIH DIBELENGGU KEMISKINAN

Dalam temu ramah yang disiarkan oleh portal middleeasteye.net, salah seorang penjaja jalanan yang rapat dengannya, Shuaib al Qadri, meluahkan rasa terkilan kerana sehingga kini, nasib mereka tetap sama, serupa seperti sebelum Arab Spring.

“Kami masih diselubungi kemiskinan”, katanya kepada portal berkenaan.

Sehingga kini, kemiskinan masih masalah pokok di negara yang pernah dijajah Perancis itu di mana lebih 600,000 keluarga di seluruh Tunisia tidak mampu menampung keperluan asas dan rasuah masih tetap sama!

 

Seorang penjaja baju menunggu pelanggan membeli barang jualannya di pekan Raga, utara Syria. – AFP

Sama juga di Libya. Keghairahan ideologi demokrasi ala Barat, telah memusnahkan negara itu.

Pengalaman menikmati taraf hidup berkualiti di bawah dasar sosialis yang dilaksana sepanjang 42 tahun berkuasa hanya menjadi cerita mulut ke mulut kerana kebanyakan prasarana yang dibangunkan beliau musnah dalam perang saudara tanpa kesudahan.

Sampai ke saat ini, Libya tidak pernah aman dan terus menjadi medan percaturan kuasa luar.

Arab Spring di Mesir, juga sama.

Kuasa rakyat hanya bertahan seketika, apabila presiden pertama, Mohammed Morsi yang dipilih melalui pilihan raya, dirampas tentera yang dipimpin oleh Jeneral Abdul Fattah al Sisi, yang ketika itu memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan.

Presiden kelima Mesir itu, hanya dapat bertahan setahun tiga hari selepas dilantik.

Kemelut di negara Firaun, memakan korban yang ramai dan dasar kekerasan yang dibuat oleh Al Sisi, berjaya mematahkan satu persatu kemarahan penduduk Mesir yang menuntut supaya mandat yang mereka berikan kepada Morsi dikembalikan.

Dari hari pertama merampas kuasa sehingga 2014, Arab Network for Human Rights Information melaporkan lebih 3,000 menjalani hukuman mati.

Semangat rakyat itu dalam mendapatkan semula kuasa mereka semakin mustahil kerana kedudukan As Sisi bertambah kukuh kerana segala kejahatannya mendapat restu kuasa besar, khususnya Amerika Syarikat dan Perancis.

Bahkan, ketika berita kematian Morsi tersebar pada 17 Jun 2019, ia tidak mencetuskan apa-apa semangat. Namun begitu, tiada apa yang dapat menandingi apa yang dilakukan rejim Bashar al Assad di Syria bagi mengekalkan kuasa.

Dari senjata biasa sehinggalah ke bom napalm dan kimia, semuanya digunakan demi mematahkan desakan rakyat yang inginkan perubahan pentadbiran.

Selepas 10 tahun Arab Spring, tiada satupun penduduk negara berkenaan mendapat hak mereka. Bahkan sepanjang tempoh berkenaan, ia meletakkan rantau berkenaan paling tidak stabil.

  • Razali Awang adalah bekas wartawan Berita Luar Negara TV3 yang kini bertugas sebagai Perunding Media Syria Care
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN