Menghadapi penghinaan Nabi Muhammad SAW - Utusan Malaysia

Menghadapi penghinaan Nabi Muhammad SAW

Seorang lelaki menunjukkan poster cintakan nabi dalam tunjuk perasaan membantah tindakan Perdana Menteri Perancis, Emmanuel Macron menyokong kartun menghina Nabi Muhammad SAW di Lahore, Pakistan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penghinaan sebahagian bukan muslim ke atas Nabi Muhammad SAW seperti yang berlaku di Perancis baru-baru ini adalah penghinaan yang terus-menerus dilakukan oleh mereka bagi menyakiti umat Islam dengan alasan kebebasan bersuara.

Alasan mereka adalah kebebasan bersuara. Ini adalah alasan yang rapuh. Kebebasan bersuara hanya dihormati selagi ia tidak memudaratkan pihak lain. Maka sebagaimana umat Islam wajib menghormati kepercayaan orang lain, orang lain juga wajib menghormati pegangan umat Islam.

Sudah sampai masanya umat Islam berjuang agar dunia mengiktiraf bahawa mempersendakan mana-mana agama adalah satu jenayah yang pelakunya mesti dihukum.

Kecintaan umat Islam terhadap Nabi Muhammad SAW adalah kecintaan yang tiada penghujungnya. Mereka tidak akan menerima sebarang cacian terhadap Nabi SAW. Bahkan mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan maruah baginda.

Namun ada sebahagian umat Islam yang tersasar dalam mengambil tindakan balas terhadap penghinaan tersebut. Tindakan yang ekstrem seperti membunuh seorang guru yang menghina Nabi SAW adalah tindakan yang tersasar daripada ajaran Nabi SAW yang menyeru kepada belas kasihan, kemaafan dan kesabaran.

Sebarang hukuman perlu melalui proses undang-undang dan bukannya boleh dilaksana secara semberono oleh mana-mana individu. Ada juga umat Islam di Perancis yang solat secara beramai-ramai di tengah jalan raya sehingga mengganggu lalu lintas.

Ini adalah contoh sikap yang sekalipun dilakukan atas niat ingin memprotes penghinaan terhadap Rasulullah SAW tetapi ia mengakibatkan pandangan serong bukan muslim terhadap ajaran Islam. Bukan muslim akan menganggap bahawa Islam adalah punca kerosakan bagi kehidupan.

Walhal Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda yang bermaksud: Kalian jangan sekali-kali duduk di jalan-jalan”. Lalu para sahabat Baginda berkata kepada Baginda: “Wahai Rasulullah. Kami terpaksa duduk di jalan (disebabkan rumah kami sempit) supaya kami dapat bersembang (bersama para sahabat kami) di jalan-jalan”. Lalu Baginda bersabda: “Maka [kalau begitu] kalian hendaklah memberikan jalan akan haknya”. Para sahabat bertanya lagi: “Apakah hak jalan wahai Rasulullah”? Baginda telah bersabda: “Menundukkan pandangan, membuang kemudaratan, menyuruh kepada kebaikan dan melarang daripada kemungkaran. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimana seorang muslim ingin mempertahankan Rasulullah SAW dengan melakukan pula tindakan yang bertentangan dengan arahan baginda SAW? Secara tidak sedar ini juga adalah satu penghinaan kepada Nabi SAW. Sebabnya mereka telah menyebabkan bukan muslim memandang buruk ajaran baginda SAW.

Allah akan bela

Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah melindungi anda (wahai Nabi) daripada (kejahatan) orang-orang yang memperolok-olokkan (anda). (al-Hijr: 95)

Sejarah membuktikan sekalipun Rasulullah SAW diperolok-olokkan oleh para musuh baginda, namun Allah tetap melindungi baginda dan memenangkan baginda. Bagi para penentang, ada yang akhirnya memeluk agama Islam setelah mereka menghayati ajaran Rasulullah SAW seperti yang berlaku kepada Saidina Umar al-Khattab, Saidina Khalid al-Walid dan Saidina Abu Sufyan. Ada juga yang terus menentang baginda sehingga akhir hayat mereka.

Golongan Yahudi di Madinah pernah mendoakan kehancuran Nabi SAW dengan menyatakan kepada baginda secara terang-terangan: Assamu alaikum yang hampir sama dengan ucapan Assalamu alaikum namun bermaksud: “Kehancuran untukmu wahai Muhammad”.

Saidatina Aisyah sangat marah dengan kebiadaban golongan Yahudi tersebut lantas membalas secara keras dengan berkata: “Bahkan ke atas kamu semua kehancuran. Allah melaknat kamu semua dan murka kepada kamu semua”.

Namun, Nabi SAW terus menegur isterinya dengan bersabda: Nanti dahulu wahai Aisyah. Anda hendaklah berlemah lembut. Jangan sesekali bersikap kasar atau berkata kesat. Sesungguhnya Allah mencintai kelembutan pada seluruh perkara. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Perkenalkan peribadi Nabi Muhammad

Akhlak yang mulia adalah tunjang utama agama Islam. Nabi SAW telah meminta manusia agar berakhlak mulia bahkan baginda sendiri adalah insan yang amat mulia pekertinya sehingga Allah memuji baginda di dalam Surah al-Qalam ayat ke-4 yang bermaksud: Sesungguhnya anda benar-benar berada di atas akhlak yang hebat.

Menurut al-Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani; hadis-hadis Rasulullah SAW sekiranya dibanci dengan ditiadakan hadis-hadis yang berulang, maka jumlah keseluruhan hadis Rasulullah SAW adalah 60,000. Daripada jumlah ini, hanya sekitar 5,000 hadis yang membicarakan hukum-hakam manakala 55,000 hadis lagi semuanya membicarakan ketinggian akhlak yang mulia.

Rasulullah SAW telah mempraktikkan akhlak-akhlak yang mulia sehingga orang yang mengenali baginda jatuh hati kepada baginda dek ketinggian akhlak dan keperibadian baginda.
Maka sudah tiba masa umat Islam mengatur strategi yang serius memperkenalkan keperibadian Nabi SAW kepada dunia agar dunia seluruhnya mengenali keperibadian nabi SAW lalu dunia akan jatuh hati kepada baginda.

Lebih penting lagi, umat Islam sendiri wajib berakhlak dengan akhlak Rasulullah SAW. Inilah cara mempertahankan Nabi SAW.

Rahmat seluruh alam

Umat Islam perlu sedar bahawa mereka adalah umat kepada Rasulullah SAW yang merupakan rahmat untuk seluruh alam termasuk bukan muslim. Lihat sahaja tindakan baginda yang memaafkan para penduduk Mekah dalam peristiwa pembukaan kota Mekah. Walhal merekalah yang melakukan penghinaan yang tidak sudah-sudah kepada baginda.

Maka setiap tindakan yang ingin dilakukan umat Islam perlu berpaksikan kepada kerahmatan buat seluruh alam. Umat Islam perlu menjadi ikutan masyarakat dunia dari sudut kasih sayang kerana dengan cara ini dunia akan mengetahui bahawa kasihan belas yang diamalkan oleh umat Islam sebenarnya adalah akhlak Rasulullah SAW.

Tidak mustahil golongan yang mempersendakan baginda pada hari ini akan menjadi pembela baginda pada masa hadapan.

Kenyataan Asal: Al-Sheikh Prof. Dr. Ahmad Muhammad Ahmad al-Toyyib, Al-Sheikh Prof. Dr. Ali Jum’ah, Al-Sheikh Dr. Yusri Bin Rushdi Al-Hasani dan Al-Sheikh Dr. Usamah Al-Sayyid Al-Azhari.

  • PENULIS adalah Syeikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×