Pertandingan video pendek remaja kebangsaan, ‘Malaysia Di Mata Saya 2026’ berjaya menarik penyertaan lebih 2,300 remaja dari seluruh negara dengan 1,311 karya kreatif dihasilkan.
Sambutan menggalakkan itu turut mencetuskan gelombang positif di platform media sosial dengan merekodkan lebih 3.73 juta tontonan, di samping 387,092 tanda suka, 27,128 komen dan 42,976 perkongsian.
Jumlah capaian dan interaksi itu sekali gus memperluaskan pendedahan dan pengiktirafan terhadap kreativiti serta bakat anak muda.
Ketua Pegawai Eksekutif OG EduWorld, Dr. Grace Yee berharap pertandingan itu menjadi platform kepada remaja untuk mempamerkan kreativiti dan menyuarakan idea, selain menggalakkan mereka berani berkarya, mengekspresi diri serta menyampaikan nilai positif.
Bertemakan Malaysia Di Mata Saya, pertandingan anjuran OG EduWorld dengan kerjasama Bucket List Travel & Vacations itu menggalakkan remaja menghasilkan video pendek yang merakam kehidupan, menonjolkan keindahan negara dan nilai budaya daripada perspektif generasi muda.
Bagi Pengasas Bucket List Travel & Vacations, ZhengTao berkata, penghasilan karya-karya remaja itu membolehkan masyarakat melihat keindahan Malaysia daripada pelbagai sudut dan mencerminkan kecintaan generasi muda terhadap negara, budaya serta kehidupan.










