Gombak-Hulu Langat (GHL) Geopark dan Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGP) memeterai kerjasama strategik bagi memperkukuh tadbir urus melalui perkongsian amalan terbaik serta kepakaran antara kedua-dua pihak.
Jalinan kerjasama itu turut meliputi penyelidikan, pembangunan komuniti dan program pendidikan dalam usaha memperkasakan pengurusan geopark secara mampan.
Usaha tersebut mencerminkan komitmen berterusan GHL Geopark untuk diiktiraf sebagai UNESCO Global Geopark menjelang 2028.
Pembangunan GHL Geopark terus diperkasakan kerajaan negeri Selangor menerusi Geran Ecological Fiscal Transfer (EFT) bagi memelihara khazanah geologi, biodiversiti dan warisan budaya, di samping merancakkan pembangunan pelancongan lestari.
Selain itu, inisiatif berkenaan turut merangsang ekonomi setempat menerusi aktiviti pelancongan berasaskan alam semula jadi dan geopelancongan.
Dalam masa sama, GHL Geopark berharap dapat memperluas kerjasama di peringkat nasional dan antarabangsa sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai geopark berdaya saing.
Majlis pertukaran dokumen tersebut diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor merangkap Pengerusi GHL Geopark, Chua Yee Ling dan Pegawai Penyelidik (Geologi) Taman-Taman Sabah, Noorannezza Junsin.










