Aktiviti pembinaan pasukan bukan lagi sekadar acara tahunan syarikat, sebaliknya menjadi pelaburan penting dalam membentuk tenaga kerja yang lebih mantap dan produktif.
Menyedari trend itu, OE Resort di Mantin tampil sebagai antara destinasi yang menawarkan persekitaran dan kemudahan lengkap bagi menjayakan program pembinaan pasukan untuk pelbagai organisasi.
Pengasasnya, Datuk Dr. Calvin Khiu berkata, penubuhan resort itu bertujuan membantu organisasi menangani pelbagai cabaran di tempat kerja termasuk aspek kerjasama berpasukan, komunikasi, produktiviti dan pembangunan kepimpinan.
Ia selaras dengan matlamat untuk membantu syarikat berkembang kepada organisasi yang lebih berdaya saing dan memperkukuhkan pasukan.
“Sebagai resort pembinaan pasukan nombor satu di Malaysia, kami bukan sahaja menyediakan lokasi dan kemudahan, malah menawarkan penyelesaian pembangunan organisasi yang menyeluruh,” katanya baru-baru ini.
Sehingga kini, syarikat-syarikat ternama seperti KPMG, Maybank, Maxis, Zurich, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), U Mobile dan Lenovo telah memilih OE Resort sebagai lokasi program pembangunan pasukan serta latihan organisasi mereka.
Terbaharu, resort itu menerima Anugerah Penghargaan Syarikat Cemerlang Cahaya Negeri Sembilan (Resort Bertemakan Team Building) yang disampaikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pengiktirafan itu turut mengukuhkan lagi kedudukan OE Resort dalam pembangunan organisasi korporat.











