Semakin ramai hidap penyakit kronik secara senyap

Semakin ramai hidap penyakit kronik secara senyap

diabetes antara penyakit yang menguasai pola penyakit masyarakat hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penyakit moden kini semakin membimbangkan apabila masyarakat bukan sahaja berdepan masalah kesihatan fizikal malah turut bergelut dengan tekanan mental yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Gaya hidup sedentari, tekanan hidup, pengambilan makanan segera yang diproses secara berlebihan serta ketagihan digital kini menjadi antara punca utama peningkatan penyakit tidak berjangkit serta masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat termasuk golongan muda.

Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, pola penyakit hari ini jauh berbeza berbanding dahulu.

Katanya, sebelum ini penyakit berjangkit seperti tuberkulosis (Tibi), cacing dan masalah kekurangan zat makanan lebih dominan, kini penyakit tidak berjangkit atau non-communicable diseases (NCD) menjadi ancaman utama masyarakat kita hari ini.

“Penyakit moden seperti kanser, kencing manis, darah tinggi, obesiti, strok dan sakit jantung yang kini menguasai pola penyakit masyarakat hari ini,” katanya.

Ujar beliau, perubahan gaya hidup moden menjadi antara faktor utama peningkatan penyakit tersebut termasuk amalan hidup sedentari serta pengambilan makanan yang tidak sihat.

“Masyarakat juga cenderung terlebih makan terutama makanan segera dan makanan yang sudah diproses.

“Malah, pencemaran, amalan merokok serta kewujudan mikroplastik dalam kitaran makanan juga antara faktor yang semakin membimbangkan,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, tekanan media sosial serta gaya hidup yang terlalu bergantung kepada teknologi sedikit demi sedikit memberi kesan kepada kesihatan mental dan emosi masyarakat.

“Tekanan hidup, kurang tidur dan kurang rehat termasuk beban kos sara hidup bukan sahaja menyumbang kepada stres tetapi turut menyebabkan kesihatan mental semakin merundum,” katanya lagi.

Tekanan yang tidak dikawal juga boleh mendorong individu terjebak dengan tabiat tidak sihat seperti merokok dan penyalahgunaan dadah.

“Keadaan itu akhirnya menyebabkan ketagihan yang sukar dipulihkan selain menurunkan kualiti hidup, pendapatan dan akses terhadap kesihatan,” ujarnya.

Risiko kesihatan lebih awal

Mengulas lanjut mengenai trend anak muda yang kelihatan sihat secara fizikal tetapi sebenarnya mengalami masalah kesihatan dalaman, beliau berkata perkara itu semakin menjadi kebiasaan dalam masyarakat hari ini.

Menurutnya, ramai golongan muda kini mengalami tekanan darah tinggi, kolesterol serta masalah kesihatan mental pada usia yang lebih muda berbanding generasi terdahulu.

“Tidak dinafikan masyarakat hari ini sebenarnya semakin sakit secara senyap dan keadaan ini boleh menyebabkan kematian awal sebelum jangka hayat yang sebenar,” ujarnya.

Situasi tersebut dapat dilihat menerusi peningkatan kes kematian akibat serangan jantung dan strok dalam kalangan masyarakat hari ini.

Tambah beliau lagi, ketagihan internet dan penggunaan teknologi secara melampau boleh memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan kesihatan kanak-kanak dan remaja.

penyakit jantung terus kekal sebagai antara punca kematian nombor satu masyarakat di Malaysia.

“Ketagihan gajet dan internet yang melampau boleh menurunkan fungsi kognitif selain ia juga berkait rapat dengan isu ketagihan serta masalah mental,” katanya.

Tekanan dalam pembelajaran serta stres dalam kalangan remaja juga menyebabkan sebahagian daripada mereka memilih untuk bergantung kepada permainan dalam talian serta dunia media sosial sebagai ruang bagi melepaskan tekanan.

Kelihatan normal

Sementara itu, Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd. Sa’ad berkata, tekanan media sosial, ketagihan digital, kesunyian emosi dan budaya hidup serba pantas kini menjadi antara cabaran kesihatan mental terbesar yang semakin membelenggu masyarakat terutama golongan muda dan kanak-kanak.

Katanya, selain masalah kebimbangan (anxiety) dan post-traumatic stress disorder (PTSD), masyarakat kini turut berdepan pelbagai bentuk gangguan emosi moden yang semakin meningkat.

“Antaranya ialah keletihan emosi atau emotional burnout, kesunyian kronik, krisis identiti, ketagihan digital, kebas emosi (emotional numbness) dan kemurungan berfungsi tinggi atau high-functioning depression.

“Masalah ini kurang difahami kerana individu tersebut masih kelihatan normal, boleh bekerja, belajar dan bersosial seperti biasa,” katanya.

Namun, generasi hari ini lebih terdedah kepada tekanan emosi kerana membesar dalam dunia yang terlalu pantas, kompetitif dan sentiasa dipengaruhi media sosial.

“Mereka hidup dalam persekitaran yang sangat visual dan sentiasa dinilai oleh orang lain melalui media sosial sehingga menyebabkan emosi cepat letih, rasa tidak cukup baik dan mudah hilang arah diri,” jelasnya.

Menurut beliau, media sosial juga menyumbang kepada peningkatan tekanan emosi melalui budaya perbandingan hidup, kebergantungan kepada validasi luar, fear of missing out (Fomo), buli siber dan pendedahan berlebihan terhadap kandungan tidak sihat.

“Anak muda akhirnya sukar membezakan nilai diri sebenar dengan penerimaan yang mereka dapat di alam maya,” katanya.

Keadaan itu menyebabkan semakin ramai individu mengalami high-functioning depression tanpa disedari orang sekeliling.

“Mereka masih pergi kerja, belajar dan tersenyum seperti biasa tetapi dalam diri sebenarnya rasa kosong, letih, hilang minat dan tidak bermaya,” katanya.

Ramai pendam emosi

Tekanan untuk sentiasa kelihatan kuat menyebabkan ramai memilih memendam emosi sehingga lambat mendapatkan bantuan profesional.

Dalam masa sama, beliau melihat terdapat peningkatan masalah seperti penarikan diri dari sosial atau social withdrawal, kebas emosi atau emotional numbness serta ketagihan dopamin akibat penggunaan teknologi secara berlebihan.

Selain itu, budaya membandingkan kehidupan dengan orang lain di media sosial juga memberi kesan jangka panjang terhadap emosi seseorang.

“Keadaan itu boleh mengurangkan keyakinan diri, mencetuskan rasa gagal terhadap diri sendiri, iri hati, tidak puas hati dan akhirnya membawa kepada tekanan emosi yang berpanjangan,” ujarnya.

Mengulas mengenai keletihan melampau atau burnout, beliau menjelaskan keadaan itu bukan sekadar rasa penat biasa yang boleh hilang selepas berehat.

“Ia melibatkan keletihan emosi, hilang motivasi, mudah marah dan rasa tidak mampu berfungsi seperti biasa.

“Jika dibiarkan berterusan ia boleh menjadi tanda awal kemurungan atau anxiety,” katanya.

Ramai individu hari ini sebenarnya berasa sunyi walaupun sentiasa ‘connected’ dengan orang lain melalui teknologi.

“Mereka banyak berkomunikasi di media sosial namun hakikatnya mereka kurang didengari dan kurang mempunyai hubungan yang benar-benar bermakna,” katanya.

Katanya lagi, terdapat peningkatan kebimbangan sosial, kesukaran komunikasi serta kelewatan interaksi dalam kalangan golongan tersebut.

“Faktor skrin berlebihan, kurang bermain secara fizikal, kurang komunikasi dua hala dan kesan isolasi semasa pandemik antara penyumbang kepada masalah ini,” katanya.

Bergelut dengan emosi sendiri

Beliau berkata, kurangnya komunikasi dalam keluarga turut memberi kesan besar terhadap perkembangan emosi anak-anak.

“Jika skrin mula menggantikan peranan ibu bapa, anak-anak boleh rasa terabai selain sukar mengawal emosi dan kurang kemahiran sosial,” jelasnya.

Ujar beliau, ibu bapa juga perlu lebih peka terhadap tanda awal gangguan emosi dalam kalangan anak-anak.

Antara tanda yang perlu diberi perhatian termasuk perubahan tidur dan selera makan, mudah menangis, cepat marah, menarik diri, takut ke sekolah, hilang minat bermain serta perubahan tingkah laku yang ketara.

Menurut beliau, kanak-kanak tetap boleh merasa sunyi walaupun dikelilingi pelbagai bentuk hiburan digital.

“Hiburan hanya memberi rangsangan sementara tetapi bukan kasih sayang. Anak tetap perlukan perhatian manusia seperti pelukan, perbualan dan rasa selamat bersama ibu bapa,” katanya.

Katanya, perkembangan emosi anak sebenarnya perlu dibentuk sejak usia kecil dan bukannya hanya diberi perhatian apabila mereka meningkat remaja.

Ibu bapa dinasihatkan agar memahami bahawa kesihatan mental anak bukan sekadar melihat sama ada anak itu menangis atau memberontak.

“Perkara paling penting ialah membina hubungan yang selamat bersama anak, mendengar tanpa cepat menghukum, meluangkan masa berkualiti, menghadkan penggunaan skrin serta mengajar anak mengenali emosi mereka sendiri,” katanya.

Bantuan profesional juga perlu segera mendapatkan sekiranya perubahan emosi anak berlaku secara berpanjangan dan mula mengganggu kehidupan harian mereka.

Oleh itu, penyakit mental perlu dilihat sama serius seperti penyakit fizikal lain kerana kesannya bukan sahaja terhadap individu tetapi turut melibatkan keluarga dan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN