SEUMUR hidup, mereka tidak pernah menyaksikan keindahan hidupan marin mahupun warna-warni terumbu karang yang menjadi khazanah dasar lautan.
Malah, nama seperti bumphead, barracuda, ikan paus dan manta ray selama ini hanya bermain dalam imaginasi.
Namun, kekurangan itu bukan penghalang buat sekumpulan orang kurang upaya (OKU) penglihatan untuk mencuba aktiviti selam skuba di Pulau Tenggol, Dungun, Terengganu, baru-baru ini.
Walaupun pertama kali terlibat dalam sukan lasak itu, tetapi masing-masing mempamerkan semangat dan keberanian tinggi untuk meneroka dunia bawah air secara lebih dekat.
Semua itu dilakukan demi menikmati sendiri pengalaman berada di dasar laut yang sebelum ini hanya didengari atau diceritakan oleh orang lain.
Lebih mengagumkan, walaupun semua peserta tidak pernah memiliki lesen atau kemahiran menyelam skuba, tetapi mereka mampu memahami setiap arahan yang diberikan ketua penyelam berpengalaman sepanjang sesi latihan dan selaman.

Tiada istilah ‘tidak’ atau ‘takut’ dalam diri mereka di saat penerangan mula diberikan dan kaki melangkah ke dalam bot untuk menuju ke Pulau Tenggol.
Bagi Faiq Adnan, 36, pengalaman itu membuktikan kekurangan fizikal bukan penghalang untuk golongan sepertinya terlibat dalam aktiviti lasak dan mencabar.
Dia yang buta sejak kecil tidak berdepan kesukaran memahami setiap arahan jurulatih biarpun pertama kali menyelam ke dasar laut.
“Perkara paling asas yang diajar ialah memastikan regulator sentiasa berada di dalam mulut dan tidak panik.
“Jika berlaku sebarang masalah, kami juga diajar menggunakan isyarat tangan untuk berkomunikasi dengan jurulatih,” katanya selepas menyertai aktiviti selam skuba anjuran Ocean 9 baru-baru ini.
Apabila berada di dalam laut, Faiq tidak bergantung sepenuhnya kepada deria pendengaran dan lebih banyak menggunakan sentuhan untuk menentukan ke mana arah tujunya.
Katanya, jurulatih sentiasa berada dekat bagi memimpin tangan terutama apabila berada di kawasan yang mempunyai banyak terumbu karang dan landak laut.

Menceritakan pengalamannya di dalam laut, anak jati Sungai Petani itu berkata, segala kebimbangan yang sering dihadapinya di daratan seakan-akan hilang sepenuhnya ketika berada di dasar laut.
Dia tidak lagi perlu mendengar bunyi tapak kaki orang atau menghafal kedudukan dan halangan di sekeliling.
Sebaliknya, hanya perlu bernafas sambil menikmati bunyi halus rekahan terumbu karang yang bergema di dasar laut.
“Pengalaman ini memberikan ketenangan luar biasa dan cukup mendamaikan kerana saya seolah-olah ‘berhenti’ menggunakan pendengaran seperti kebiasaan dalam kehidupan harian.
“Paling penting, saya tidak memikirkan apa yang tidak mampu dilihat, sebaliknya lebih menghargai apa yang masih boleh dirasai dan dialami,” katanya.
Katanya, semua insan penting dalam hidupnya termasuk isteri dan keluarga memberikan sokongan penuh untuk menyertai aktiviti berkenaan.

Kagum kesungguhan peserta
Pengiring dan jurulatih renang, Datuk Ooi Win Juat berkata, program itu memberi ruang kepada golongan OKU untuk mencuba sukan mencabar sekali gus meningkatkan keyakinan diri.
Ia terbuka kepada semua individu OKU termasuk mereka yang mempunyai masalah penglihatan, fizikal dan lain-lain ketidakupayaan.
Bahkan, sepanjang program dijalankan, dia dapat melihat sendiri kesungguhan peserta dengan hasil yang sangat memberangsangkan.
Misi pihaknya adalah memastikan golongan sasar mempunyai masa depan yang lebih cerah kerana sukan mampu membentuk gaya hidup sihat selain meningkatkan semangat dan keyakinan diri.
“Penglibatan dalam sukan membolehkan mereka bergaul dengan masyarakat, menjalani latihan dan menjadi lebih aktif.
“Jika tidak diberi peluang, perkembangan keyakinan diri dan potensi mereka mungkin perlahan.

“Namun apabila diberi ruang untuk aktif, mereka lebih positif dan menunjukkan perkembangan diri yang baik,” katanya.
Menurut Win Juat, dengan membawa slogan Disability is not inability dapat menunjukkan yang setiap insan terutama golongan OKU mempunyai kelebihan tersendiri.
Katanya, sebagai contoh, jika seseorang mengalami kecacatan pada kaki, masih terdapat pelbagai sukan lain yang boleh disertai mengikut kemampuan masing-masing.
“Ini menunjukkan kekurangan bukan penghalang untuk berjaya dalam sukan mahupun kehidupan, paling penting adalah kemahuan,” jelasnya.
Pengalaman sentuh gamat
Sementara itu, Wong Hung Fai, 36, dari Ipoh berkata, aktiviti selam skuba kini bukan lagi sesuatu yang mustahil untuk golongan OKU penglihatan.
Pengalaman itu boleh dinikmati dengan bantuan dan sokongan jurulatih serta rakan penyelam.
Tangan kirinya sentiasa berpaut pada rakan penyelam yang menggunakan isyarat sentuhan sebagai medium komunikasi sepanjang sesi selaman berlangsung.
Katanya, kaedah itu penting kerana penggunaan peralatan skuba menyukarkan komunikasi secara lisan, bahkan setiap percakapan hanya kedengaran seperti bunyi samar dan gelembung udara di dalam air.
“Biasanya, mereka menggenggam jari peserta untuk mengetahui sama ada berada dalam keadaan baik dan saya membalasnya dengan isyarat penyelam bagi menunjukkan semuanya selamat.
“Ketua penyelam turut menarik kami berhampiran penyu yang berenang sambil saya cuba membayangkan keadaan haiwan marin itu.
“Selain itu, saya juga berpeluang memegang gamat yang rasanya seperti ulat, namun disebabkan rasa geli saya bertindak mencampakkannya serta merta kerana tidak tahu bagaimana keadaan sebenar,” katanya.

Tidak sukar ajar OKU buta, autisme
Proses melatih penyelam OKU turut membantu jurulatih mempertingkat kemahiran komunikasi, kesabaran serta kaedah pengajaran yang lebih kreatif dan berkesan.
Seorang daripada ketua penyelam merangkap pengarah projek, Marcus Ooi, 40, berkata, ia merupakan pengalaman pembelajaran dua hala yang memberi manfaat besar kepada jurulatih sendiri.
“Ramai jurulatih mengakui mereka menjadi lebih baik sebagai pendidik apabila melatih penyelam OKU berbanding pengajaran skuba yang lain.
“Pendekatan ini bukan sahaja membuka peluang kepada golongan itu untuk menikmati dunia di bawah air, tetapi turut membuktikan kekurangan bukan penghalang untuk mencabar diri dan mencapai kejayaan,” katanya.










