Plastik-plastik daripada bungkusan kurier, pasar raya, pembalut gelembung dan pembungkus makanan lazimnya terus dibuang selepas digunakan.
Namun, bagi segelintir individu, bahan yang dianggap sampah itu sebenarnya mempunyai nilai tersendiri dan boleh diberi nafas baharu.
Berpegang kepada konsep kitar semula dan kelestarian alam, seorang pengusaha kraftangan tempatan di Pulau Langkawi tampil menghasilkan beg tangan unik daripada plastik terbuang itu.
Wiwik Iswandari berkata, idea itu tercetus selepas melihat lambakan sisa plastik dibuang di kawasan pulau peranginan tersebut sehingga menjejaskan kebersihan alam sekitar.

Pada 2022, pengasas EcoPouch itu mula mendalami teknik ‘plabrik’ iaitu kaedah mengolah plastik terpakai menjadi fabrik daripada rakannya.
“Hampir 20 tahun saya menetap di pulau ini dan saya dapati masalah sampah terutama plastik semakin hari semakin serius di tepi jalan serta kawasan pantai.
“Saya tidak mahu Langkawi ‘tenggelam’ dan khazanah lautnya musnah disebabkan sampah, jadi saya ambil inisiatif supaya sisa itu dapat digunakan semula menjadi bahan lain,” katanya baru-baru ini.
Aktiviti yang dilakukannya sejak empat tahun lalu itu berjaya mengumpulkan puluhan kilogram plastik terbuang.
Kebanyakannya adalah milik sendiri, selain turut diperoleh daripada jiran dan kenalan terdekat.
Katanya, semua sisa plastik itu perlu melalui proses pembersihan dan pengeringan sebelum dijadikan fabrik.
“Saya selalu ingatkan jiran-jiran, setiap kali membeli barang di pasar, jangan terus buang plastik itu.
“Saya minta mereka cuci dan keringkan sebelum diserahkan untuk dikitar semula,” katanya.
Kata Wiwik, proses tersebut memudahkan kerja-kerja pengasingan dan memastikan plastik yang digunakan lebih bersih serta tahan lama apabila diolah menjadi fabrik.

Walaupun kelihatan remeh, disiplin dalam memastikan bahan terpakai bersih sangat penting bagi menghasilkan produk akhir yang berkualiti.
Tanpa jahitan, hanya gosok
Menariknya, beg tangan plabrik dihasilkan tanpa melibatkan sebarang proses jahitan.
Sebaliknya, ia dicantumkan, dibentuk dan dikukuhkan dengan kaedah menggosok mengunakan seterika sahaja.
Bagaimanapun, teknik tersebut juga memerlukan ketelitian kerana suhu seterika perlu dikawal agar plastik tidak rosak atau berlubang.
Suhu yang disarankan adalah antara 110 hingga 120 darjah Celsius.
Malah, bahan-bahan yang diperlukan juga mudah dan murah iaitu plastik, kertas pembakar, buckle serta rantai beg.
Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah menyusun plastik mengikut warna pilihan masing-masing.
“Jika plastik itu nipis, ia boleh disusun sehingga 10 lapisan berbeza warna dan jenis, tetapi jika sudah nampak tebal, memadai dengan enam lapisan sahaja.

“Selain susunan berlapis, plastik itu juga boleh digunting kecil-kecil dan diletakkan di bahagian tertentu bagi menghasilkan corak yang lebih unik serta menarik,” katanya.
Kata Wiwik, plastik yang hendak digosok perlu dialas terlebih dahulu dengan kertas pembakar di bahagian atasnya.
Selepas itu, plastik tersebut dilipat dan dicantumkan menggunakan seterika mengikut bentuk atau saiz beg yang diingini sama ada pouch, beg tangan, clutch atau tote.
“Jangan bimbang jika plastik yang digosok berlubang, ia masih boleh diselamatkan dengan menampal bahagian tersebut menggunakan plastik lain.
“Sebagai sentuhan akhir, pasangkan buckle, rantai atau tali bagi memudahkan beg dibawa dan digunakan.
“Keseluruhan proses menggosok dan mencantumkan beg plabrik ini mengambil masa kurang dari sejam untuk dihasilkan,” katanya.
Jelasnya, mana-mana lipatan yang terbuka hanya perlu digosok semula untuk melekatkannya kembali.
Kongsi ilmu secara percuma
Wiwik tidak lokek berkongsi ilmu pembuatan plabrik kepada sesiapa yang berminat untuk mempelajarinya.
Wanita ini aktif mengadakan bengkel dan kelas bersama penduduk setempat serta pelajar universiti.
Pendekatan itu diharap dapat membuka mata lebih ramai pihak yang sisa plastik bukan sekadar bahan buangan, sebaliknya boleh diolah menjadi produk bermanfaat dan bernilai.
Ia selari dengan misinya untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan menjaga alam sekitar, selain menggalakkan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian.
“Jika diurus dengan betul, sisa plastik ini sebenarnya masih bernilai dan boleh dijadikan sesuatu yang berguna.

“Tambahan pula, pembuatan beg plabrik ini tidak memerlukan sebarang kemahiran tertentu dan sesiapa sahaja boleh membuatnya dengan menggunakan barangan yang ada di rumah sahaja.
“Selain untuk kegunaan sendiri, beg plabrik ini juga boleh dihadiahkan kepada kawan-kawan atau dijual oleh suri rumah sekali gus memberi pulangan pendapatan,” katanya.
Jana pendapatan sampingan
Minat terhadap kelestarian alam sekitar ini turut membolehkan Wiwik menjana pendapatan sampingan.
Ujarnya, sehingga kini lebih 200 beg pelbagai saiz dan rekaan berjaya dihasilkan.
Harga setiap beg pula bermula daripada RM10 hingga RM190,
Bahkan, produk sentuhannya ditempatkan di beberapa lokasi tumpuan pelancong di Pulau Langkawi.
Dalam masa sama, dia turut dijemput menyertai program-program khas bagi mempromosikan seni kraf tersebut.










