SETIAP kali bangun pagi, ada sahaja lebam ungu kebiruan muncul pada betis, peha mahupun lengan.
Kemunculannya bersilih ganti, kadang-kadang kesan lama belum sempat hilang sepenuhnya, timbul pula yang baharu.
Lebih menghairankan, malam sebelumnya tiada sebarang kejadian luar biasa seperti terlanggar atau terjatuh.
Apabila keadaan ini berlaku, masyarakat cenderung mengaitkannya dengan unsur mistik seperti digigit hantu.
Hakikatnya, ia mungkin petanda awal kepada masalah kesihatan yang lebih serius termasuk leukemia mieloid kronik (CML).
Apatah lagi jika ia disusuli simptom lain seperti demam berulang, lesu, penurunan berat badan secara mendadak, hilang selera makan, pucat dan limpa membengkak.
Presiden Max Family Society Malaysia (Max Family), Dr. Abd. Razak Muhamad berkata, simptom-simptom itu tidak boleh dipandang ringan jika berlarutan dalam tempoh panjang.

“Pesakit leukemia memang mudah mengalami lebam kerana salah satu komponen darah sudah tidak berfungsi secara normal.
“Namun, dalam kalangan masyarakat kita, lebam pada anggota badan itu sering dianggap sebagai gangguan makhluk halus atau kononnya disampuk,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bekas pesakit CML ini didiagnosis pada 2006, ketika usianya 36 tahun.
Selama enam bulan simptom itu dialami yang pada mulanya disangka sekadar keletihan akibat bekerja.
“Masa itu berat saya turun ketara sampai jadi terlalu kurus sedangkan tidak berdiet, selepas pemeriksaan dibuat, saya disahkan menghidap CML,” katanya.
Ujarnya, CML merupakan sejenis kanser darah yang berkembang secara perlahan.
Ia berlaku apabila sumsum tulang menghasilkan terlalu banyak sel darah putih yang tidak normal.
Sel-sel itu bukan sahaja tidak berfungsi dengan baik, malah tidak boleh melawan jangkitan dan tidak akan mati.
Kanser ini tidak diwarisi, sebaliknya berpunca daripada perubahan gen (mutasi) yang berlaku secara spontan dalam badan.
Pemindahan sumsum tulang
Rawatan CML kebanyakannya bergantung kepada ubat sasaran yang perlu diambil setiap hari untuk jangka masa panjang bagi mengawal penyakit.
Namun, nasib tidak menyebelahi Abd. Razak kerana pengambilan ubatan itu hanya berkesan selama setahun sahaja.
Doktor kemudian menyarankannya menjalani pemindahan sumsum tulang, yang merupakan satu-satunya peluang untuk meneruskan kehidupan.
“Alhamdulillah, adik sudi menjadi penderma dan kini, saya pulih sepenuhnya,” katanya.
Cabaran utama dalam rawatan ini ialah untuk mencari penderma yang serasi dan sihat.
Katanya, penderma yang sihat dapat mengurangkan risiko komplikasi sekali gus membantu memastikan proses pembedahan berjalan lancar.
Tubuh Max Family
Pengalaman menghidap CML mendorong pakar bedah tulang di Gleneagles Hospital Kuala Lumpur ini menubuhkan Max Family sejak 20 tahun lalu.
Misi utama penubuhannya adalah untuk menyediakan platform kepada pesakit dan keluarga mendapatkan sokongan informasi, emosi serta aspek psikososial.
Selain itu, badan itu juga aktif dalam inisiatif kesedaran perubatan dan aktiviti pengumpulan dana yang digerakkan oleh komuniti di Lembah Klang.
Katanya, ketika ini keahlian melibatkan lebih 200 pesakit di seluruh negara.
“CML bukan antara kanser utama di Malaysia dengan jumlah pesakitnya dianggarkan kira-kira 2,000 orang.
“Berdasarkan rekod, pesakit termuda yang pernah dirawat berusia 18 tahun manakala tertua pula ialah 80 tahun,” katanya.
Terbaharu, Max Family melantik Datuk Cef Wan sebagai duta kempen 20 Years of Hope:Masih Di Sini anjurannya.

Abd. Razak berkata, kerjasama dengan cef selebriti terkenal itu diharap dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai CML dan pelbagai kanser darah lain.
Dalam masa sama, ia juga bertujuan untuk lebih memahami pengalaman pesakit-pesakit kanser darah, keluarga terdekat serta pegawai perubatan dan kesihatan yang terlibat.
Jangan kedekut periksa kesihatan
Pengesanan awal penyakit penting supaya proses rawatan dapat dimulakan dengan segera.
Sehubungan itu, Cef Wan, 68, mengingatkan masyarakat supaya konsisten menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan.
“Saya dapati ramai orang Malaysia malas melakukan pemeriksaan kesihatan kerana terlalu sayangkan duit.
“Sedangkan kesihatan itu keutamaan kerana bila sudah ditimpa penyakit kronik segala urusan harian dan kehidupan keluarga akan turut terjejas.
“Sebelum disahkan menghidap kanser limfoma, saya tidak pernah gagal menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun dan rutin itu diteruskan hingga kini walaupun sudah sembuh,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berharap lebih ramai individu dan syarikat korporat tampil menghulurkan bantuan demi meringankan bebanan golongan pesakit kanser.
Hal itu kerana ramai pesakit memerlukan sokongan kewangan bagi menampung kos rawatan yang tinggi.
“Saya percaya, sebahagian rezeki saya adalah milik orang lain dan inilah masanya untuk saya membantu setakat yang termampu.
“Saya pernah hidup susah, malah ramai penaja menarik diri ketika saya dirawat di hospital. Jadi saya faham sangat situasi dialami pesakit dan
keluarga yang sedang berjuang melawan penyakit,” katanya yang menyumbangkan RM50,000 kepada Max Family.
Infografik
Fakta tentang CML:
-Berlaku akibat perubahan gen (mutasi) secara spontan dalam badan, melibatkan pertukaran antara kromosom 9 dan 22.
-Proses translokasi ini menghasilkan kromosom Philadelphia yang menyebabkan penghasilan sel darah putih tidak terkawal.
-Penyakit ini jarang ditemui dalam kanak-kanak.
-CML cenderung melibatkan lelaki berbanding perempuan.










