Semakin banyak pengguna ketika ini prihatin terhadap langkah penjimatan penggunaan elektrik selain dapat memperkukuh kecekapan penggunaan tenaga negara dalam mendepani ketidaktentuan harga tenaga global.
Bagi sektor industi, hal ini semestinya sangat penting bagi mengelakkan risiko kerugian akibat penggunaan tenaga berlebihan.
Justeru, sebuah syarikat tempatan BESSASIA telah memperkenalkan siri produk terbaharunya iaitu Mobile BESS 60kW/140kWh dan Siri Cabinet BESS bagi membantu industri mengurangkan kos penggunaan elektrik dan mengoptimumkan penggunaan tenaga ketika waktu puncak.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Andy Chan berkata, produk berkenaan turut dilengkapi ciri yang mampu meningkatkan kestabilan bekalan tenaga selain menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui seperti solar.
Katanya, penggunaan teknologi tersebut juga berupaya mengurangkan pelepasan karbon sekali gus menyokong agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) negara.
“Pengenalan produk ini mencerminkan komitmen kami dalam memperkukuh transformasi tenaga industri menerusi penyelesaian penyimpanan tenaga hijau yang lebih cekap, mampan serta menjimatkan kos operasi bagi sektor pembuatan, logistik, pusat data, utiliti dan industri berat,” katanya.
Menurut beliau, pelancaran siri BESS yang diinspirasikan daripada konsep penggunaan bank kuasa itu merupakan langkah strategik syarikat dalam menyediakan penyelesaian tenaga masa hadapan kepada industri di rantau Asia.
Terdahulu, BESSASIA turut menerima sijil pengiktirafan bagi kedua-dua produk itu daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. pada pameran Metaltech & Automex 2026., baru-baru ini.
Katanya, pensijilan itu bukan sahaja menjamin keselamatan pengguna sekali gus dapat memastikan produk syarikat sentiasa berada dalam keadaan baik untuk manfaat industri dan masyarakat.











