Pada peringkat awal dalam mempelajari selok-belok agama, Imam Muhammad Isma‘il al-Bukhari mempelajari ilmu fikah dalam mazhab Imam Abu Hanifah. Ini kerana mazhab inilah yang tersebar di Uzbekistan saat itu.
Guru fikah Imam Bukhari adalah Imam Abu Hafs Kabir atau nama betulnya Ahmad Hafs al-Bukhari (lahir pada 150 hijrah dan wafat pada tahun 217 hijrah).
Beliau adalah ulama besar di dalam mazhab Hanafi bahkan merupakan murid kepada Imam Muhammad al-Hasan al-Shaybaniyy (lahir pada 131 hijrah dan wafat pada 189 hijriah) yang merupakan murid langsung Imam Abu Hanifah atau nama sebenarnya al-Nu‘man Thabit al-Kufiyy (lahir pada 80 hijrah dan wafat pada 150 hijrah).
Ini bermakna hanya ada dua orang sahaja yang menjadi penghubung di antara Imam Muhammad Ismail al-Bukhari dengan Imam Abu Hanifah al-Nu‘man.
Walau bagaimanapun, pada akhirnya, apabila Imam al-Bukhari mencapai kemuncak keilmuan dalam bidang fikah, beliau tidak lagi terikat dengan mazhab Hanafi. Sebaliknya, beliau berpegang secara langsung kepada kefahaman beliau sendiri terhadap dalil-dalil syarak, kerana pada tahap tersebut beliau telah mencapai kedudukan sebagai seorang mujtahid.
Namun, pandangan-pandangan fikah Imam al-Bukhari tidak tersebar secara meluas, sehingga pada hari ini kita tidak dapat mengetahuinya secara menyeluruh. Hanya sebahagian kecil sahaja yang dapat dikesan, iaitu melalui tajuk-tajuk bab yang disusun oleh beliau dalam karya agungnya, Sahih al-Bukhari.
TELITI TERIMA HADIS RASULULLAH
Imam al-Bukhari sangat teliti dalam memperoleh hadis-hadis Rasulullah SAW daripada para ulama pada zamannya. Apabila seseorang ulama itu kurang dikenali, beliau akan menyemak dengan penuh cermat latar belakangnya dengan meneliti nama, gelaran, nasab, serta cara ulama tersebut menerima dan meriwayatkan hadis daripada gurunya.
Apabila Imam al-Bukhari mendapati hafalan seseorang ulama hadis yang ditemui olehnya tidak terlalu kuat, beliau akan memohon daripada ulama tersebut agar diberikan buku catatan hadisnya supaya beliau dapat mencatat hadis tersebut berdasarkan apa yang direkodkan dan bukan hanya berpada dengan hafalan ulama itu.
Kecermatan al-Imam al-Bukhari ini pernah diungkapkan sendiri oleh beliau dalam ucapannya yang berbunyi:
“Saya pernah meninggalkan (tidak mahu meriwayatkan) 10,000 hadis bagi seorang lelaki yang pada saya lelaki tersebut perlu dilihat semula (kerana dia mempunyai kekurangan dalam periwayatan hadis).
“Saya juga pernah meninggalkan hadis yang sejumlah itu (10,000 hadis) atau lebih banyak daripada itu yang diriwayatkan oleh lelaki lain yang pada saya lelaki itu juga perlu dilihat semula”.
BERKELANA DEMI JEJAK HADIS
Imam al-Bukhari mula berkelana meninggalkan bumi Bukhara demi menjejak hadis-hadis Rasulullah yang terpelihara kukuh di dada para ulama, ketika usia beliau mencecah 16 tahun, iaitu pada tahun 210 hijrah.
Perjalanan pertama ini adalah menuju ke kota Mekah bersama dengan ibu dan abang beliau yang bernama Ahmad demi menunaikan ibadat haji. Setelah musim haji selesai, ibu dan abangnya pulang semula ke Bukhara namun beliau pula tetap tinggal di Mekah dengan tujuan menuntut ilmu dan menjejak hadis Rasulullahyang diwarisi oleh para ulama tanah Hijaz.
Setelah berada di tanah Hijaz selama enam tahun, Imam al-Bukhari melanjutkan pula kembara ilmunya ke Syam, Mesir, Baghdad, Kufah dan Basrah. Beliau tinggal di kota Basrah selama lima tahun.
Beliau tiba di Baghdad pada akhir tahun 210 hijrah sebelum berlaku isu Khalqul Quran (isu adakah al-Quran makhluk atau tidak). Beliau banyak kali datang ke Baghdad sehingga sempat bertemu dengan Imam Ahmad Hanbal sebanyak lapan kali di Baghdad.
Beliau juga pernah sampai di Balkh (satu bandar di Afghanistan), Marw (satu bandar di Turkmenistan), al-Rayy (berhampiran dengan Teheran), Wasit (satu bandar di Iraq di antara Kufah dengan Basrah), Damsyik, Hims dan Asqalan.
Bahkan beliau juga pernah sampai di Naisabur (satu bandar di Iran) iaitu pada pertama kalinya pada tahun 209 hijrah. Kemudian beliau berkelana pula ke Asqalan pada tahun 217 hijrah.
Maka tidak hairan apabila Imam al-Bukhari akhirnya berjaya meriwayatkan hadis-hadis Rasulullah yang diperolehnya daripada 1,080 orang ulama besar hadis pada zamannya, sebagaimana yang dinyatakan sendiri oleh beliau:
“Saya sudah menulis (hadis) daripada 1080 orang yang tidak seorangpun daripada mereka kecuali adalah pemilik hadis”.
“Saya pernah mengunjungi Balkh lalu mereka (penduduk Balkh) telah meminta saya menyampaikan kepada mereka segala hadith yang saya terima daripada semua guru yang hadisnya saya catat.
Lalu saya pun menyampaikan kepada mereka seribu hadis yang saya terima daripada seribu orang guru”.
PARA GURU YANG DITEMUI
Dari sudut guru yang paling senior yang sempat diambil hadisnya oleh Imam al-Bukhari adalah ulama hadis daripada kalangan Tabi‘ Tabi‘in yang masih hidup saat itu seumpama Muhammad ‘Abdullah al-Ansoriyy, ‘Isom Kholid, Abu ‘Asim al-Nabil dan Makkiyy Ibrahim.
Guru yang paling memberi kesan yang mendalam terhadap beliau adalah ulama agung hadis saat itu iaitu ‘Aliyy al-Madiniyy yang lahir pada 161 hijrah dan wafat pada 234 hijrah.
Beliau memiliki kemampuan luar biasa dalam menghafaz hadis, sehingga tergolong dalam kalangan ulama hadis yang paling banyak menghafalnya. Bahkan, Imam al-Bukhari dianugerahkan gelaran Amir al-Mu’minin fi al-Hadis, iaitu pemimpin tertinggi dalam kalangan para ahli hadis.
Imam al-Bukhari pernah mengungkap kekaguman beliau yang sangat tinggi kepada Imam ‘Aliyy bin al-Madiniyy melalui satu ucapan: “Saya tidak pernah merasa kecil ketika saya bersama dengan sesiapa pun kecuali saat saya berada di sisi ‘Aliyy bin al-Madiniyy. Kadangkala daku mendatangkan riwayat yang pelik kepadanya”.
Beliau juga pernah berkata: “Saya tidak pernah mendengar hadis daripada mulut seseorang insan yang lebih menyelerakan bagiku melebihi hadis yang saya dengar daripada mulut ‘Aliyy”.
Imam al-Bukhari meriwayatkan lebih daripada 200 hadis di dalam Sahih al-Bukhari yang beliau mendengarnya daripada al-Imam ‘Aliyy al-Madiniyy.
Adapun guru yang hadisnya paling banyak diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab Sahih al-Bukhari, beliau adalah Imam Abdullah Yusuf al-Dimashqiyy yang merupakan murid langsung al-Imam Malik Anas.
Beliau bertemu dengan Imam Abdullah Yusuf di Mesir pada tahun 217 hijrah dan sebanyak 345 hadis diriwayatkan di dalam Sahih al-Bukhari.
Antara para ulama besar yang hadis-hadis mereka diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari ialah Abdullah al-Zubair al-Humaydi, Khollad Yahya al-Muqri’, Ubaydullah Musa al-‘Absiyy, Isom Khalid Abu Ishaq al-Himsiyy, Tolq Ghonnam al-Kufiyy, al-Dhohhak Makhlad, Makkiyy Ibrahim, al-Fadhl Dukayn, Aliyy ‘Ayyash al-Himsiyy, Adam Abu Iyas, al-Hakam Nafi‘ al-Himsiyy, Sulaiman Harb, Muhammad Salam al-Bikandiyy, Yahya Yahya al-Tamimiyy, Abdullah Muhammad Ja‘far al-Ju‘fiyy al-Musnadiyy, Yahya Ma‘in, Ishaq Rahwayh, Qutaybah Sa‘id al-Balkhiyy, Ahmad Hanbal serta Aliyy Hujr al-Marwaziyy.
(Bersambung)
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










