Di sebalik dunia kandungan digital yang semakin rancak hari ini, terselit kisah seorang anak jati Negeri Sembilan yang membina jalan kerjayanya sedikit demi sedikit daripada kedai cetak hinggalah ke dunia jualan secara penstriman langsung dan penciptaan kandungan.
Perjalanan hidup Muhammad Hanif Mohd Din, berusia 37 tahun, berasal dari Jempol itu bukan bermula dengan glamor kamera atau populariti media sosial, sebaliknya dari kerja biasa di kedai percetakan milik bapa saudaranya di Jelebu.
Selama hampir empat tahun di situ, Hanif belajar selok-belok kerja teknikal dan rutin harian yang sederhana tetapi penuh disiplin.
Namun seperti ramai anak muda lain yang mahu berubah, dia mula merasakan sudah tiba masa untuk melangkah ke fasa seterusnya.
Langkah itu membawa Hanif kepada peluang di syarikat menjual aksesori wanita iaitu Christy Ng, selepas mendapat tawaran melalui rakan lamanya yang sudah lama bekerja di situ.
Semuanya bermula secara tidak dirancang apabila dia sekadar bertanya jika ada kekosongan kerja.
Dari situlah bermulanya perjalanan baharu dalam dunia jualan secara siaran langsung.
AKUI RASA KEKOK
Pada awalnya, lelaki yang turut dikenali sebagai Banep itu mengakui dirinya agak kekok dan gugup, lebih-lebih lagi apabila perlu tampil di hadapan kamera.
Tambahan pula, kebanyakan segmen siaran langsung itu melibatkan produk wanita, sesuatu yang asing baginya sebagai lelaki.
Dia perlu belajar cepat, memahami produk dan menghafal maklumat dalam tempoh singkat sebelum sesi siaran langsung bermula.

“Saya mengambil masa dua hingga tiga hari untuk mengetahui tentang produk yang akan dijual dan langkah itu penting bagi meyakinkan pelanggan kenapa mereka perlu beli produk kami.
“Mula-mula rasa kekok dan kelam kabut, tetapi seiring dengan masa, saya semakin menyesuaikan diri dan kini rasanya tiada masalah untuk bercerita tentang produk yang dijual,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Walaupun mencabar, pengalaman itu membuatkan Hanif semakin mahir dan yakin dari semasa ke semasa.
Dia juga sempat menyaksikan bagaimana rakan-rakan lain lebih berpengalaman mengendalikan sesi penstriman langsung pada waktu lewat malam, sekali gus menjadi inspirasi untuk dirinya.
BERGELAR PENCIPTA KANDUNGAN
Kini, Hanif tidak lagi berada di posisi live selling seperti dahulu.
Dia beralih pula kepada dunia sebagai pencipta kandungan sepenuh masa bersama kumpulan The Bengap Brothers bagi mempromosi produk jualan Christy Ng.
Perubahan itu membuka ruang baharu untuknya berkarya dengan lebih bebas dan kreatif.
Namun , cabaran sebagai pencipta kandungan tidak pernah berkurang, malah datang dalam bentuk berbeza.
Antara cabaran utama adalah mencari idea segar yang boleh menarik perhatian penonton setiap hari.
“Kadang-kadang idea sudah ada, tetapi perlu diperkembangkan supaya lebih menarik dan tidak terlalu biasa.
“Proses menghasilkan kandungan juga memerlukan perancangan teliti dari awal hingga ke hasil akhir,” katanya.
Selepas penggambaran dan suntingan, Hanif akan menilai sama ada kandungan itu mendapat sambutan atau tidak melalui komen, perkongsian dan analitik.
Untuk mencari idea pula, dia banyak bergantung kepada platform seperti TikTok dan Instagram yang sarat dengan trend semasa.
Selain itu, pengalaman hidup seharian juga menjadi sumber inspirasi kandungannya.
Situasi di tempat kerja, hubungan bos dan staf, serta kisah keluarga sering dijadikan bahan untuk kandungan yang lebih dekat dengan penonton.
BERDEPAN PERSEPSI
Dalam masa yang sama, Hanif juga pernah berdepan persepsi orang terhadap lelaki yang bekerja dalam bidang jualan produk wanita.
Namun lama-kelamaan, perkara itu menjadi normal baginya dan tidak lagi menjadi isu besar.
“Pernah ada orang tanya kenapa kerja jual barang orang perempuan, pada mereka mungkin sedikit pelik, tapi sekarang ramai yang sudah berfikiran terbuka.
“Saya juga sama seperti orang lain yang mahu mencari rezeki halal untuk meneruskan kehidupan,” ujarnya.
MIRIP STEVE AOKI?
Penampilannya yang berjambang juga pernah menarik perhatian orang, malah ada yang menyamakan wajahnya dengan figura terkenal seperti Steve Aoki.
Bagi Hanif yang merupakan anak sulung dari lima beradik, identiti itu tidak perlu diubah secara drastik, sebaliknya dijadikan sebahagian daripada personaliti dirinya.
Di sebalik dunia kreatif yang mencabar, tekanan kerja tetap wujud dari semasa ke semasa.
Namun dia memilih untuk menyelesaikannya melalui perbincangan dan sesi brainstorming bersama pasukan.
Baginya, kerja berpasukan adalah kunci utama dalam menghasilkan idea yang lebih kuat dan segar.
Akhirnya, kisah Hanif bukan sekadar tentang perubahan kerja, tetapi tentang keberanian mencuba sesuatu yang baharu.










