Daun kaduk rawat osteoatritis

Daun kaduk rawat osteoatritis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Daun kaduk atau nama saintifiknya, piper sarmentosum sangat popular dalam masakan Melayu.

Selain dijadikan ulam-ulaman, ia juga sering digunakan bagi penyediaan kerabu dan gulai lemak.

Herba tradisional tempatan ini bukan sekadar pelengkap hidangan, malah turut terkenal dengan pelbagai manfaat kesihatan.

Ia dikatakan mampu merawat demam, masalah angin dalam perut, sembelit, sakit sendi, batuk dan panau.

Kini, khasiatnya semakin meluas apabila dikenal pasti membantu melegakan penyakit sendi kronik atau osteoartritis.

Potensi besar herba ini ditemukan oleh sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kajian terbaharu itu mendapati daun kaduk merupakan agen terapeutik untuk merawat penyakit tersebut.

Ekstrak air daunnya dipercayai mampu mengurangkan kerosakan sendi dengan meningkatkan aktiviti pembinaan sel (anabolik) dan menyekat proses pereputan sendi (katabolik) yang didorong oleh keradangan.

Ketua penyelidik, Dr. Mohd. Heikal Mohd. Yunus berkata, daun kaduk telah lama digunakan dalam perubatan tradisional.

Penyelidikan saintifik sebelum ini juga menunjukkan tumbuhan ini memiliki sifat antihipertensi, antiradang dan antioksidan yang kuat.

Dalam kajian terbaharu itu, pasukannya menggunakan teknologi canggih Liquid Chromatography-Tandem Mass Spectrometry (LC-MS/MS) untuk memprofilkan kandungan ekstrak daun kaduk.

Hasilnya sungguh mengejutkan apabila sebanyak 101 sebatian dikesan dalam ekstrak tersebut.

“Antara sebatian aktif utama yang ditemui termasuklah vitexin, pterostilbene dan glutathione yang terkenal dengan fungsi pelindung rawan (kondroprotektif).

“Sebanyak 15 daripada 20 sebatian paling dominan dalam ekstrak tersebut mempunyai bukti saintifik sebagai agen anti-radang dan antioksidan yang relevan sebagai rawatan osteoartritis,” katanya baru-baru ini.

Penyakit kronik

Osteoatritis merupakan penyakit sendi degeneratif kronik yang berpunca daripada ketidaknormalan pada rawan dan tulang subkondral.

Berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan 528 juta orang di seluruh dunia menghidap penyakit ini pada 2019, dengan peningkatan kes sebanyak 113.25 peratus sejak 1990.

Penyakit ini sering menyerang sendi yang menampung berat badan seperti lutut dan pinggul.

Ia sekali gus menyebabkan kesakitan yang amat sangat dan mengehadkan pergerakan pesakit.

Mohd. Heikal berkata, pilihan rawatan sedia ada ialah pengambilan ubat tahan sakit (NSAIDs).

Namun, penggunaan jangka panjang berisiko menjejaskan buah pinggang, sistem kardiovaskular, dan sistem penghadaman.

Manakala, pembedahan penggantian lutut pula mempunyai jangka hayat alat prostatik yang terhad dan berkos tinggi.

Tingkat proses pemulihan rawan

Kajian ini melibatkan rawatan sel rawan (kondrosit) yang diperoleh daripada pesakit yang menjalani pembedahan penggantian lutut di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Dalam kajian tersebut, beberapa penemuan kritikal dicatatkan yang memperincikan keberkesanan daun kaduk terhadap kesihatan sendi.

Pertama, penggunaan ekstrak daun kaduk terbukti mampu meningkatkan proses pemulihan rawan secara signifikan melalui peningkatan ekspresi gen anabolik seperti COL2A1, ACP, dan SOX9.

Gen-gen ini memainkan peranan sangat penting dalam menghasilkan kolagen jenis II dan agrekan.

Ia adalah komponen utama yang memberikan kekuatan struktur dan keanjalan kepada sendi manusia.

Kedua, ekstrak ini juga berperanan dalam menyekat kerosakan sendi yang lebih teruk dengan cara mengurangkan penghasilan Nitrik Oksida (NO) serta menyekat ekspresi enzim keradangan seperti COX2 dan iNOS.

Rembesan NO berlebihan merupakan punca utama yang menyebabkan kerosakan oksidatif dan kematian sel di dalam sendi pesakit osteoatritis.

Ketiga, dari aspek keselamatan sel, ujian makmal menunjukkan ekstrak daun kaduk tidak memberikan sebarang kesan buruk atau toksik kepada kelangsungan hidup sel rawan.

Malah, kata Mohd. Heikal, pada kepekatan tertentu, ekstrak herba ini didapati membantu mengekalkan rupa bentuk atau morfologi sel agar kekal sihat dan berfungsi dengan baik.

Mekanisme ‘chondroprotective’

Keunikan daun kaduk terletak pada kemampuannya untuk mengimbangi homeostasis rawan.

Dalam sendi sihat, terdapat keseimbangan antara degradasi (pereputan) dan sintesis (pembinaan) tisu.

Namun, dalam osteoatritis, keseimbangan itu terganggu lantas menyebabkan tisu rawan haus dan musnah.

Jelasnya, kehadiran pelbagai sebatian bioaktif dalam daun kaduk menyokong potensi mekanismenya dalam merawat osteoatritis.

Ia bukan sekadar melegakan kesakitan seperti ubat tahan sakit biasa, tetapi berfungsi di peringkat selular untuk menghalang proses kemusnahan sendi dan menggalakkan pembentukan semula matriks rawan yang rosak.

“Penemuan ini membuktikan yang khazanah alam semula jadi Malaysia mempunyai nilai perubatan tinggi jika dikaji dengan kaedah sains moden.

“Daun kaduk yang sebelum ini sekadar menjadi ulaman di meja makan, kini berpotensi menjadi ‘penyelamat’ bagi mereka yang menderita akibat sakit sendi kronik,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, usaha memartabatkan herba tempatan itu memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak.

Ia penting bagi memastikan inovasi perubatan tersebut dapat dinikmati oleh masyarakat umum satu hari nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN