94 peratus rakyat Malaysia tangguh rawatan perubatan

94 peratus rakyat Malaysia tangguh rawatan perubatan

Ketua Setiuasaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (tengah) ketika merasmikan Majlis Pelancaran Patient Voices Malaysia Report di Menara Prudential, Kuala Lumpur baru-baru ini. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Realitinya, ramai rakyat Malaysia bukan tidak peduli soal kesihatan. Sebaliknya, mereka sering terpaksa menangguhkan rawatan kerana pelbagai kekangan hidup yang menghimpit.

Malah, sebanyak 94 peratus rakyat di negara ini mengakui pernah menangguhkan rawatan perubatan dalam tempoh 12 bulan lalu. Angka ini bukan kecil malah mencerminkan satu situasi yang cukup membimbangkan.

Di sebalik kelewatan itu, puncanya bukanlah sikap sambil lewa. Sebaliknya, tekanan komitmen harian, tuntutan kerja dan tanggungjawab terhadap keluarga sering memaksa ramai untuk meletakkan kesihatan di tangga kedua.

Laporan Patient Voices Malaysia menggambarkan keadaan ini dengan jelas. Kesibukan bekerja muncul sebagai antara penghalang utama untuk seseorang mendapatkan rawatan, walaupun mereka sedar ia penting.

JANGKA HAYAT BERTAMBAH

Statistik menunjukkan jangka hayat rakyat Malaysia pada tahun 2025 mencecah 75.3 tahun. Namun, purata tempoh hidup sihat hanya sekitar 64 tahun.

Ini bermakna, kira-kira 11 tahun terakhir kehidupan ramai dihabiskan dalam keadaan kesihatan yang tidak optimum iaitu satu jurang yang cukup besar dan perlu diberi perhatian serius.

Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Kesihatan Prudential plc, Arjan Toor berkata, kelewatan mendapatkan rawatan bukan berpunca daripada kekurangan akses kepada perkhidmatan kesihatan.

Sebaliknya, ia lebih kepada kekangan harian dan ketidakpastian yang membuatkan pesakit teragak-agak untuk bertindak awal.

TIDAK TAHU MAHU MULA DI MANA

Kajian melibatkan 1,020 responden tempatan turut mendedahkan satu lagi isu penting iaitu kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Sebanyak 54 peratus responden mengakui mereka tidak pasti ke mana perlu pergi atau siapa yang harus dirujuk apabila jatuh sakit.

Ketiadaan doktor keluarga tetap menyebabkan ramai terpaksa ‘meraba-raba’ dalam sistem kesihatan yang kompleks.

Dalam masa sama, kos rawatan turut menjadi kebimbangan besar. Seramai 53 peratus risau mereka tidak mampu menanggung perbelanjaan perubatan.

Namun menariknya, 71 peratus pesakit sebenarnya mendapati kos rawatan lebih rendah daripada jangkaan hasil bantuan subsidi dan insurans.

Ketua Pegawai Kesihatan Prudential Malaysia, Manisha Keyal menegaskan rakyat menangguhkan rawatan bukan kerana tidak peduli.

Sebaliknya, mereka terperangkap dalam tekanan hidup seharian yang mendesak.

“Aspirasi kami adalah untuk memastikan setiap pesakit tenang ketika berdepan detik paling memerlukan rawatan.

“Kelewatan mendapatkan bantuan bukan berpunca daripada sikap sambil lewa terhadap kesihatan, sebaliknya kerana komitmen harian yang mendesak,” katanya.

Menyedari kemelut ini, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan kini mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan strategi RESET.

TANGGUH PERIKSA PUNCA SAKIT SUKAR DIRAWAT

Dalam banyak kes, masalah kesihatan serius di Malaysia bukan berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya ia bermula dengan satu sikap yang nampak kecil iaitu menangguhkan rawatan sama ada secara sengaja atau tidak.

Hakikatnya, sikap ini, walaupun kadangkala berpunca daripada kekangan hidup, boleh membawa padah besar. Antara yang paling membimbangkan ialah kanser yang sering hanya disedari apabila sudah berada di peringkat akhir.

Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Wan Ezat Puteh menjelaskan, kanser berlaku apabila sel-sel dalam badan membesar secara tidak terkawal sehingga merosakkan sistem tubuh.

“Sel-sel agresif ini akan mengganggu fungsi organ penting secara beransur-ansur dan akhirnya boleh membawa kepada risiko kematian,” jelasnya.

KANSER ANCAMAN SENYAP

Menurut beliau, antara faktor utama penyumbang kanser ialah gaya hidup tidak sihat seperti pengambilan makanan segera dan mi segera yang tinggi bahan pengawet.

Selain itu, pencemaran udara, bahan kimia dalam makanan, sisa mikroplastik, serta jangkitan kuman dan virus berbahaya turut memainkan peranan.

Lebih membimbangkan, kanser pada peringkat awal sering tidak menunjukkan sebarang tanda jelas.

Sebagai contoh, kanser payudara kadangkala berkembang secara senyap tanpa simptom ketara, menjadikannya sukar dikesan tanpa saringan awal.

Apabila ia mula merebak, barulah tanda-tanda muncul dan ketika itu, keadaan biasanya sudah menjadi serius.

BILA SARINGAN DIABAIKAN

Di sinilah pentingnya saringan awal untuk pelbagai jenis penyakit dan kanser. Namun, realitinya ramai yang menangguhkan pemeriksaan.

Menurut Dr. Sharifa, ramai pesakit hanya dikesan apabila sel kanser sudah membesar dengan cepat dan merebak melalui saluran darah serta sistem limfa.

Lebih menyedihkan, kekurangan kemudahan saringan canggih serta kepakaran di sesetengah kawasan luar bandar turut menyukarkan pengesanan awal.

Jelas Dr. Sharifa, kelewatan mendapatkan saringan bukan semata-mata kerana sikap tidak peduli.

Sebaliknya, ia melibatkan pelbagai faktor iaitu daripada kurang pengetahuan, kekangan masa, hingga faktor psikologi seperti takut atau tidak yakin.

Selain itu, lokasi pusat kesihatan yang jauh dan kos rawatan yang tinggi menjadi penghalang besar, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah.

Namun, kesannya tetap sama iaitu penyakit dikesan lewat.

Tidak hairanlah banyak kes kanser payudara di Malaysia hanya dikenal pasti pada tahap akhir, apabila kerosakan pada tubuh sudah ketara dan peluang rawatan semakin tipis.

RAWATAN AWAL, PELUANG LEBIH CERAH

Dr. Sharifa menegaskan, kanser atau penyakit lain yang dikesan awal mempunyai peluang sembuh yang jauh lebih tinggi.

Rawatan juga lebih berkesan, komplikasi dapat dikurangkan dan pesakit berpeluang menikmati kualiti hidup yang lebih baik serta jangka hayat lebih panjang.

Justeru, beliau menyeru rakyat Malaysia supaya tidak lagi menangguhkan saringan kesihatan.

TREND PENYAKIT KRONIK MENINGKAT

Selain kanser, Dr Sharifa menyatakan penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, serangan jantung dan strok juga menunjukkan peningkatan ketara.

Katanya, ramai pesakit terpaksa menanggung komplikasi serius kerana penyakit tidak dikawal sejak awal.

Dalam masa sama, segelintir masyarakat masih bergantung kepada rawatan alternatif.

Pilihan ini sering dipengaruhi oleh faktor budaya, kepercayaan agama, serta persepsi bahawa perubatan moden tidak sesuai atau terlalu mahal.

Ada juga yang merasakan rawatan tradisional lebih ‘tenang dan tidak menyakitkan’ berbanding hospital.

Namun, Dr. Sharifa mengingatkan keberkesanan rawatan alternatif sukar dibuktikan secara saintifik dan mungkin mempunyai kesan sampingan tersembunyi.

KOS RAWATAN, CABARAN MASA DEPAN

Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, rawatan perubatan juga dijangka menjadi beban kewangan yang lebih berat.

Golongan tanpa insurans atau simpanan kecemasan akan berdepan cabaran besar untuk mendapatkan rawatan pakar.

Jika keadaan ini berterusan, jurang kualiti kesihatan rakyat Malaysia berbanding negara maju mungkin semakin melebar.

Kesihatan rakyat bukan sekadar isu individu, malah memberi kesan kepada produktiviti negara.

Apabila ramai warga emas menghidap penyakit kronik, golongan muda terpaksa menanggung beban penjagaan secara fizikal, mental dan kewangan.

Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menjejaskan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan sosial.

Penurunan kualiti kesihatan penduduk secara kolektif akan menjejaskan produktiviti golongan muda yang sepatutnya menjadi nadi utama kepada penggerak ekonomi Malaysia menuju negara maju.

“Mulakan langkah penjagaan diri sendiri dengan kekal aktif secara fizikal, mengelakkan obesiti, serta mengawal pemakanan yang seimbang dalam rutin harian anda,” ujar Dr Sharifa.

Kesimpulannya, menangguhkan rawatan mungkin nampak seperti keputusan kecil, tetapi kesannya boleh menjadi besar.

Langkah mudah seperti pemeriksaan berkala, pemakanan sihat, gaya hidup aktif, dan pengurusan stres boleh membuat perbezaan besar.

Paling penting, jangan tunggu sehingga gejala menjadi teruk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN