Koleksi pereka muda ini menampilkan siluet lembut, berlapis dan mengalir, menyerupai kelopak bunga teratai yang mekar.
Elemen perincian seperti draping, layering dan kemasan halus turut digunakan untuk mengekalkan estetika feminin dan sopan.
Corak cetakan pada pakaian merupakan hasil olahan digital daripada lukisan cat air manual, sekali gus mengekalkan tekstur, gradasi warna dan nuansa organik lukisan asal.
Aina Munawwarah Abdul Rais berkata, koleksi Bloom Unbound membawa konsep pembebasan dan transformasi semula jadi wanita melalui simbolik bunga teratai.
“Inspirasi utama koleksi ini datang daripada bunga teratai dalam fasa kuntum hingga mekar.
“Keadaan ini melambangkan perjalanan emosi dan fizikal wanita, daripada fasa perlindungan dan kerendahan diri kepada keyakinan, kebebasan dan kematangan,” katanya baru-baru ini.
Keunikan koleksi Aina Munawwarah terletak pada penggunaan cetakan eksklusif yang dihasilkan daripada lukisan manual menggunakan media cat air.
Ia bukan sahaja menggabungkan elemen fesyen kontemporari dengan nilai artisanal, bahkan menonjolkan ekspresi kreatif penuntut Teknologi Seni Reka Fesyen di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.
Katanya, penghasilan Bloom Unbound mengambil masa selama setahun dengan cabaran utamanya dalam pembuatan pola dan corak menggunakan perisian Adobe Illustrator serta Procreate.
Proses itu bagi memastikan hasil cetakan fabrik menyerupai lukisan asal dari segi warna dan tekstur.
“Sepanjang penghasilan koleksi ini, minat saya semakin berkembang terhadap penerokaan hubungan antara seni halus dan fesyen.
“Proses ini beri kepuasan kreatif kerana setiap lukisan bersifat unik,” katanya.










