Sajian warisan, kontemporari jadi taruhan

Sajian warisan, kontemporari jadi taruhan

the St. Regis Langkawi menampilkan bufet Ramadan bertemakan Santapan Warisan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) yang diuruskan oleh The St. Regis Langkawi menampilkan bufet Ramadan bertemakan Santapan Warisan.

Lebih 50 hidangan Melayu, daripada tradisional hingga kontemporari, disajikan untuk memberikan pengalaman berbuka yang unik dan segar kepada pengunjung.

Menurut sous cef, Mohd. Fauzi Hashim, pengalaman bertahun-tahun dalam masakan Melayu tradisional membolehkannya menggabungkan resipi warisan, rasa tempatan dan keenakan klasik yang dinikmati generasi demi generasi.

Menariknya, Santapan Warisan turut memperkenalkan hidangan istimewa cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, yang dihidangkan bersama ciptaan dalaman LICC.

Antara menu tumpuan termasuk gulai daging salai dengan pucuk ubi, itik panggang masak lemak cili padi dan rendang daging minang.

Pengunjung juga dibawa mengembara melalui citarasa Malaysia terkenal, daripada hidangan jalanan seperti sup kambing mamak, roti john dan sate klasik, hinggalah stesen pemotongan daging yang menyajikan ayam bakar madu, ikan siakap bakar bersambal, dan peha kambing panggang.

Istimewanya, bufet ini turut diserikan dengan persembahan gamelan tradisional harian, sekali gus mewujudkan suasana malam yang meriah tetapi santai.

Sementara itu, di ibu kota, DoubleTree by Hilton Kuala Lumpur terus mengekalkan menu klasik yang menjadi simbol identiti hotel saban tahun.

Pengurus Makanan dan Minuman (F&B), Mohd. Radzlan Mohd. Azman berkata, antara hidangan istimewa yang disajikan ialah sup kawah istimewa cef Zul, ikan siakap gaya nyonya, rendang tulang lembu, ayam golek berempah dan nasi beriani makanan laut.

Selain itu, bufet Santapan Lagenda turut memperkenalkan beberapa pembaharuan menarik seperti cucur musang king, taco kambing Australia masak kashmiri dan air sirap bandung naga.

Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pula menyajikan bufet Ramadan bertemakan Tradisi Semarak Rasa.

Di sini, pengunjung berpeluang melihat demonstrasi masakan secara langsung di sembilan stesen yang disediakan.

Ia terdiri daripada nasi ayam bergulung bijan, ais krim goreng celup tepung, laksa lemak aneka lautan, kambing panggang signatur, rojak Singapura dan sotong kangkung kacang tumbuk.

Stesen lain ialah yong tau fu, roti panjang bersama inti ayam panggang dan aneka sos pilihan, ayam teriyaki serta sate.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN