Sambutan Ramadan dan Syawal tahun ini di Intermark Mall tampil lebih istimewa menerusi kempen Raya Bergaya yang mengetengahkan keindahan warisan serta kepelbagaian budaya Malaysia dalam suasana yang elegan dan meriah.
Menurut Pengurus Besar Pemasaran pusat beli-belah itu, Evelyn Woon, tema yang diperkenalkan pada tahun ini bertujuan meraikan keanggunan tradisi sambil mengukuhkan nilai silaturahim serta keterangkuman dalam kalangan masyarakat.
Katanya, sambutan tersebut bukan sekadar mempamerkan elemen warisan, malah menjadi platform untuk membina komuniti yang lebih inklusif.
“Bagi menonjolkan tema ini, ruang atrium utama dihiasi dengan dekorasi yang menggabungkan elemen pelbagai budaya termasuk warisan Melayu dan Peranakan,” katanya.
Beliau berkata, lokasi pusat beli-belah itu yang terletak di tengah ibu kota serta berhampiran kawasan kedutaan menjadikannya ruang sesuai untuk memperkenalkan kepelbagaian budaya Malaysia kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Sepanjang kempen berlangsung, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati suasana dekorasi yang meriah, malah pelbagai aktiviti turut disediakan.
Antaranya persembahan tarian tradisional Inang dan Zapin, akt

iviti seni lukis wajah serta program interaktif yang sesuai untuk seisi keluarga.
Sokong pereka tempatan
Kempen Raya Bergaya tahun ini juga membuka ruang kepada pereka dan jenama tempatan untuk menampilkan kreativiti masing-masing.
Antara yang terlibat ialah pereka fesyen terkenal Carven Ong yang pernah menggayakan selebriti Hollywood dalam filem Crazy Rich Asians.
Pusat beli-belah tersebut turut bekerjasama dengan jenama tempatan Variante dan Haute & Gold bagi menyokong perkembangan perniagaan kecil serta usahawan tempatan.
Bagi memeriahkan lagi pengalaman membeli-belah, pengunjung yang berbelanja minimum RM150 layak menebus sampul raya edisi terhad.
Mereka juga berpeluang menyertai peraduan Raya Top Spender dengan hadiah pakej percutian dalam negara yang ditawarkan oleh DoubleTree by Hilton Kuala Lumpur.
Menurut Evelyn, sambutan perayaan seperti ini bukan sahaja menghidupkan suasana pusat beli-belah, malah turut membantu merancakkan aktiviti ekonomi melalui sektor makanan, fesyen dan pemberian hadiah.
“Kami menjangkakan promosi menarik seperti sampul raya edisi khas, hadiah pakej percutian bernilai RM10,000 serta bazar perayaan akan menarik lebih ramai pengunjung ke pusat membeli-belah ini,” katanya.
Sentuhan kebajikan Ramadan
Selain kemeriahan membeli-belah, pihak pengurusan turut menitikberatkan elemen kebajikan sepanjang Ramadan.
Menurut Evelyn, pihaknya bekerjasama dengan Amanah Raya serta DoubleTree by Hilton Kuala Lumpur untuk menganjurkan majlis berbuka puasa bersama komuniti yang memerlukan, selain menghargai jasa anggota polis dan bomba.
“Selagi rakan kerjasama kami gembira, penyewa dan vendor berpuas hati serta komuniti menikmati pengalaman yang bermakna, itulah yang kami harapkan,” katanya.
Kempen Raya Bergaya ini dijangka terus menarik kehadiran pengunjung tempatan dan antarabangsa yang ingin merasai kemeriahan Ramadan dan Syawal dalam suasana yang meraikan budaya, tradisi serta semangat kebersamaan.










