Malaysia mencatat satu lonjakan yang membanggakan dalam Indeks Daya Saing Global (IMD Global) apabila meningkat ke tangga ke-23 daripada 69 negara yang dinilai, sekali gus mencerminkan peningkatan ketara dalam keupayaan ekonomi negara di peringkat antarabangsa.
Pencapaian ini merupakan kedudukan terbaik yang dicapai negara dalam tempoh lima tahun dan ia memberi isyarat Malaysia semakin kompetitif dalam landskap ekonomi global yang semakin mencabar.
Namun di sebalik pencapaian tersebut, terdapat satu realiti yang tidak boleh diabaikan, iaitu wujudnya jurang ketara antara kejayaan ekonomi dan prestasi sektor pendidikan negara.
Menurut Pakar Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad, terdapat satu indikator penting dalam penilaian global yang kekal statik sejak beberapa tahun lalu dan menimbulkan kebimbangan.

Katanya, indikator tersebut ialah sektor pendidikan yang didapati tidak menunjukkan sebarang peningkatan sejak tahun 2022, sekali gus menggambarkan kelemahan berterusan dalam sistem pendidikan negara.
“Malaysia kekal berada di tangga ke-44 dalam segmen pendidikan selama empat tahun berturut-turut, satu kedudukan yang jauh daripada memberangsangkan bagi sebuah negara yang sedang berusaha mencapai status maju.
“Lebih membimbangkan, kedudukan tersebut meletakkan Malaysia dalam kelompok tiga terbawah dalam kalangan negara yang dinilai oleh Institut IMD Global yang berpangkalan di Switzerland.
“Keadaan ini menimbulkan persoalan besar terhadap keupayaan sistem pendidikan negara dalam menyokong pembangunan jangka panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Walaupun kedudukan keseluruhan Malaysia meningkat dengan ketara, daripada tangga ke-34 pada tahun 2024 kepada ke-23 pada tahun 2025, sektor pendidikan masih belum menunjukkan sebarang perubahan positif.
PENCAPAIAN TIDAK SEIMBANG
Situasi ini jelas menunjukkan wujudnya pencapaian yang tidak seimbang antara kemajuan ekonomi dan pembangunan modal insan.
Menurut Dr. Anuar, kejayaan Malaysia dalam aspek lain seperti perdagangan antarabangsa yang berada pada kedudukan keenam dunia memainkan peranan besar dalam melonjakkan kedudukan keseluruhan negara.
Katanya, pencapaian ini mencerminkan kekuatan struktur ekonomi negara serta keupayaan kerajaan dan sektor swasta menyesuaikan diri dengan perubahan global yang pesat.
Namun, sektor pendidikan bersama kesihatan dan alam sekitar masih kekal sebagai titik lemah utama dalam ekosistem pembangunan negara.
Data daripada Institut IMD Global yang menunjukkan Malaysia kekal di kedudukan ke-44 dalam pendidikan selama empat tahun membuktikan tiada kemajuan ketara dicapai dalam tempoh tersebut.
Bagi menggambarkan situasi ini, Dr. Anuar menggunakan satu analogi yang cukup jelas dan mudah difahami.
Beliau menyifatkan keadaan ini ibarat ‘sebuah kenderaan berkuasa tinggi yang sedang memecut laju di lebuh raya, tetapi satu daripada tayarnya pancit’.
Analogi tersebut menggambarkan walaupun sektor ekonomi berkembang pesat, kelemahan dalam pendidikan tetap menjadi penghalang utama kepada kemajuan negara secara menyeluruh.
Sekiranya kelemahan ini tidak ditangani, ia berpotensi menjejaskan keupayaan negara untuk bersaing dalam jangka panjang.
Menurut beliau, jika pendidikan terus dipinggirkan, negara berisiko melahirkan generasi yang tidak bersedia menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks.
Generasi ini mungkin tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk bersaing di peringkat global.
“Kegagalan memperkukuh sistem pendidikan akan menjadi liabiliti besar kepada negara pada masa hadapan.
“Hal ini kerana modal insan yang lemah tidak mampu menjadi pemacu kepada pembangunan mampan dan berdaya tahan,” ujanya.
Dr. Anuar berkata, sistem pendidikan Malaysia masih jauh daripada mencapai tahap yang selari dengan tuntutan dunia moden.
Kelemahan ini dapat dilihat dengan jelas dalam usaha melahirkan tenaga kerja yang relevan dan berkemahiran tinggi.
Sistem sedia ada dilihat masih belum mampu memenuhi keperluan pasaran kerja yang semakin kompleks.
ORIENTASI PEPERIKSAAN
Dr. Anuar turut berpendapat sistem pendidikan negara masih terlalu berorientasikan peperiksaan dan pencapaian akademik semata-mata.
Katanya, penekanan terhadap kemahiran insaniah seperti pemikiran kritikal, kreativiti dan keupayaan menyelesaikan masalah masih belum mencukupi.
Sedangkan kemahiran ini semakin penting dalam dunia kerja masa kini.
Menurut beliau, pendidikan sepatutnya menjadi alat utama untuk menyediakan pelajar menghadapi realiti masa hadapan yang penuh ketidakpastian.
“Perubahan pesat dalam teknologi dan pasaran kerja memerlukan sistem pendidikan yang lebih dinamik dan responsif.
“Pendidikan tidak seharusnya hanya berfungsi untuk memastikan pelajar lulus peperiksaan dengan cemerlang.
“Sebaliknya, ia perlu melahirkan individu yang berdaya saing dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan,” katanya.
Pelajar juga perlu dididik untuk mempunyai keupayaan pembelajaran sepanjang hayat.
SISTEM KETINGGALAN?
Kegagalan Malaysia menunjukkan peningkatan dalam kedudukan pendidikan global selama empat tahun berturut-turut menjadi bukti sistem sedia ada semakin ketinggalan.
Menurut Dr. Anuar, sistem pendidikan negara boleh dianggap sebagai ‘kaku’ dan kurang inovatif dalam pendekatannya.
Ia juga tidak cukup responsif terhadap perubahan dan keperluan semasa.
Akibatnya, sistem ini bukan sahaja gagal memenuhi kehendak industri, malah tidak berjaya melahirkan pemimpin masa depan yang berdaya cipta.
Beliau menegaskan kelemahan ini bukan semata-mata berpunca daripada kekangan peruntukan kewangan.
Sebaliknya, ia melibatkan soal keutamaan dasar serta keberanian politik untuk melaksanakan reformasi menyeluruh.
Malaysia, katanya, masih jauh ketinggalan dalam aspek pembudayaan inovasi dalam kurikulum dan pendekatan pengajaran.
Latihan perguruan juga perlu ditransformasikan agar lebih progresif dan relevan.
Pengurusan sekolah pula perlu berasaskan data dan memberi fokus kepada pencapaian sebenar pelajar.
Tanpa perubahan radikal dan holistik, Malaysia akan terus berdepan kesukaran dalam membina modal insan berkualiti tinggi.
Keadaan ini boleh menjejaskan usaha negara untuk mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi.
Sehubungan itu, reformasi pendidikan secara menyeluruh merupakan sebagai satu keperluan mendesak.
PERUBAHAN RADIKAL
Pakar pendidikan, Prof. Madya Dr. Salleh Amat mencadangkan satu perubahan radikal dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara.

Menurut beliau, pembaharuan yang diperlukan bukan sekadar perubahan kosmetik, tetapi melibatkan struktur asas sistem pendidikan.
“Penstrukturan semula kurikulum perlu memberi fokus kepada kemahiran abad ke-21 seperti pemikiran kritikal, kreativiti, komunikasi dan kerjasama.
“Kurikulum juga perlu dirangka dengan lebih fleksibel bagi memberi ruang kepada pembelajaran yang dinamik.
“Langkah ini penting bagi membantu pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran yang sentiasa berubah,” katanya.
Selain itu, latihan dan pembangunan profesional guru perlu diperkukuh secara berterusan.
Jelas Dr. Salleh, guru sebagai tunjang sistem pendidikan perlu dibekalkan dengan kemahiran dan sokongan yang mencukupi.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya sekolah juga wajar diberi lebih autonomi untuk menggalakkan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran.
Ini termasuk kebebasan untuk menyesuaikan pendekatan mengikut keperluan komuniti setempat.
PERKASA TEKNIKAL, VOKASIONAL
“Selain pendidikan akademik, aspek teknikal dan vokasional perlu diperkasa sebagai laluan alternatif yang setara.
“Dengan perubahan landskap pekerjaan, kemahiran praktikal menjadi semakin penting.
“Penglibatan sektor industri dalam pembangunan kurikulum juga perlu dipertingkatkan,” kata Dr. Salleh.
Menurut beliau, langkah ini dapat memastikan kandungan pendidikan kekal relevan dengan keperluan pasaran kerja.
Ujarnya, sistem pentaksiran nasional juga perlu dirombak agar tidak terlalu bergantung kepada hafalan semata-mata.
Sebaliknya, ia perlu memberi penekanan kepada kemahiran sebenar seperti kreativiti dan penyelesaian masalah.
Menurut beliau, tanpa reformasi menyeluruh, Malaysia berisiko kekal di kedudukan sama dalam pendidikan global untuk tempoh yang panjang.
Oleh itu, sudah tiba masanya semua pihak termasuk kerajaan, pembuat dasar dan pendidik berani melakukan anjakan paradigma.
Langkah ini penting bagi memastikan sistem pendidikan negara benar-benar mampu menyokong pembangunan masa depan generasi akan datang.










