Langkah penstrukturan semula operasi dalaman syarikat akhirnya membuahkan hasil bagi firma perancangan kewangan korporat apabila menerima pengiktirafan baru-baru ini.
MMC Financial Planning diiktiraf dalam The Asia Records sebagai firma pertama berlesen Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di Asia yang berjaya mengintegrasikan Belanjawan Strategik dengan Rangka Kerja Prestasi Organisasi secara komprehensif.
Pengarah Urusannya, Spark Liang berkata, pengiktirafan tersebut bukan sahaja mengukuhkan kedudukan firma itu sebagai peneraju dalam reka bentuk struktur kewangan korporat, malah menetapkan penanda aras baharu untuk industri.
“Sebelum ini, impian untuk berkembang sering terhalang kerana kekurangan struktur dalaman yang menepati piawaian pasaran modal.
“Jadi, kami berusaha melaksanakan penstrukturan yang bukan sahaja memberi fokus kepada pematuhan pelaporan atau latihan pengurusan biasa, tetapi mengadaptasi model penilaian yang lazimnya digunakan oleh bank pelaburan kepada sebuah sistem operasi perniagaan praktikal untuk kegunaan harian.
“Berdasarkan logik kewangan dan mekanisme prestasi unik itu, kami berjaya merungkai halangan utama dalam perniagaan,” katanya baru-baru ini.
Katanya, MMC akan terus memperkasa inovasi dalam perancangan kewangan korporat bagi membantu lebih banyak organisasi tempatan mencapai standard bertaraf antarabangsa.











