Dalam dunia seni foto, cahaya adalah nadi utama, namun, ironinya, bayang-bayang pekat juga mampu menghasilkan karya yang memukau jiwa.
Melihat kepada siri potret berkonsepkan pahlawan berpakaian tradisional Jepun ini, mata kita terus tertumpu kepada drama yang tercipta daripada kegelapan.
Inilah keajaiban teknik pencahayaan low-key dan penguasaan gaya chiaroscuro.
Teknik low-key bukan sekadar merakam dalam keadaan kurang cahaya, tetapi seni memanipulasi sumber cahaya terhad secara strategik.

Berbeza dengan pencahayaan high-key yang terang, low-key sengaja membiarkan sebahagian besar bingkai gambar tenggelam dalam tona gelap, lalu menonjolkan hanya bahagian penting pada subjek.
Jika kita teliti susun atur cahaya pada siri potret ini, jurufoto menggunakan elemen chiaroscuro iaitu istilah seni lukis Renaissance yang bermaksud kontras tajam antara terang dan gelap.
Cahaya berarah ditumpukan tepat pada struktur wajah, genggaman tangan dan bilah pedang.
Ini bukan sahaja memberi ilusi tiga dimensi yang kuat, malah membangkitkan aura misteri.

Asap dan percikan cahaya merah dari belakang membantu memisahkan subjek daripada latar hitam, sekali gus memberi impak sinematik.
Lepasan Fotografi dan Pengimejan Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak, Muhammad Uzair Md. Roslan berkata, teknik pencahayaan low-light kreatif bukan tentang kekurangan cahaya, tetapi cara mengawalnya dengan disiplin.
Dalam fotografi low-key, bayang-bayang menjadi kanvas emosi, manakala cahaya ialah berus yang menonjolkan tekstur dan naratif subjek.
Penulis ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fotografi Dan Pengimejan Kreatif, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Perak.











