Setiap ibu bapa tentu ingin memastikan anak mereka membesar dengan sihat, cergas dan ceria.
Namun, persoalannya, adakah pengambilan vitamin tambahan benar-benar diperlukan untuk tumbesaran kanak-kanak?
Pakar perubatan kesihatan awam dari Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, suplemen vitamin bukanlah keperluan mutlak bagi semua kanak-kanak, sebaliknya diperlukan dalam keadaan tertentu sahaja.

Secara umum, kanak-kanak yang menerima diet harian seimbang dan mencukupi mengikut berat dan umur tidak memerlukan vitamin tambahan.
Makanan yang mengandungi protein haiwan dan susu, sayuran, buah-buahan serta karbohidrat lazimnya sudah memadai untuk memastikan tumbesaran yang sihat.
“Jika kanak-kanak makan dengan baik dan diet lengkap, suplemen tambahan sebenarnya tidak diperlukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bila suplemen diperlukan?
Dr. Sharifa Ezat berkata, suplemen vitamin menjadi relevan apabila kanak-kanak menghadapi masalah pemakanan, seperti terlalu memilih makanan atau tidak makan secukupnya.
Kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik seperti asma, masalah penghadaman, malnutrisi atau anemia akibat jangkitan cacing mungkin memerlukan vitamin tambahan.
Keadaan itu juga boleh melibatkan kanak-kanak kurang upaya (OKU) atau mereka yang mengalami kesukaran makan.
Namun, pemberian suplemen harus mendapat nasihat pakar perubatan.
“Suplemen bukan gula-gula yang boleh diambil sesuka hati,” katanya.
Tiada vitamin ‘ajaib’ yang mampu merawat semua masalah kesihatan. Namun, multivitamin sering dianggap membantu memenuhi keperluan harian kerana mengandungi vitamin A, B, C, D, E dan K serta mineral penting seperti kalsium, zat besi, magnesium dan zink.
Kandungan ini berbeza mengikut pengeluar dan keperluan anak.
Bayi pramatang mungkin memerlukan tambahan folic acid dan zat besi, manakala warga emas lebih memerlukan vitamin D dan kalsium.
Tanda kekurangan vitamin
Menurutnya, kanak-kanak yang kerap letih, berat badan tidak mencapai tahap ideal atau perkembangan fizikal tidak seiring umur, mungkin memerlukan suplemen.
Antara tanda lain ialah masalah kurang darah (anemia), pertumbuhan yang lambat atau berat badan yang tidak meningkat mengikut umur.
Jika keadaan ini berlaku, ibu bapa disarankan mendapatkan nasihat pakar kesihatan untuk menilai keperluan suplemen.
Pengambilan vitamin secara berlebihan boleh menyebabkan kesan toksik, terutama vitamin larut lemak seperti A, D, E, dan K yang boleh terkumpul dalam tubuh.
Pengambilan vitamin secara berlebihan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti loya, muntah, cirit-birit dan hilang selera makan.
Dalam kes tertentu, ia juga boleh menjejaskan fungsi buah pinggang serta menyebabkan kesukaran bernafas.
Oleh itu, ibu bapa dinasihatkan supaya tidak memberi vitamin tanpa nasihat doktor.
Amalan multivitamin sebagai pencegahan
Bagi kanak-kanak yang kerap lemah, kurang aktif atau mudah jatuh sakit, pemberian multivitamin boleh dipertimbangkan.
Namun, ia seharusnya bukan rutin harian tanpa pertimbangan keperluan sebenar.
“Simptom kerap sakit mungkin berpunca daripada penyakit lain yang tidak dikesan. Pengesahan daripada kakitangan kesihatan sangat penting,” katanya.
Ibu bapa boleh memastikan anak mendapat vitamin yang mencukupi melalui diet harian yang seimbang, termasuk makanan berprotein, sayur-sayuran, buah-buahan serta susu.
Selain menyediakan makanan yang sihat, ibu bapa juga perlu menjadi contoh kepada anak-anak dengan turut mengamalkan pemakanan seimbang.
Anak-anak juga boleh dilibatkan dalam penyediaan hidangan serta didedahkan kepada pelbagai jenis makanan.
Pada masa sama, suasana waktu makan perlu dijadikan lebih positif dan menyeronokkan.
“Kanak-kanak yang cerewet makan tidak semestinya memerlukan vitamin tambahan selagi mereka masih mendapat pemakanan seimbang melalui pelbagai jenis makanan,” jelasnya.
Pengambilan vitamin tambahan boleh dimulakan sejak lahir jika terdapat keperluan khusus, bergantung kepada keadaan kesihatan dan saranan doktor.










