Inisiatif 'Kid’s Zone' meriahkan tarawih, bantu ibu bapa fokus beribadah

Inisiatif ‘Kid’s Zone’ meriahkan tarawih, bantu ibu bapa fokus beribadah

ANTARA kanak-kanak yang ditempatkan di Kid’s Zone di Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMBAWA anak kecil ke masjid untuk menunaikan solat tarawih sering menjadi dilema kepada ibu bapa kerana bimbang kehadiran si cilik akan mengganggu tumpuan jemaah lain yang ingin beribadah dengan tenang.

Keadaan itu menyebabkan sebahagian kaum ibu memilih untuk menunaikan solat tarawih di rumah, sedangkan suasana dan kemeriahan beribadah di masjid sebenarnya jauh berbeza.

Peka kepada keperluan kaum ibu, Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh mengambil inisiatif mewujudkan ruang khas dikenali ‘Kid’s Zone’.

Ruang bermain itu bukan sahaja menyediakan aktiviti melukis, mewarna dan membaca, malah sudut tontonan video yang memaparkan kisah-kisah nabi serta cerita berunsur nilai positif.

Imam Besarnya, Abd. Farid Salleh berkata, usaha menyediakan ruang khas itu bermula pada 2019 selepas pihak masjid menyedari ramai ibu bapa membawa anak-anak kecil ke masjid untuk berbuka puasa seterusnya menunaikan solat tarawih.

Katanya, keadaan itu memberi cabaran kepada jemaah apabila suasana menjadi agak bising ketika solat, namun sukar untuk menghalang mereka bermain memandangkan usia yang masih kecil.

“Kita mahu mendekatkan anak-anak dengan masjid, jadi kaedah terbaik perlu diambil untuk menguruskan mereka. Di sinilah datangnya idea mewujudkan ruang bermain menggunakan satu daripada dewan kuliah di masjid ini.

“Bagi memastikan keselamatan anak-anak ketika ibu bapa menunaikan solat, kakitangan masjid dan sukarelawan akan bertugas secara bergilir selama dua jam bermula pukul 8.30 malam,” katanya baru-baru ini

Mengulas lanjut Abd. Farid berkata, sepanjang tujuh tahun beroperasi, usaha menyediakan ruang khas itu mendapat sambutan amat menggalakkan daripada ibu bapa.

Menurutnya, mereka bukan sahaja menyumbang bahan bacaan dan permainan, malah turut menawarkan diri untuk membantu menjaga kanak-kanak.

“Sejak diwujudkan, kita menerima banyak sumbangan buku-buku dan barang mainan daripada pelbagai pihak termasuk individu dan pertubuhan selain ada yang menyumbangkan khidmat nasihat dan pandangan.

“Terbaharu, kita menerima sumbangan papan sensori daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak yang sesuai digunakan kanak-kanak berkeperluan khas,” katanya.

Tambah beliau, ruang khas yang disediakan untuk kanak-kanak berusia antara tiga hingga tujuh tahun itu mampu menempatkan kira-kira 70 orang pada satu-satu masa.

Menurutnya, setiap kanak-kanak yang berada di ruangan tersebut akan didaftarkan terlebih dahulu bagi memastikan aspek keselamatan mereka sentiasa terjamin.

“Biasanya kita menerima antara 30 hingga 50 orang setiap malam sepanjang tarawih dan kanak-kanak yang ditempatkan di sini berusia antara tiga hingga tujuh tahun.

“Alhamdulillah, dengan inisiatif ini, ia bukan sahaja membantu jemaah dapat menunaikan solat dengan tenang dan khusyuk, malah memupuk semangat cintakan masjid dalam kalangan anak-anak sejak dari usia muda,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN