Sebanyak 8,000 bungkusan bubur lambuk diagihkan Yayasan Ar Riduwan (YAR) kepada petugas barisan hadapan sepanjang Ramadan ini.
Ketua Pegawai Operasinya, Lokmanulhakim Muhamad Riduwan berkata, inisiatif di bawah Program Sumbangan Bubur Lambuk itu dilaksanakan dalam dua fasa bermula 22 Februari sehingga 2 Mac lalu dengan melibatkan petugas kesihatan, pesakit dan waris yang berada di sekitar hospital.
Selain itu katanya, sebanyak 1,000 pek bubur lambuk diagihkan di setiap hospital termasuk balai polis terpilih sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang berkhidmat tanpa mengira masa serta sebagai sokongan moral kepada mereka yang sedang diuji dengan kesakitan.
“Penganjuran program ini adalah untuk berkongsi rezeki serta menyemarakkan semangat kebersamaan sepanjang bulan Ramadan bersama komuniti setempat terutama melibatkan petugas barisan hadapan seperti kakitangan hospital dan polis.
“Kita percaya tanggungjawab sosial korporat (CSR) bukan sekadar sumbangan tetapi usaha berpanjangan dalam membina hubungan yang kukuh dan memberi impak positif kepada masyarakat setempat,” katanya.
Antara enam hospital yang terlibat dalam program itu adalah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang, Hospital Kajang, Hospital Sungai Buloh, Hospital, Selayang selain Balai Polis Wangsa Maju dan Balai Polis Melawati yang disokong 12 kakitangan sukarelawan yayasan.
YAR yang berdaftar Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di Jabatan Perdana Menteri mula beroperasi tahun lalu dengan misi memberi bantuan kepada kluster kesihatan, komuniti dan pendidikan.
Dalam pada itu, Muhamad Riduwan berkata, YAR berhasrat untuk memperluaskan program itu ke negeri lain pada masa depan agar lebih ramai masyarakat dapat menerima manfaat daripada inisiatif yang dijalankan.










