Tompokan kuning pada mata petanda kolesterol tinggi

Tompokan kuning pada mata petanda kolesterol tinggi

XANTHELASMA sering dianggap sebagai masalah kosmetik kerana tidak menyakitkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

XANTHELASMA sering dianggap sebagai masalah kosmetik kerana kemunculannya yang tidak menyakitkan dan tidak mengganggu fungsi penglihatan.

Tompokan atau benjolan kecil berwarna kuning keputihan ini lazimnya muncul di sekitar kelopak mata, menyebabkan ramai mengabaikannya atau menganggap ia tidak berbahaya.

Namun hakikatnya, xanthelasma bukan sekadar isu penampilan tetapi boleh menjadi petanda awal kepada masalah kesihatan dalaman, khususnya yang berkaitan dengan paras kolesterol dan risiko penyakit kardiovaskular sekiranya tidak diberi perhatian.

Pakar perunding dermatologi dan pakar bedah dermatologi, Dr. How Kang Nien berkata, xanthelasma terbentuk akibat pengumpulan lemak atau kolesterol di bawah lapisan kulit.

Hal ini menyebabkan benjolan berwarna kekuningan kelihatan jelas, terutamanya di kawasan kelopak mata yang mempunyai kulit lebih nipis.

Keadaan ini berbeza daripada jerawat atau ketumbuhan kulit lain kerana warnanya yang khas serta teksturnya yang tidak meradang, tidak sakit dan tidak gatal.

“Dalam kebanyakan kes, pesakit hanya menyedari kehadirannya apabila melihat perubahan fizikal pada kelopak mata,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Walaupun sering dikaitkan dengan kolesterol tinggi, sekitar 50 peratus daripada individu yang mengalami xanthelasma didapati mempunyai paras kolesterol normal.

Faktor genetik juga dipercayai memainkan peranan, menjadikan xanthelasma sebagai penanda risiko, bukannya diagnosis mutlak.

Tiada tanda awal

Berbeza dengan penyakit kulit lain, xanthelasma tidak mempunyai tanda awal yang ketara.

Ia muncul secara perlahan tanpa sebarang simptom seperti sakit atau kegatalan, menyebabkan ramai pesakit hanya mendapatkan rawatan apabila saiznya semakin jelas atau menjejaskan keyakinan diri.

Dr. Kang Nien berkata, saiz xanthelasma boleh membesar dari beberapa milimeter sehingga beberapa sentimeter, namun kebiasaannya tidak berkembang secara agresif.

Walaupun tidak berbahaya secara langsung, pertumbuhannya boleh menjadi ketara dari sudut estetika.

Tanda masalah kesihatan

Menurutnya, xanthelasma sering dianggap sebagai penanda awal risiko kolesterol tinggi, yang boleh membawa kepada penyakit jantung, darah tinggi dan obesiti jika tidak dikawal.

Oleh itu, individu yang mengalami xanthelasma disarankan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh, termasuk ujian darah untuk menilai paras kolesterol, tekanan darah dan paras gula dalam darah.

“Xanthelasma bukan sekadar masalah kulit, tetapi isyarat tubuh bahawa seseorang perlu lebih peka terhadap tahap kesihatan keseluruhan,” katanya.

Rawatan dan risiko berulang

Rawatan xanthelasma tidak bermula dengan prosedur kosmetik semata-mata, sebaliknya perlu didahului dengan kawalan gaya hidup seperti pemakanan sihat, senaman berkala dan pengurusan berat badan.

Antara pilihan rawatan yang ditawarkan termasuk rawatan asid (chemical cautery), laser, pembekuan menggunakan nitrogen cecair, elektrokauteri serta pembedahan kecil bagi kes yang lebih besar.

Namun begitu, xanthelasma tidak akan hilang dengan sendiri dan berisiko tinggi untuk berulang sekiranya punca asas seperti kolesterol tinggi tidak dikawal, walaupun rawatan telah berjaya dilakukan.

Semua kaedah rawatan melibatkan kecederaan terkawal pada kulit dan berisiko menyebabkan pigmentasi, parut atau perubahan bentuk kelopak mata jika tidak dilakukan dengan betul.

“Risiko ini lebih tinggi kerana kawasan rawatan terletak sangat dekat dengan mata,” katanya.

Penggunaan rawatan sampingan, produk tanpa preskripsi atau prosedur oleh individu tidak bertauliah boleh mengundang komplikasi serius termasuk kecederaan mata.

Menurutnya, xanthelasma tidak boleh dianggap remeh kerana sebarang rawatan memerlukan pemeriksaan dan panduan daripada doktor bertauliah.

“Kelopak mata adalah kawasan sensitif. Rawatan yang tidak sesuai boleh menyebabkan jangkitan, parut kekal atau masalah fungsi mata.

“Jika ingin mendapatkan rawatan, pastikan ia dilakukan oleh doktor bertauliah selepas pemeriksaan kesihatan yang menyeluruh,” katanya.

Kesedaran awal, penjagaan kesihatan dan gaya hidup sihat bukan sahaja membantu mengurangkan risiko xanthelasma berulang, malah melindungi individu daripada komplikasi kesihatan yang lebih serius pada masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN