Kanak-kanak yang mempunyai penyakit jantung tidak semestinya perlu dihadkan pergerakan sepenuhnya.
Malah, majoriti daripada mereka digalakkan untuk kekal aktif kerana aktiviti fizikal memberi manfaat besar kepada kesihatan fizikal, emosi dan keyakinan diri.
Pensyarah kanan dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Nurul Hidayah Amir berkata, tidak semua kanak-kanak dengan penyakit jantung berada dalam kategori yang sama, namun kebanyakan mereka boleh dan digalakkan untuk melakukan aktiviti fizikal.

“Penyakit jantung kongenital ialah masalah struktur jantung yang wujud sejak lahir dan di Malaysia dianggarkan sekitar empat hingga lima bayi daripada setiap 1,000 kelahiran dilahirkan dengan penyakit jantung kongenital,” katanya.
Dengan kemajuan teknologi perubatan, rawatan dan pembedahan, lebih 90 peratus kanak-kanak ini kini hidup hingga dewasa.
Bagi mereka yang jantungnya telah diperbetulkan atau berada dalam keadaan stabil, aktiviti seperti bermain, berlari, berbasikal atau berenang biasanya selamat dan sangat penting untuk kesihatan jangka panjang, meningkatkan kecergasan, keyakinan diri dan kualiti hidup.
Namun, bagi kanak-kanak yang masih mempunyai masalah jantung atau komplikasi tertentu, jenis dan tahap aktiviti perlu disesuaikan mengikut kemampuan individu.
Penyesuaian ini dibuat berdasarkan nasihat pakar kardiologi, pegawai fisiologi senaman dan pasukan perubatan.
Langkah keselamatan sebelum bersukan
Dr. Nurul Hidayah berkata, langkah keselamatan paling utama sebelum membenarkan kanak-kanak bersenam ialah penilaian awal yang tepat, bukannya membuat andaian atau mengelakkan aktiviti fizikal secara menyeluruh.
“Satu daripada penilaian yang sering digunakan ialah Ujian Kardiopulmonari Senaman atau Cardiopulmonary Exercise Test (CPET) bagi melihat bagaimana jantung, sistem pernafasan dan tubuh kanak-kanak bertindak balas semasa aktiviti fizikal,” katanya.

Maklumat daripada ujian itu membantu menentukan had selamat secara individu dan memberi keyakinan kepada ibu bapa mengenai keupayaan sebenar anak mereka.
Selain itu, ibu bapa perlu peka terhadap tanda amaran, seperti pening, sakit dada, sesak nafas yang luar biasa atau kadar pemulihan yang terlalu lambat selepas aktiviti.
Katanya, keselamatan bukan bermaksud menghalang kanak-kanak daripada bersenam.
Sebaliknya, memastikan aktiviti dimulakan dengan penilaian, panduan profesional dan pemantauan yang betul supaya kanak-kanak boleh bergerak dengan lebih yakin dan selamat.
Pemantauan dan jenis aktiviti
Pemantauan semasa aktiviti fizikal tidak semestinya bergantung pada alat atau nombor semata-mata.
Oleh itu, paling penting ialah melihat bagaimana kanak-kanak bertindak balas semasa dan selepas aktiviti, termasuk kadar pernafasan, warna kulit, tahap keletihan dan tingkah laku.
Ujian bercakap (talk test) boleh digunakan sebagai panduan mudah.
“Jika kanak-kanak masih boleh bercakap dalam ayat pendek semasa bermain atau bersenam, ini biasanya menunjukkan intensiti berada pada tahap sederhana dan selamat. Jika mereka tidak mampu bercakap atau kelihatan tertekan, aktiviti perlu diperlahankan atau dihentikan sementara,” jelasnya.
Dari segi jenis aktiviti, yang bersifat dinamik dan semula jadi seperti bermain di taman permainan, berjalan, berlari ringan, berbasikal dan berenang adalah yang paling selamat dan sesuai kerana intensiti lebih mudah dikawal.
Aktiviti yang memerlukan tekanan statik tinggi atau meneran berterusan, seperti sukan angkat berat kompetitif atau plank, perlu pertimbangan dan penyesuaian individu.
“Ini tidak bermaksud kanak-kanak perlu dikecualikan sepenuhnya daripada aktiviti atau sukan sekolah kerana banyak aktiviti lain boleh dilakukan dengan penyesuaian intensiti, tempoh dan kekerapan,” katanya.
Motivasi, kekerapan dan rehabilitasi
Tiada satu jawapan sama untuk semua kanak-kanak mengenai kekerapan dan tempoh aktiviti fizikal, kerana ia bergantung kepada keadaan jantung, tahap kecergasan dan tindak balas semasa aktiviti.
Aktiviti boleh dimulakan secara berperingkat dan dibahagikan kepada tempoh pendek sepanjang hari mengikut keupayaan individu.
“Jika pernafasan dan degupan jantung kembali hampir normal dalam beberapa minit dan kanak-kanak masih bertenaga untuk aktiviti harian, ini menandakan tahap aktiviti tersebut biasanya selamat,” jelasnya.
Motivasi kanak-kanak perlu difokuskan kepada apa yang mereka boleh lakukan, bukan apa yang perlu dielakkan.
Aktiviti diperkenalkan sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan normal, dengan ruang untuk mereka mengawal rentak sendiri.
Beliau berkata, strategi utama ialah penyesuaian, bukan pengecualian.
Aktiviti boleh diubah suai mengikut kemampuan, intensiti, tempoh dan minat kanak-kanak supaya mereka lebih bermotivasi.
Program rehabilitasi jantung khusus terbukti dalam meningkatkan kecergasan, keyakinan diri dan membantu kanak-kanak kembali aktif dengan selamat dan yakin.
“Semasa tempoh pemulihan selepas pembedahan jantung atau prosedur intervensi, senaman perlu diperkenalkan secara berperingkat dengan fokus kepada pergerakan ringan terlebih dahulu sebelum intensiti dan tempoh ditingkatkan mengikut nasihat pasukan kesihatan dan tindak balas individu kanak-kanak,” katanya.










