LELAKI bergelar suri rumah. Frasa ini sahaja sudah cukup mengundang pelbagai reaksi. Ada yang angguk biasa, ada yang senyum sinis dan ada juga yang terus menggeleng kepala.
Dalam masyarakat yang sudah lama dibentuk dengan acuan tradisional, gambaran lelaki berada di rumah sepenuh masa masih terasa janggal.
Namun, realiti hari ini sudah berubah, menyaksikan struktur keluarga juga berubah. Apa yang dahulu dianggap luar biasa, kini perlahan-lahan menjadi pilihan yang semakin kelihatan praktikal.
Selama ini, istilah suri rumah begitu sinonim dengan wanita. Seolah-olah ia satu identiti tetap, bukan sekadar peranan. Sedangkan pada asasnya, suri rumah bermaksud individu yang mengurus rumah tangga dan menjaga anak.
Pakar Psikologi dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd Saad berkata, tiada masalah sekiranya golongan lelaki bergelar suri rumah kerana pada asasnya ia merujuk kepada peranan mengurus rumah tangga dan penjagaan anak, bukan semata-mata identiti wanita.
“Dalam konteks hari ini, pembahagian peranan dalam keluarga sepatutnya fleksibel, bergantung kepada kemampuan, situasi kewangan, kesihatan dan keperluan anak.
“Jika seorang lelaki memilih untuk menjadi penjaga rumah sepenuh masa, itu bukan sesuatu yang salah, malah ia boleh dianggap satu bentuk tanggungjawab dan pengorbanan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, dalam sesetengah keluarga, isteri memiliki kerjaya yang lebih stabil atau pendapatan yang lebih tinggi. Ada juga keadaan suami secara semula jadi lebih cenderung dan lebih sesuai mengurus anak-anak serta hal ehwal rumah tangga.
Sehubungan itu, keputusan lelaki untuk menjadi suri rumah bukanlah sesuatu yang ganjil, sebaliknya satu pilihan rasional dan matang demi kesejahteraan keluarga.
TIDAK BOLEH BUANG STIGMA
Namun, Dr. Fauziah mengakui stigma masih wujud. Lelaki yang memilih untuk menjaga rumah sepenuh masa kadang-kadang dilabel sebagai tidak bertanggungjawab, malah ada yang berani menggunakan istilah ‘dayus’.
Katanya, label ini lahir daripada pemikiran lama yang menyamakan lelaki dengan pencari nafkah mutlak dan simbol kuasa keluarga.
“Hakikatnya, tanggungjawab seorang lelaki tidak semestinya terhad kepada membawa pulang gaji. Membesarkan anak, memastikan rumah tangga stabil dan hadir secara emosi dalam keluarga juga adalah tanggungjawab besar. Bezanya cuma pada bentuk peranan, bukan pada nilainya.
“Ironinya, tugas mengurus rumah dan anak bukanlah kerja ringan. Ia menuntut kesabaran, disiplin, kecekapan masa dan emosi yang stabil. Mereka yang pernah menjaga anak kecil sepanjang hari pasti tahu betapa mencabarnya rutin tersebut.
“Bagi sesetengah isteri, mempunyai suami sebagai suri rumah adalah satu kelegaan. Anak terjaga, rutin lebih teratur dan mereka dapat fokus membina kerjaya tanpa rasa bersalah,” katanya.
HUBUNGAN LEBIH SEIMBANG
Dr Fauziah menyatakan, hubungan suami isteri juga boleh menjadi lebih seimbang apabila masing-masing memahami peranan yang dimainkan.
Namun katanya, tidak semua menerima situasi ini dengan mudah. Ada isteri yang mungkin berasa tertekan kerana memikul beban kewangan sepenuhnya. Ada juga yang berdepan sindiran masyarakat atau keluarga yang mempertikaikan keputusan mereka.
“Di sinilah komunikasi menjadi kunci. Tanpa persefahaman yang jelas, perubahan peranan boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan konflik tersembunyi. Perbincangan tentang kewangan, perancangan masa depan dan jangkaan masing-masing perlu dilakukan secara terbuka.
“Malaysia sebagai sebuah masyarakat yang masih kuat berpegang pada norma tradisional mungkin belum sepenuhnya bersedia menerima lelaki sebagai suri rumah sepenuh masa. Gambaran lelaki bekerja dan wanita mengurus rumah masih tertanam kuat dalam pemikiran ramai,” katanya.
CABARAN EKONOMI
Namun tekanan ekonomi dan kos sara hidup yang semakin meningkat memaksa ramai pasangan berfikir secara praktikal. Realiti hari ini menuntut fleksibiliti, bukan ego. Apa yang penting ialah kestabilan keluarga, bukan persepsi orang luar.
Dr Fauziah berkata, stigma terhadap lelaki suri rumah banyak berpunca daripada cara kita menilai nilai seorang lelaki. Status pekerjaan dan jumlah pendapatan sering dijadikan ukuran utama.
Ujar beliau, nilai seorang lelaki juga terletak pada kehadiran emosi, kemampuan membimbing anak dan usaha memastikan rumah tangga aman. Kepimpinan dalam keluarga bukan hanya tentang siapa yang membayar bil, tetapi siapa yang memikul tanggungjawab dengan konsisten.
Peranan ini juga mencabar definisi maskuliniti tradisional. Dahulu, lelaki dikaitkan dengan dominasi, kekuatan fizikal dan kuasa ekonomi. Hari ini, maskuliniti yang lebih matang melihat lelaki sebagai individu yang penyayang, stabil emosi dan terlibat aktif dalam kehidupan anak.
ASPEK JANGKA PANJANG
Walaupun begitu, aspek kewangan jangka panjang tidak boleh dipandang ringan. Ketiadaan caruman KWSP, perlindungan persaraan dan jurang pengalaman kerja boleh menjadi risiko besar jika tidak dirancang dengan teliti.
Dr. Fauziah berkata, pasangan perlu memikirkan tentang simpanan bersama, insurans perlindungan dan caruman sukarela sebagai langkah keselamatan. Tanpa perancangan, keputusan yang baik hari ini boleh menjadi beban pada masa depan.
Katanya, perubahan kuasa ekonomi dalam rumah tangga juga boleh mengubah dinamik hubungan. Jika tidak diurus dengan matang, ia boleh menimbulkan rasa rendah diri pada suami atau rasa dominasi pada isteri.
“Jika kedua-duanya saling menghormati dan menghargai peranan masing-masing, hubungan boleh menjadi lebih kukuh. Apabila tiada perbandingan dan tiada ungkitan, pasangan lebih mudah bekerjasama sebagai satu pasukan.
“Dari sudut anak-anak, kehadiran bapa di rumah secara konsisten mampu memberi kesan yang positif iaitu hubungan jadi lebih rapat, emosi lebih stabil, dan mereka belajar tanggungjawab tidak terikat pada jantina.
“Namun kesan itu boleh berubah jika rumah tangga tegang atau bapa tertekan dengan peranannya,” katanya.
Isu lelaki sebagai suri rumah bukan soal lemah atau kuat, tetapi soal pembahagian tanggungjawab yang dipersetujui bersama mengikut realiti setiap keluarga.










