RAMADAN selalunya datang dengan cara yang lembut. Ia tidak mengetuk pintu dengan kuat, tetapi meresap perlahan ke dalam rutin harian kita. Bau kopi pagi diganti dengan doa subuh yang lebih tenang.
Langkah kita jadi sedikit perlahan, hati pula mula belajar mendengar. Dalam suasana inilah, cara kita berpakaian juga berubah. Bukan sekadar menutup tubuh, tetapi menyelaraskan diri dengan jiwa.
Di Malaysia, persiapan Ramadan untuk pakaian sopan bukan tentang tampil lebih simple, tetapi tentang memilih helaian yang memahami diri sebagai wanita yang sedang memperlahankan dunia.
Koleksi pilihan saya untuk minggu ini adalah dari Raeesa, jenama Malaysia yang diasaskan dengan niat untuk memartabatkan batik tempatan melalui pendekatan kontemporari.
Sepanjang 14 tahun perjalanannya, Raeesa membina identiti berteraskan ketelitian rekaan, siluet yang kemas dan penceritaan yang bermakna.
Setiap helaian bukan sekadar cantik dipakai, tetapi membawa naratif tentang warisan, ketelitian tangan dan rasa hormat terhadap tubuh wanita.

Koleksi Ramadan kali ini pula menampilkan rekaan yang mengalir, elegan dan praktikal, sesuai untuk wanita moden yang menghargai keseimbangan antara tradisi dan gaya hidup semasa.
Menariknya tentang koleksi kali ini, ia bergerak bersama tubuh, bukan melawannya. Salah satu helaian yang benar-benar menangkap perasaan ini ialah dress nalia in citrus.
Warna chartreuse yang segar diimbangi dengan sentuhan blush, ivory dan sage, menjadikannya hidup tanpa terlalu loud.
Siluetnya yang mengalir terasa ringan, seolah-olah mengingatkan kita bahawa kelembutan juga satu bentuk kekuatan, satu nilai yang sangat dekat dengan roh Ramadan itu sendiri.
Tips saya, dress nalia cantik digayakan dengan hijab polos dalam tona krim, sage lembut atau nude. Pilihlah fabrik matte seperti sifon atau crepe supaya keseluruhan penampilan kekal tenang.
Kasut pula tidak perlu tinggi menjulang, cukup dengan mules bertutup atau sandal bertali halus. Biarkan pakaian ini ‘bernafas’. Sama seperti Ramadan, ia tidak perlu dipercepatkan. Ada masa untuk berjalan perlahan dan itu tidak mengapa.
Jika nalia terasa seperti pagi Ramadan yang cerah, dress zahra pula ibarat waktu senja. Siluetnya anggun, dihiasi motif Poppy 2.0 yang menjadi signatur Raeesa. Diperbuat daripada premium crepe silk, ia jatuh cantik dengan struktur lembut yang menyanjung bentuk tubuh tanpa mencengkam.

Inilah jenis pakaian yang membuatkan anda berdiri sedikit lebih tegak, bukan kerana ingin dilihat, tetapi kerana rasa hormat terhadap diri sendiri.
Untuk menggayakan dress Zahra, pilihlah hijab dalam warna dusty rose, soft olive atau mocha lembut. Tambahkan aksesori minimal seperti gelang emas nipis atau anting kecil. Rekaan ini sesuai untuk berbuka bersama keluarga.
Kemudian hadir dress wild flowers elisa, diperbuat daripada sutera satin yang bercahaya lembut, dengan rekaan reben di bahagian belakang yang manis dan penuh makna. Ia feminin tanpa menjadi rapuh.
Kilauannya menangkap cahaya dengan cara sopan, mengingatkan kita bahawa bersinar tidak semestinya berkilau keterlaluan.
Ramadan mengajar kita perkara yang sama tentang berpakaian dan kehidupan. Pilih yang perlu, lepaskan yang berlebihan. Apabila pakaian memberi ruang untuk kita bernafas, jiwa juga akan ikut lapang.










