Kakatoo hidang cita rasa nyonya, masakan kampung - Utusan Malaysia

Kakatoo hidang cita rasa nyonya, masakan kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sajian tradisi terus menjadi pilihan utama sepanjang Ramadan, namun Restoran Kakatoo di Quill City Mall, Kuala Lumpur tampil dengan kelainan tersendiri menerusi gabungan masakan peranakan nyonya dan hidangan asli kampung yang sarat rasa nostalgia.

Presiden persatuan profesional kulinari malaysia (PCA), Chef Bob Adnin berkata, antara menu signature paling unik yang ditampilkan pada buffet Ramadan tahun ini ialah ayam pongteh dan rendang tok nyonya.

Kedua-dua hidangan itu dimasak berasaskan resipi tradisional dengan penggunaan rempah ratus yang ringan serta teknik masakan teliti, sekali gus menghasilkan rasa yang berbeza daripada kebiasaan.

“Tahun ini, Kakatoo menggabungkan rasa asli peranakan nyonya dengan masakan kampung bagi memberi pengalaman berbuka yang dekat di hati pelanggan,” katanya.

Antara menu yang paling digemari dan sering menjadi pilihan pelanggan termasuk curry laksa nyonya, rendang nyonya dan ayam panggang berempah.

Keistimewaan hidangan ini terletak pada rasa yang seimbang dan mudah dinikmati oleh semua peringkat umur, selain menggunakan rempah ratus asli yang senang dihadam.

Bukan sekadar hidangan utama, bufet ramadan Kakatoo turut dimeriahkan dengan pelbagai kuih-muih melayu dan peranakan nyonya seperti kuih angku, pulut tai tai, kuih kosui serta aneka kuih baba nyonya yang lain.

Menariknya, Kakatoo turut menyediakan ais krim Malaysia dengan perisa klasik seperti asam boi, milo dan jagung yang mengimbau kenangan zaman kanak-kanak, selain jajan tradisional untuk si kecil.

Antara lima menu terbaik yang disarankan untuk dicuba pada bufet Ramadan Kakatoo ialah laksa kari nyonya, ayam pongteh, rendang tok nyonya, kuih angku dan ayam panggang berempah.

“Setiap menu ini dimasak dengan penuh teliti menggunakan rempah ratus asli serta resipi turun-temurun,” kata Bob Adnin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN