Stretch mark atau tanda regangan sering menjadi kebimbangan ramai, khususnya wanita selepas hamil atau individu yang mengalami perubahan berat badan secara mendadak.
Walaupun tidak berbahaya, kehadirannya boleh menjejaskan keyakinan diri.
Apakah sebenarnya regangan kulit dari sudut perubatan dan adakah ia boleh dihilangkan sepenuhnya?
Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Lovina, Mejar (B) Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, dari sudut sains stretch mark dikenali sebagai striae, iaitu parut halus yang terbentuk apabila kulit meregang terlalu cepat.

“Regangan kulit ini sebenarnya parut. Ia berlaku pada lapisan kedua kulit yang mengandungi kolagen dan elastin. Apabila kulit meregang secara mendadak, struktur kolagen menjadi lemah dan terbentuklah parut halus,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada peringkat awal, regangan kulit kelihatan kemerahan atau ungu kerana masih mempunyai salur darah aktif.
Namun, selepas beberapa bulan, warnanya akan bertukar menjadi putih apabila parut tersebut matang.
“Ia tidak hilang sepenuhnya. Cuma akan pudar dari segi warna. Kalau pegang, kita masih boleh rasa tekstur kulit yang sedikit berlekuk,” jelasnya.
Punca regangan kulit
Antara punca utama keadaan itu ialah pertambahan berat badan secara mendadak, kehamilan dan pembesaran otot akibat senaman intensif.
“Apabila kulit meregang terlalu cepat, ia tidak sempat menyesuaikan diri. Itu yang menyebabkan kolagen ‘pecah’ dari dalam,” katanya.
Perubahan hormon juga memainkan peranan penting. Hormon tertentu boleh melemahkan kolagen dalam dermis, menjadikan kulit lebih mudah rosak.
Faktor genetik turut mempengaruhi keadaan ini, di mana ada wanita yang melalui beberapa kali kehamilan tanpa mengalami regangan kulit, tetapi ada juga yang mudah mendapatnya walaupun perubahan fizikal mereka tidak terlalu ketara.
Ujarnya, penggunaan krim steroid tanpa pengawasan doktor dalam tempoh panjang juga antara penyebab utama.
“Krim steroid boleh menipiskan kulit. Bila kulit nipis, ia lebih mudah rosak dan membentuk regangan kulit,” katanya.
Boleh hilang atau tidak?
Menurut Dr. Hamidah, masalah itu tidak boleh dihapuskan sepenuhnya, tetapi boleh diperbaiki melalui rawatan yang sesuai.
“Rawatan lebih berkesan jika dilakukan ketika regangan kulit masih baru dan berwarna merah atau ungu. Responsnya lebih baik berbanding parut yang sudah lama,” katanya.
Antara rawatan yang ada termasuk laser vaskular untuk mengurangkan kemerahan, penggunaan krim retinoid (tidak sesuai untuk ibu mengandung dan menyusu), serta rawatan microneedling bagi merangsang penghasilan kolagen baharu.
“Terdapat juga kombinasi microneedling bersama PRP atau radiofrequency untuk menebalkan semula lapisan kulit. Semua rawatan ini bertujuan merangsang kolagen supaya parut menjadi kurang ketara,” jelasnya.
Bagi regangan kulit lama yang sudah matang, rawatan masih boleh dilakukan namun memerlukan lebih banyak sesi dan hasilnya sekadar memudarkan parut yang terbentuk.
Minyak dan suplemen kolagen
Menurutnya, ramai memilih minyak seperti bio-oil sebagai satu daripada alternatif rawatan, namun ia sebenarnya lebih sesuai digunakan sebagai langkah pencegahan berbanding untuk merawat regangan kulit yang sudah terbentuk.
“Minyak membantu melembapkan kulit. Bila kulit lembap, risiko kerosakan kolagen berkurang. Tetapi jika stretch mark sudah lama, minyak sahaja tidak mencukupi,” katanya.
Berkaitan dengan suplemen kolagen, keberkesanannya bergantung pada jenis kolagen yang digunakan serta sumber asalnya.
“Kolagen yang diminum akan dihadam dalam sistem badan. Tidak semestinya ia terus sampai ke kawasan parut. Tambahan pula, banyak produk di pasaran menggunakan sumber yang berbeza daripada kolagen manusia,” katanya.
Beliau menegaskan pemakanan seimbang sebenarnya sudah memadai untuk menyokong pembentukan kolagen dalam badan.
Mencegah lebih baik
Mengulas tentang langkah pencegahan, beliau berkata, yang paling utama ialah mengawal berat badan agar tidak meningkat secara mendadak.
“Jangan bagi kulit meregang terlalu cepat. Pastikan berat badan terkawal dan gunakan pelembap secara konsisten,” katanya.
Regangan kulit lazimnya muncul di perut, pinggul, paha, belakang dan juga payudara sekiranya berlaku pembesaran saiz secara mendadak.
“Regangan kulit bukanlah penyakit berbahaya, sebaliknya merupakan isu kosmetik yang boleh menjejaskan keyakinan diri. Mulakan rawatan awal dan secara konsisten, kerana tiada jalan pintas untuk menghilangkannya,” katanya.
Regangan kulit mungkin tidak dapat dielakkan sepenuhnya, namun dengan penjagaan kulit yang betul, gaya hidup sihat dan rawatan profesional yang sesuai, penampilannya boleh diminimumkan.










