Daripada saiz bola ping pong, tumor payudara membesar 10 kilogram

Daripada saiz bola ping pong, tumor payudara membesar 10 kilogram

Keadaan tumor seberat 10 kilogram dengan diameter 46 sentimeter pada payudara kiri gadis Timor-Leste ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA Ogos 2023, benjolan kecil seperti saiz bola ping pong dikesan pada payudara kiri gadis Timor-Leste berusia 27 tahun ini.

Namun, Filomena Mauranik De Jesus tidak segera ke hospital, sebaliknya, berikhtiar secara tradisional dengan meletakkan campuran herba pada bahagian terlibat.

Harapannya agar benjolan itu akan mengecut dan hilang dengan sendirinya.

Apatah lagi di peringkat awal, tiada rasa sakit dialami, sekali gus membuatnya beranggapan ia sekadar masalah biasa tanpa memerlukan pemeriksaan lanjut.

Sangkaannya meleset kerana dari hari ke hari, benjolan itu semakin membesar lalu memaksanya ke hospital, lapan bulan kemudian.

Selepas menjalani ujian darah dan pemeriksaan klinikal, doktor memaklumkan ketumbuhan itu adalah tumor dan pembedahan perlu dilakukan bagi mengelak komplikasi lebih serius.

“Akibat takut dibedah, saya menangguhkan rawatan itu dan kembali memilih kaedah tradisional.

“Kali ini, saya mengamalkan minum air rebusan herba pula dan rutin tersebut diteruskan secara konsisten hampir dua tahun,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sepanjang tempoh itu, perubahan yang diharapkan tetap tidak berlaku, malah dua lagi benjolan baharu muncul di payudara sama masing-masing pada Ogos dan September 2025.

Saiz tumor yang semakin membesar menjejaskan keadaan fizikal dan emosinya, hingga menyebabkan penjawat awam ini terpaksa mengambil cuti panjang.

“Benjolan membesar dengan cepat dalam tempoh tiga bulan bermula September dan sejak itu, saya hanya terbaring di katil.

“Pergerakan saya terbatas kerana menanggung payudara seberat 10 kilogram, sedangkan berat badan cuma 42 kilogram.

“Ketika itu payudara kerap berdenyut, panas dan luka, jadi saya perlu meletakkan tuala basah hampir sepanjang masa untuk mengurangkan kesakitan,” katanya.

Disebabkan penyakit itu, ada yang menyangkanya hamil kerana fizikalnya kelihatan seperti wanita sarat mengandung.

Akhirnya, pada November, Filomena nekad kembali ke hospital susulan keadaannya yang bertambah kritikal dan doktor di Timor-Leste kemudian mengatur pembedahan dijalankan di Pusat Perubatan Prince Court.

Dengan ditemani kakak iparnya, gadis ini menjejakkan kaki ke Malaysia akhir tahun lalu bagi menjalani pembedahan membuang tumor phyllodes jenis malignan itu.

Prosedur kompleks selama empat jam itu diketuai oleh pasukan multidisiplin yang terdiri daripada Pakar Perunding Pembedahan Payudara dan Onkoplastik, Dr. Melissa Tan bersama Pakar

Perunding Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Dr. Kenneth Kok serta Pakar Perunding Hematologi, Dr. Muhd. Zanapiah Zakaria.

Tumor phyllodes

Tumor payudara ini jarang berlaku dan hanya mewakili kira-kira satu peratus daripada semua kes tumor payudara dalam kalangan orang dewasa di peringkat global.

Malah, statistik turut mendapati kurang daripada 30 kes remaja dan kanak-kanak dengan tumor itu pernah dilaporkan di seluruh dunia.

Mengulas lanjut, Dr. Melissa berkata, tumor phyllodes terdiri daripada tiga jenis iaitu benign (jinak), borderline dan malignan (ganas).

Katanya, pembedahan kekal sebagai rawatan utama untuk tumor phyllodes.

Kongsinya lagi, dalam kes Filomena, imbasan prapembedahan dan pemeriksaan berperingkat menunjukkan tiada bukti penyakit metastatik, sekali gus membolehkan pasukan multidisiplin meneruskan rawatan pembedahan definitif.

“Tumor tersebut sudah wujud hampir dua tahun tetapi membesar dengan cepat dalam beberapa bulan terakhir hingga memberi kesan ketara terhadap mobiliti dan kehidupan harian pesakit.

“Disebabkan saiznya itu, pasukan pembedahan melakukan mastektomi bagi memastikan tumor tersebut dikeluarkan sepenuhnya,” katanya.

Katanya, tumor seberat 10 kilogram dengan diameter 46 sentimeter itu berpotensi menjadi salah satu yang terbesar, setakat diketahui.

Golongan berisiko

Semua wanita, termasuk kanak-kanak dan remaja, berpotensi terdedah kepada tumor phyllodes.

Menurut Dr. Melissa, sehingga kini pesakit termuda yang pernah dirawatnya berumur 11 tahun.

Ini sekali gus menunjukkan walaupun jarang, ia boleh menyerang pada usia yang sangat muda.

Selain Filomena, dua lagi pesakitnya sebelum ini berusia 42 dan 72 tahun.

“Pesakit tertua itu mempunyai benjolan selama 20 tahun tetapi dibiarkan tanpa rawatan sehinggalah saiznya makin membesar.

“Hal itu kerana tumor phyllodes sama seperti kanser payudara, yang tidak menunjukkan sebarang simptom sakit di peringkat awal,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, punca sebenar penyakit ini masih belum diketahui, tetapi faktor genetik dan hormon dipercayai menyumbang kepada pertumbuhannya.

Risiko kematian

Jika pembedahan tidak dilakukan segera, pesakit berisiko mengalami kemusnahan tisu yang teruk, pendarahan, jangkitan dan penyebaran tumor (metastasis).

Dalam kes serius, keadaan ini juga boleh membawa kepada kematian.

Sehubungan itu, Dr. Melissa menekankan kepentingan pengesanan awal agar rawatan dapat dilakukan tepat pada masanya.

Beliau turut menasihatkan pesakit supaya peka terhadap sebarang perubahan pada payudara dan benjolan yang membesar dengan cepat perlu dirujuk segera kepada pakar untuk penilaian lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN