Sekali imbas, mungkin tiada siapa menyangka rekaan tudung dan selendang batik ini diinspirasikan oleh budaya dan pengaruh Turkiye.
Kreativiti Liza Creations menjadikan helaian buatan tangan itu anggun, eksklusif dan memikat pandangan.
Pengasasnya, Rosliza Muhammad berkata, idea untuk menghasilkan koleksi kapsul itu tercetus hasil kunjungannya ke negara berkenaan akhir tahun lalu.
Dia yang berpeluang mengikuti pembelajaran imersif selama tiga minggu di sana merupakan antara 10 artisan tempatan dalam program perintis Yayasan Hasanah, Khazanah ACE² Heritage Textile Fellowship.
“Saya terpesona dengan keunikan corak tulip dan geometri kilim pada permaidani, lantas memasukkan kedua-dua elemen tersebut ke dalam koleksi.
“Gabungan warisan tradisi Turkiye itu kemudian disatukan dengan motif flora yang menjadi identiti jenama saya lebih tiga dekad lalu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Cabaran terbesar dihadapi pembatik Kelantan ini ialah menghasilkan corak kilim yang simetri di sekeliling tudung.
Bagi memastikan ketepatan, dia terpaksa mengukur setiap petak dengan teliti.
Dalam pada itu, katanya, tempoh kira-kira seminggu diambil untuk menyiapkan satu persatu helaian tudung.
“Dua hari diperuntukkan untuk mewarna manakala melukis corak pula memakan masa kira-kira lima hari,” katanya.
Enam produk kapsul
Sementara itu, penggiat telepuk, Mohd. Azwarin Ahmed komited untuk menghasilkan enam produk kapsul yang menampilkan sentuhan Turkiye.
Ia termasuk bingkai cermin, cermin, batik emas, warkah diraja dan kotak eksklusif telepuk.
“Saya dapati wujud persamaan fungsi antara objek warisan kesenian di sana dengan tempatan, contohnya kotak hantaran dan kotak ke laut.
“Daripada situ, lahirlah ilham untuk menghasilkan kotak eksklusif telepuk yang boleh dijadikan sebagai hantaran, hiasan mahu pun cenderamata atau hadiah,” katanya.










