Dalam kepesatan pembangunan sesebuah bandar, faktor keselamatan kanak-kanak tidak boleh dipinggirkan dan perlu diambil kira kerana kanak-kanak adalah generasi masa depan yang bakal memimpin keluarga dan negara.
Berdasarkan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), ciri-ciri bandar mesra kanak-kanak bukan sahaja membabitkan kemudahan selamat dan mesra kanak-kanak tetapi mengutamakan hak untuk didengari dalam perkara membabitkan mereka.
Kanak-kanak juga berhak untuk mendapatkan akses perkhidmatan diperlukan termasuk perlindungan, penjagaan kesihatan dan sokongan sosial selain persekitaran selamat, bersih dan bebas daripada penderaan mahupun keganasan.
Bandar mesra kanak-kanak juga perlu mempunyai ciri, memberi peluang kepada mereka untuk mengasah bakat dan kemahiran serta meraih peluang tanpa mengira latar belakang.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfal Saari berkata, kadar perbandaran yang pesat menjadikan pembangunan inklusif dan keselamatan kanak-kanak sebagai keutamaan semua pihak.
“Lebih separuh daripada kanak-kanak di dunia kini tinggal di kawasan bandar manakala di Selangor, negeri paling pesat membangun, angka tersebut melebihi 90 peratus. Justeru, reka bentuk bandar, tadbir urus dan penyelenggaraan persekitaran urban memberi kesan besar terhadap kesejahteraan, peluang dan masa depan kanak-kanak.
“Apabila bandar tidak mengambil kira keperluan kanak-kanak, kita sebenarnya menjejaskan asas masa depan. Namun apabila bandar direka berpaksikan kanak-kanak, ia menjadi inklusif, sihat dan berdaya tahan untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan Selangor melalui pelbagai dasar berimpak tinggi, termasuk Dasar dan Pelan Tindakan Pembangunan Kanak-Kanak Selangor 2022-2025.
Dasar itu memberi penekanan kepada pembangunan inklusif, penyertaan kanak-kanak, sokongan awal kanak-kanak, perlindungan daripada risiko serta akses sama rata kepada perkhidmatan di kawasan bandar dan pinggir bandar.
“Ia diperkukuh melalui inisiatif pemberdayaan wanita dan keluarga, program kesihatan mental dan Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor (2024-2025) iaitu dasar pertama seumpamanya di negara ini yang mengiktiraf sektor penjagaan sebagai tonggak sosial dan pemacu ekonomi.
“Dasar ini menggalakkan pihak berkuasa tempatan membangunkan Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan masing-masing bagi menyokong keluarga, penjaga, ibubapa bekerja dan kanak-kanak yang mempunyai keperluan pelbagai,” katanya pada Ekspo Antarabangsa Petaling Jaya Bandar Mesra Kanak-Kanak 2025 di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Turut hadir, Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon dan Wakil UNICEF Malaysia, Robert Gas. Ekspo yang berlangsung selama tiga hari bermula 20 November itu, menjadi platform penting bagi perkongsian ilmu, latihan praktikal dan jaringan strategik antara pakar tempatan serta antarabangsa dalam pembangunan bandar mesra kanak-kanak.
Melalui sesi pertukaran pengalaman, perbincangan panel dan aktiviti lapangan, ekspo ini memperkukuh kefahaman pelbagai pihak terhadap amalan terbaik dalam mewujudkan persekitaran bandar yang lebih selamat, inklusif dan responsif.
Ekspo itu juga menampilkan penyertaan dari Itali, China, Indonesia, Filipina dan India sekali gus memperkaya pertukaran ilmu serta perspektif global mengenai pembangunan bandar yang inklusif dan mesra kanak-kanak.
Ambil kira pendapat kanak-kanak
Gass berkata,membina bandar mesra kanak-kanak perlu membabitkan usahasama pelbagai pihak termasuk pembuat dasar, pihak swasta, keluarga dan kanak-kanak itu sendiri.
“Apabila kita bersatu, bandar bukan saja mesra kanak-kanak tetapi manjadi lebih prihatin dan mampan untuk semua orang. Kerajaan, pihak swasta dan pemimpin muda bersatu menjadikan bandar mesra kanak-kanak.
“Bagaimanapun kita perlu menyedari cabaran yang dihadapi kanak-kanak. Masih terdapat ruang di mana kanak-kanak, merasa tidak selamat, ketidaksamarataan akses dan peluang serta keputusan yang dibuat tidak membabitkan mereka, “ katanya.

Katanya ketika Malaysia terus membangun, persoalan yang perlu dipertimbangkan adalah bagaimana memastikan setiap kanak-kanak membesar dalam persekitaran selamat dan inklusif.
Katanya, persoalan yang perlu ditanya adalah apakah yang kita mahukan? Beliau percaya bandar yang dibina untuk semua kanak-kanak adalah bandar yang melindungi hak mereka dan memupuk potensi mereka.
“Sejak Petaling Jaya menjadi bandar pertama di negara ini yang mesra kanak-kanak pada tahun 2023, ia dicontohi oleh 13 lagi bandar seperti Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Pulau Pinang dan Sabah, membabitkan lebih 1.8 juta kanak-kanak.
“Sebagai contoh, di Kota Samarahan, kanak-kanak bimbang mengenai ruang yang tidak selamat, lampu jalan yang rosak, rakan yang menghisap rokok dan cuba mengambil dadah. Mereka memberikan cadangan, seperti lampu jalan dan peralatan keselamatan komuniti lain ditambah baik,” katanya.
Ahli Majlis kanak-kanak bukan saja menyediakan kemudahan mesra kanak-kanak tetapi turut menekankan kesihatan mental dengan memberi sokongan kepada guru untuk mengesan gejala awal masalah mental golongan itu.
Kanak-kanak juga berdepan cabaran semasa melalui fasa remaja dan memerlukan sokongan keluarga serta guru, terutamanya dalam isu kesihatan mental.
Ahli Majlis Kanak-Kanak
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kekal sebagai satu-satunya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Malaysia yang menerima pengiktirafan UNICEF sebagai Bandar Mesra Kanak-Kanak untuk dua tahun berturut-turut.
Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan MBPJ dalam memastikan hak, keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak sentiasa menjadi keutamaan dalam perancangan pembangunan bandar.
Usaha MBPJ dalam memperjuangkan agenda kanak-kanak dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi aspek perancangan bandar, mobiliti, penyediaan infrastruktur awam serta pengukuhan komuniti.
Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah penubuhan Majlis Kanak-Kanak Petaling Jaya, penyediaan laluan ke sekolah yang lebih selamat, pembinaan taman permainan inklusif, pewujudan perpustakaan komuniti dan perpustakaan permainan, pembinaan hentian bas mesra kanak-kanak serta pelaksanaan perancangan bandar secara partisipatif yang memberi ruang kepada penglibatan aktif kanak-kanak.
Mohamad Zahri berkata, selepas ekspo ini, pencarian baharu ahli majlis akan dijalankan berdasarkan cadangan guru-guru dan sebagainya serta pihak ketiga yang akan membuat analisa ke atas calon kerana mereka akan menjadi contoh kepada pelajar yang lain.
“Pencalonan akan dibuka ke semua sekolah di sekitar Petaling Jaya untuk mengemukakan calon-calon berdasarkan kriteria disenaraikan. Ahli Majlis terdiri pelbagai bangsa, orang Asli dan kurang upaya.
“Sebagai Ahli Majlis Kanak-Kanak, mereka berpeluang mempelajari ilmu pengurusan, kewangan dan pentadbiran, pengetahuan yang lazimnya diperoleh di peringkat universiti. Pengalaman ini juga memberi kelebihan akademik melalui markah tambahan,” katanya.
Ahli Majlis Kanak-Kanak Petaling Jaya, Ilham Humaira Basri, 14, berkata, dia seronok menjadi Ahli Majlis sejak dua tahun lalu kerana boleh melakukan pelbagai perkara yang memanfaatkan kanak-kanak.

Sebagai Ahli Majlis, Ilham Humaira turut terbabit membuat keputusan dalam pembangunan Bandaraya Petaling Jaya disamping menyertai aktiviti membabitkan sekolah dan berharap pada masa depan kawasan ini akan menjadi lebih mesra kanak-kanak supaya dapat menikmati kehidupan selesa.
“Baru-baru ini, kita menjalankan sesi perkongsian membabitkan tiga sekolah iaitu Sekolah Bukit Bintang, Sri Aman dan Sri Petaling. Mereka memberikan pendapat mengenai kemudahan diperlukan oleh pelajar seperti perhentian bas di hadapan sekolah.
“Mungkin bagi perspektif orang dewasa, tiada masalah asalkan ada tempat duduk dan bumbung tetapi bagi kanak-kanak, perhentian bas itu tidak selesa. Mereka menceritakan pengalaman menunggu bas dalam hujan di mana air terpercik dan apabila kereta lalu, air akan tersimbah ke badan mereka,” katanya.
Katanya, ada juga kes pelajar yang tertinggal bas dan terpaksa tunggu lama untuk bas seterusnya dalam cuaca panas selain berasa tidak selamat. Isu-isu ini diusulkan kepada MBPJ untuk ditambah baik.
Ujarnya, kemudahan lain yang perlu ditambah baik adalah tandas dan taman permainan yang usang dan boleh membahayakan kanak-kanak bermain di situ.










