Penjagaan kulit awal, elak jeragat kekal

Penjagaan kulit awal, elak jeragat kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jeragat merupakan antara masalah kulit yang sering dipandang remeh, sedangkan ia boleh memberi kesan besar terhadap keyakinan diri dan kesejahteraan emosi seseorang terutama wanita.

Tompok gelap yang muncul secara perlahan di pipi, hidung dan dahi, lazim dianggap sebagai kesan penuaan biasa atau sekadar isu kosmetik.

Namun, tanpa rawatan dan pemahaman betul, jeragat boleh menjadi semakin ketara, sukar dirawat dan mudah berulang.

Pakar perunding dan bedah dermatologi, Dr. How Kang Nien berkata, jeragat atau melasma bukan sekadar lebihan pigmen pada kulit, sebaliknya melibatkan perubahan struktur kulit yang kompleks.

Tambahnya, apabila usia meningkat, kulit menjadi lebih nipis dan lapisan pemisah antara epidermis dan dermis yang dikenali sebagai basement membrane boleh menjadi lemah.

“Apabila lapisan ini lemah, sel-sel pigmen boleh turun ke lapisan kulit yang lebih dalam.

“Keadaan ini menjadikan jeragat semakin gelap dan sukar dirawat,” katanya.

Dalam sesetengah kes, jeragat turut melibatkan pertambahan salur darah halus di bawah kulit, menyebabkan kawasan terjejas kelihatan kemerahan.

Punca
Faktor hormon merupakan antara penyumbang utama jeragat, khususnya dalam kalangan wanita.

Katanya, wanita lebih mudah mendapat jeragat disebabkan perubahan hormon terutama semasa kehamilan.

Jeragat yang muncul secara simetri di wajah sering digelar sebagai pregnancy mask.

Selain kehamilan, penggunaan pil perancang dan terapi hormon turut dikenal pasti sebagai faktor risiko.

Pendedahan kepada cahaya matahari pula menjadi pencetus utama yang memburukkan keadaan jeragat.

“Sinar ultraungu merangsang penghasilan melanin dan dalam masa sama melemahkan struktur kulit.

“Tanpa perlindungan matahari, sebarang rawatan jeragat tidak akan memberi hasil yang baik,” katanya.

Justeru, penggunaan krim pelindung matahari disarankan sejak usia muda dan bukan hanya selepas masalah kulit muncul.

Katanya, rawatan jeragat tidak seharusnya bermula dengan prosedur agresif seperti laser.

“Laser bukan rawatan pertama untuk jeragat. Rawatan sepatutnya bermula dengan penjagaan kulit asas seperti mencuci muka dengan betul, penggunaan pelembap, krim pelindung matahari serta bahan aktif yang sesuai,” katanya.

Antara bahan yang sering digunakan termasuk niacinamide, tranexamic acid, vitamin C, kojic acid dan retinol.
pendekatan dalaman penting.

Dalam kes tertentu, suplemen oral seperti polypodium leucotomos boleh membantu meningkatkan toleransi kulit terhadap cahaya matahari dan mengurangkan risiko pigmentasi berlebihan.

Bagi sesetengah pesakit, penggunaan tranexamic acid oral pada dos rendah turut dipertimbangkan di bawah pemantauan doktor.

Mengulas jangkaan rawatan, jeragat merupakan masalah kronik dan tidak boleh dijanjikan sembuh sepenuhnya.

“Jeragat tidak mudah dihilangkan sepenuhnya dan pengurangan ketara sehingga sekitar 50 peratus daripada keadaan asal sudah dianggap memuaskan dalam rawatan perubatan.

“Ada pesakit yang mendapat hasil lebih baik, tetapi bukan semua,” katanya.

Menurut Kang Nien, pesakit yang mengejar penyembuhan 100 peratus cenderung menjalani rawatan berlebihan.

Akibatnya, pesakit sering tersilap langkah apabila melakukan rawatan laser berulang kali atau mencuba produk pencerah daripada sumber tidak sah, sekali gus menyebabkan jeragat menjadi semakin gelap dan sukar dirawat.

“Laser dengan tenaga terlalu tinggi boleh menyebabkan pigmentasi tidak sekata, manakala produk yang bertindak terlalu cepat selalunya mengandungi bahan berbahaya seperti merkuri, steroid atau dos hydroquinone tinggi,” katanya.

Sebagai langkah selamat, orang ramai disaran mendapatkan nasihat profesional sekiranya jeragat tidak menunjukkan perubahan selepas beberapa bulan rawatan asas.

“Tidak perlu mencuba terlalu banyak produk selama bertahun-tahun sehingga keadaan menjadi lebih teruk.

“Rawatan awal secara berperingkat jauh lebih selamat untuk kesihatan kulit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×