Setiap wanita menyimpan kisah tersendiri yang membentuk kekuatan, keanggunan dan jati diri mereka.
Inspirasi itu mendorong pelakon, Nelissa Nizam memperkenalkan jenama fesyennya, Her Series bersama pereka, Sodiqin Shaz.
Ia bertujuan meraikan kepelbagaian peranan kaum hawa dalam kehidupan sekali gus menonjolkan kekuatan dan keunikan dimiliki.
Kata Nelissa, koleksi pertama itu menampilkan tujuh pakaian sedia dipakai (RTW) yang bertemakan resort dan santai.
Bertepatan dengan tema tersebut, maka material yang dipilih ialah sifon dan baldu serta blazer berkilauan.
Antaranya ialah dress, blazer dan seluar dengan penggunaan warna-warna berani seperti merah, putih serta hitam.
“Koleksi pertama ini berkisar tentang cerita dan perspektif peribadi saya mengenai kehidupan.
“Misi 2026 adalah untuk menjadi individu yang lebih kuat, justeru, warna merah dipilih untuk melambangkan diri saya,” katanya semasa pelancaran baru-baru ini.
Koleksi Her Series turut membuat kemunculan antarabangsa pertama di Bali Fashion Trend (BFT) 2025 pada hujung tahun lalu.
Menariknya, setiap helaian dalam koleksi ini boleh disuai padan dengan seluar atau skirt berbeza bagi mencipta gaya berlainan.

Rekaan ilham ikon
Nelissa berkata, tiga lagi koleksi baharu akan dikeluarkan tahun ini di bawah jenama itu.
Istimewanya, setiap rekaan adalah berdasarkan naratif dan ekspresi ikon yang akan dipilih sebagai wajah Her Series.
“Saya percaya setiap wanita memiliki kekuatan tersendiri dan mampu bersinar dalam cara masing-masing.
“Sebab itu saya tampilkan ikon berbeza dengan konsep rekaan berdasarkan definisi mereka tentang identiti masing-masing,” katanya.










