Jangan paksa anak kidal bertukar tangan - Utusan Malaysia

Jangan paksa anak kidal bertukar tangan

MENJADI kidal bukan perkara yang boleh dipaksa atau dilatih dalam waktu singkat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM kehidupan seharian, kita sering melihat kanak-kanak menggunakan tangan kanan untuk menulis, makan atau memegang barang.

Namun tidak semua begitu, ada juga kanak-kanak yang secara semula jadi lebih selesa menggunakan tangan kiri atau disebut sebagai kidal.

Pakar psikologi klinikal kanak-kanak dan Pengarah Urusan CPC International Psychologist Consultant, Hospital Pakar Salam Senawang, Dr. Noor Aishah Rosli berkata, menjadi kidal bukan perkara yang boleh dipaksa atau dilatih dalam waktu singkat.

DR. NOOR AISHAH ROSLI

Ia muncul kerana dominasi otak yang mengawal koordinasi motor halus.

“Kanak-kanak ini merasakan tangan kiri lebih tepat, lebih kuat dan lebih selesa ketika melakukan tugasan seperti menulis, melukis atau memegang objek.

“Dominasi tangan biasanya mula jelas sekitar usia empat hingga enam tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Namun, pada umur itu juga biasanya ada yang masih bergilir menggunakan kedua-dua tangan sebelum dominasi menjadi lebih jelas.

Fenomena ini dikaitkan dengan perkembangan otak dimana otak kanan mengawal pergerakan tubuh sebelah kiri, menjadikan otak kanan lebih aktif dalam hal ehwal motor halus pada anak kidal.

FAKTOR

Selain faktor genetik dan persekitaran, peniruan tingkah laku juga menyumbang kepada kecenderungan ini.

Sekalipun kanak-kanak boleh menggunakan kedua-dua, mereka semula jadi akan lebih selesa menggunakan tangan kiri.

“Ada juga kanak-kanak yang selesa menggunakan kedua-dua tangan dan dapat menulis dengan baik, namun tetap memilih kecenderungan ke arah tangan kiri mengikut keselesaan,” katanya.

Kanak-kanak yang menggunakan tangan kiri tidak ada kaitan antara kidal dengan masalah belajar, kelamahan akademik atau gangguan menulis.

REALITI TENTANG KIDAL

Kanak-kanak kidal biasanya petah bercakap, pantas dan bijak, bertentangan dengan mitos kidal menyebabkan kelewatan atau kurang fokus.

Dr. Noor Aishah berkata, persepsi negatif masyarakat wujud kerana majoriti individu sekitar 80 peratus, menggunakan tangan kanan.

“Masyarakat hanya rasa janggal sebab majoriti guna tangan kanan. Itu tidak menjadikan anak kidal bermasalah atau ketinggalan,” katanya.

Dalam budaya dan agama Islam, penggunaan tangan kanan hanya ditekankan ketika makan.

Bagi aktiviti lain seperti menulis atau memegang objek, tiada isu dari sudut perkembangan mahupun agama.

“Ibu bapa tidak perlu berasa malu apabila anak menggunakan tangan kiri serta tidak memaksa mereka bertukar kepada tangan kanan kecuali dalam hal makan atas faktor budaya dan tuntutan agama,” katanya.

Beliau berkata, teguran berlebihan terhadap kanak-kanak kidal hanya membawa kesan psikologi yang tidak baik.

Antaranya rasa tidak selesa, takut, cemas, rendah diri atau hilang fokus kerana beranggapan diri mereka “salah” berbanding rakan lain yang menulis dengan tangan kanan.

CABARAN KANAK-KANAK KIDAL

Cabaran fizikal turut menjadi masalah kepada kanak-kanak kidal, terutama dalam persekitaran sekolah yang lazimnya direka mengikut keperluan pengguna tangan kanan.

“Kebanyakan gunting di sekolah yang direka untuk tangan kanan, menyukarkan mereka memotong dengan tepat.

“Selain itu, reka bentuk meja lipat tepi yang kebanyakannya untuk tangan kanan memaksa murid kidal memusing badan ketika menulis,” katanya.

Keadaan ini bukan sahaja mengganggu postur, malah boleh menjejaskan kelancaran penulisan.

Keadaan itu menjadikan sesetengah tugasan kelihatan perlahan atau kurang kemas meskipun anak sebenarnya tidak mempunyai masalah perkembangan.

Dr. Noor Aishah berkata, kidal tidak mempunyai kaitan dengan disleksia, anggapan itu tidak betul.

“Disleksia adalah gangguan linguistik yang melibatkan kesukaran membaca, menulis, menyalin serta mengira dan bukan berpunca daripada cara seseorang menggunakan tangan.

“Disleksia ada kaitan dengan cara otak memproses huruf, angka dan bahasa. Ia bukan kerana seseorang itu kidal,” katanya.

INTERVENSI

Intervensi hanya diperlukan jika wujud masalah lain seperti kesukaran menulis yang bukan berpunca daripada kidal atau jika kanak-kanak menunjukkan tanda-tanda disleksia, ADHD, autism atau isu perkembangan lain.

“Kadang-kadang ibu bapa salah faham. Masalah menulis bukan kerana kidal, tetapi mungkin berpunca daripada linguistik atau perkembangan neurologi,” katanya.

Ibu bapa perlu membawa anak berjumpa pakar psikologi jika terdapat kelainan dalam fokus, komunikasi atau tingkah laku.

“Dalam konteks sekolah, guru perlu lebih peka kerana pada awal tahun persekolahan biasanya kelihatan murid kurang fokus, kurang interaksi atau berada dalam dunia sendiri. Keprihatinan guru membantu ibu bapa mendapatkan intervensi awal,” katanya.

Kidal bukan penyakit atau masalah, ia hanyalah identiti motor seorang anak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN