DIA pernah menangis di lorong belakang kedai selepas dimarahi pelanggan. Semuanya gara-gara rambut diguntingnya tidak seperti diingini pelanggan.
“Saya pergi belakang kedai, menangis. Pelanggan sudah balik, baru saya masuk kedai semula sebab segan, malu,” cerita Muhammad Afiq Afifi Mohammad Sufri kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Itu antara pengalaman dilaluinya sewaktu mula-mula berkecimpung dalam kerjaya sebagai tukang gunting rambut. Kata Afiq, 28, jadi tukang gunting sebenarnya senang sahaja.
Namun, kerja itu jadi susah apabila kurang yakin kena ‘pegang’ kepala pelanggan.
“Enam bulan pertama saya rasa hampir putus asa, bukan sebab kerja susah, tetapi pelanggan tidak puas hati, marah serta potongan rambut masih tidak cantik lagi.
“Tetapi bila fikir semula, kalau putus asa, adakah saya akan kembali kepada kerja lama? Jadi, saya ambil keputusan bertahan sebab masalah kesihatan,” katanya.
Dahulu, Afiq ialah seorang juruteknik penyenggaraan selama empat tahun. Namun, dia terpaksa menukar bidang kerja akibat impak ke atas badannya berikutan kemalangan jalan raya yang hampir meragut nyawanya sebelum itu.
Sembilan tahun lalu, motosikal ditungganginya dilanggar kereta semasa mahu pulang ke rumah selepas makan malam dengan kawan-kawan. Teruk, dia nyaris lumpuh.
Tulang belakang, pinggang dan punggung patah dan terpaksa dimasukkan besi. Dua minggu dia ditidurkan.
Setahun dia terpaksa bercuti belajar dalam bidang kejuruteraan di politeknik untuk menjalani rawatan di hospital. Ia tidak terhenti di situ.
Selepas tamat belajar dan bekerja pun, dia masih perlu menjalani rawatan. Setiap tahun Afiq perlu ke hospital untuk membetulkan besi yang dipasang kekal pada bahagian pinggang dan punggungnya, sama ada skru terkeluar, bengkok atau jangkitan virus.
Keadaan sedemikian membuatkan hidupnya berubah. Dia mudah lemah, tidak mampu buat kerja-kerja berat.
Lantas, dia mengambil keputusan dua tahun lalu untuk menukar kerjaya.
“Saya nekad tukar bidang kerja sebab sudah tidak larat nak tanggung sakit. Keadaan badan macam ini memberi impak, banyak kerja berat saya tidak boleh buat.
“Itu sebab saya belajar jadi tukang gunting. Lagi pula duit banyak habis untuk rawatan dan bil hospital,” katanya.
Jadi tukang gunting pun masih dirasai sakitnya, namun tidaklah seteruk dahulu. Dia hanya rasa sakit apabila terpaksa berdiri lama.
Bapa kepada seorang anak perempuan berusia enam bulan itu belajar di akademi gunting rambut selama setahun dan enam bulan praktikal.
Dia sempat menimba pengalaman selama dua tahun sebagai tukang gunting di dua buah kedai.
Dalam tempoh itu juga, dia sudah mengambil upah gunting rambut secara sambilan di rumahnya untuk mengasah kemahiran. Kini, dia mengusahakan Little Barbershop terletak di Bandar Saujana Putra, Jenjarom, Selangor sejak November lalu.
Nama kedai itu pun diambil sempena gelaran timangannya sejak dari zaman belajar lagi. Disebabkan tubuhnya yang kecil, dia dipanggil ‘kecik’ oleh kawan-kawannya.
Maka, gelaran itu diabadikan pada kedainya iaitu Little (kecil). J
Ia juga ada kaitan dengan konsep Little Barbershop iaitu separuh lot kedai, juga kaunter kecil di dalamnya.
Para pelanggannya terdiri daripada penduduk di sekitar Bandar Saujana Putra. Kebanyakannya berumur dalam lingkungan 20-an dan 30-an.
Kata Afiq, dia bercita-cita untuk membina rangkaian kedai guntingnya sendiri. Sasarannya, tiga tahun lagi.
Selain itu, dia sedang mengkaji untuk menghasilkan produk sendiri seperti gel dan minyak rambut. Bagi mencapai segala impian tersebut, dia mahu sediakan perkhidmatan yang berbeza daripada kedai-kedai gunting lain.-UTUSAN










